Thursday, December 28, 2006

Test 7

Test 6

Test 5

Test 4

Test 3

Test 2

Perubatan Moden Dan Ritual Tradisi

PERUBATAN MODEN DAN RITUAL TRADISI
KEPENTINGAN PERUBATAN TRADISIONAL DAN KELEMAHAN PERUBATAN MODEN.
SAMUEL MANI RAJ a/l DHARMARAJ


PENGENALAN
Pada dasarnya tumbuh-tumbuhan dan beberapa keluaran alam semulajadi yang lain turut menjadi sumber utama dalam sistem perubatan tradisional. Selain daripada itu, tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada pelbagai jenis genera dan spesies ini juga menawarkan pelbagai bentuk asas untuk kegunaan manusia seperti sumber makanan, tempat perlindungan dan pakaian.

Perhubungan antara rupa bentuk, warna atau bau sesuatu tumbuhan atau sering dikaitkan dengan penyakit yang sering diubati. Walau bagaimanapun tidak semestinya berhasil, kekurangan dari segi kemudahan dan pengetahuan sains generasi terdahulu membuat mereka menumpukan deria rasa, bau dan ubat untuk mengembangkan sistem perubatan tradisional. Oleh itu perkembangan sistem ini bergantung terutamanya kepada permerhatian sistematik terhadap perubahan fizikal seseorang termasuk perubahan suhu, bau, denyutan nadi, bahan kumuhan dan rembesan serta tekanan perasaan.

Kegunaan herba memang telah menjadi amalan setiap bangsa yang terdiri daripada pelbagai kelompok kaum mewarisi amalan yang tresendiri. Ini turut melibatkan pelbagai jenis amalan perubatan termasuk penggunaan jampi mentera, kekuatan rohaniah, pergantungan kepada mahluk halus dan sebagainya. Ketika mengamalkan cara perubatan yang sedemikian, bahan-bahan seperti sirih pinang, kemenyan dan kayu gaharu sering menjadi dahan utama dalam perubatan tradisional.

Orang-orang dahulu mungkin memperolehi pengetahuan yang berguna khasiatnya ketika membuat kesan tumbuhan tersebut apabila dimakan oleh haiwan. Perkara ini sering menjadi bantahan terhadap penggunaan tumbuhan herba sebagai bahan ubat kerana ia didakwa tidak dapat memberi dos yang tepat apabila digunakan.

Mereka berpendapat penggunanya tidak dapat memberi kesan farmakologi seperti dihendaki. Tetapi para pengamal perubatan tradisional berpendapat bahawa sebatian yang dihasilkan oleh tubuh manusia hampir menyerupai dengan sebatian-sebatian yang dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan. Dengan itu tubuh manusia dapat bertindak balas terhadap sebatian tersebut dengan kesan yang minimum dan para pengamal berpendapat ubat-ubatan moden kurang berkesan.

Kepentingan Perubatan Tradisional

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO ), hampir 70 % dari populasi dunia menggunakan ubat dari tumbuha-tumbuhan terutamanya di negara-negara sedang membangun dan mundur kerana ianya murah dan mudah didapati.Pengguna di negara-negara maju menggunakan ubat ini sebagai alternatif kepada rawatan moden.

Sebanyak 150,000 daripada 250,000 spesis tumbuhan yang diketahi di dunia adalah berasal dari kawasan tropika. Di samping itu, contohnya di Malaysia 1,230 daripadanya telah lama digunakan di dalam rawatan tradisional. Kaum Melayu misalnya menggunakan akar susun kelapa ( Tabernaemontana divaricata ), akar melur (Jasminum sambac ), bunga raya ( hibisus rosa sinensis ) dan ubi memban ( marantha arundinacea ) untuk rawatan kanser. Kajian saintifik menunjukkan Tabernaemotana divaricata mengandungi unsur-unsur anti-kanser.

Hutan torpika merupakan gudang semulajadi yang terbesar untuk perubatan moden. Tumbuh-tumbuhan merupakan sumber penghasilan analgesik, antibiotik enzim-enzim, hormon-hormon eiuretik, kompaun-kompaun anti parasit, laksatif,
anti – koagulan dan pelbagai bahan lagi. Tumbuh – tumbuhan juga menjadi " pelan induk " dan templat umtuk penghasilan beberapa produk perubatan , contohnya stuktur kimia kokain yang membawa sintesis prokain iaitu sejenis anaestetik.
Alkaloid tumbuh-tumbuhan mempunyai aplikasi perubatan termasuklah dalam penghasilan kokain, kuinin, kafein, nikotin, efedrin dan reserpin. Alkaloid yang paling terkenal ialah vinkristin dan vinblasti. Alkaliod ini terhasil daripada sejenis tropika iaitu ‘ Rosy periwinkle’. Ia memberi peluang tersebut 80 % kepada kanak-kanak yang menghidap pesakit leukimia. Kedua-dua alkaloid ini digunakan secara meluas di dalam rawatan kanser payu dara, kanser rahim dan testikular. ‘Rosy periwinkle ‘ diketahui dari seorang bomoh asli di Madagaskar serta Jamaica. ‘Physalis minima’ ( letup-letup ) digunakan untuk rawatan sakit pinggang dan kanser. Kajian saintifik ini menunjukkan tumbuhan ini mengandungi ekstrak alkoholnya yang dapat merendahkan tekanan darah. Di samping itu ‘ Nepahenehes gracili’ ( periuk kera ) di dapati boleh digunakan untuk rawatan selepas bersalin, sakit perut, cirit birit, batuk dan demam. ‘ Melastoma malabarthrium’ ( senduduk ) pula digunakan untuk rawatan buasir, keputihan dan cirit birit. Kajian saintifik menunjukkan ia menghentikan pendarahan dengan sifat anti agregasinya. Penemuan reserpin sebagai agen anti hipertensif dalam Rauwolfia Volvitria dan vinblastin serta vinkristin dari Cantraranthus Roseous sebagai agen anti kanser adalah beberapa contoh yang baik.

Keracunan ubat-ubatan moden

Pengenalan

Ubat-ubatan moden merupakan salah satu kumpulan racun yang berupaya menyebabkan akut (kesan keracunan yang ditunjukkan secara mendadak ) sekiranya arahan penggunaan tidak dipatuhi. Daripada statistik yang dikumpulkan oleh pusat-pusat Kawalan Racun Amerika Syarikat pada tahun 1981, sebanyak 29310 kes keracunan berpunca daripada ubat-ubatan moden. Manakala statistik keracunan di Malaysia pula menunjukkan sepanjang tahun 1988-1991, ia membabitkan sejumlah 1745 kes. Ubat-ubat moden sering menyebabkan keracunan adalah seperti ubat antidepkesi, ubat analgeik yang mengurangkan kesakitan , ubat selsema, ubat tidur yang mengandungi barbiturat, ubat sakit jantung, ubat penambah mineral sepaerti zat besi, ubat batuk yang mengandungi bahan narkotik dan ubat penenang

Ubat Antidepresi

Ubat Antidepresi digunakan untuk merawat depresi atau kesugulan yang merupakan satu gangguan psikologi. Ini termasuklah perubahan tingkah laku seperti bermuram, cepat marah, gangguan tidur, hilang berat bahan dan kurang selera makan. Rawatan kesugulan biasanya melibatkan kedua-kedua rawatan kaunselling dan ubatan. Daripada segi rawatan ubat, biasanya ubat antidepresi trisiklik seperti imipramin digunakan .
Keracuan akibat pengambilan berlebihan ubat depressi trilisiklik boleh mengganggu rangsangan sistem sarat dan ganggaan denyutan jantung. Jika dos ubat impramin yang diambil melebihi 500 mg, ia boleh menyebabkan mangsa menunjukkan gejala seperti suhu badan menurun, sawan, tekan darah menurun, pernafasan tertekan, penglihatan kabur, gangguan denyutan jantung dan koma. Sebenarnya kes ini tiada penawar selaian daripada menggunakan ‘Sirup Ipecac’ untuk memuntahkan segala keracunannya didalam badannya.

Ubat Analgesik

Kumpulan ubat ini menahan atau meredakan kesakitan akibat sakit kepala, sakit gigi, sakit perut, sakit sendi dan sebagainya. Ubat analgesik hanya membantu mengurangkan rasa sakt yang berkaitan. Sekiranya rasa sakit muncul semula atau pun tidak hilang, maka pesakit cenderung untuk menambah atau mengunakan semula dos ubat berulangkali sehingga menhasilkan keracunan. Terdapat dua jenis ubat analgesik iaitu jenis narkotik dan bukan narkotik.. Jenis narkotik merujuk khususnya kepada dadah narkotik seperti morfin atau petidin, satu lagi adalah seperti aspirin dan parsetamol.
Penggunaan ubat analgesik jenis narkotik sentiasa diawasi oleh doctor tentang dosnya manakala bukan narkotik bebas digunakan tanpa nasihat oleh doctor. Ubat ini boleh didapati di farmasi-farmasi. Kebanyakkan ubat seperti analgesik sering mengakibatkan keracunan yang terhasil akibat dari kumpulan ini akan diterangkan dengan menggunakkan dua jenis ubat yang popular iaitu parasetamol dan aspirin

Parasetamol

Dalam pengambilan ubat ini secara biasa, metaboit membahaya ini bergabung dengan sejenis enzim, glutation di hati untuk menjadi bentuk normal. Apabila ubat diambil secara berlebihan, jumlah enzim glutation yang terhad menyebabkan metaboit perantara tidak dapat dineutralkan.
Akibatnya metaboit tersebut bergabung dengan sel hati musnah. Selain hati parasentamol juga menyebabkan kerosakan buah pinggang melalui mekanisme yang sama. Sekiranya rawatan diberikan sebelum kerosakan hati dan buah pinggang berlaku akan menyebabkan lebih banyak enzim glutation dihasilkan untuk bergabung dengan meteboit perantara.

Aspirin

Aspirin digunakan untuk meredakan sakit, mengurangkan demam dan radang dibahagian sendi. Ia juga boleh meredakan penyakit artritis dan melambatkan penbekuan darah. Untuk merawat kesakitan aspirin digunakan dos sehingga 1gm setiap empat jam dan maksimum empat dos sehari.

Penggunaan aspirin di kalangan kanak-kanak tidak digalakkan. Ini kerana aspirin didapati mengakibatkan kesan sampingan yang dikenali sebagai penyaki Reye, Suatu keadaan yang membawa kepada kerosakan hati, otak dan akhirnya maut. Ia mungkin boleh menyebabkan ulser da bahagian perut serta di sistem penghadaman. Rasa mual dan muntah sering berlaku sebagai kesan samping pada orang dewasa.
Memakan aspirin melebihi dos yang disyorkan iaitu 20-25gm boleh menyebabkan kematian. Kesan keracunan pada peringkat awal akan berasa muntah, lesu dsan sakit perut. Berlanjutan ia akan mengganggu pendengaran, berpeluh, suhu badan akan meningkat dan peringkat akhir mangsa tidak sedarkan diri dan denyutan jantung akan berhenti.

Ubat Selsema

Ubat selsema mengandungi kumpulan ubat antihistamin. Ubat ini meredakan selsema dengan cara mengurangkan kerengsaan saluran pernafasan terutamanya akibat alahan, ubat ini juga boleh mengurangkan pengeluaran lendir di tekak dan hidung,
Contohnya ubat antihistamin akan menyebabkan seseorang itu mengantuk. Sekiranya berlebihan simptom-simpton keracunan dapat dilihat pada mangsa tersebut iaitu penglihatan akan menjadi kabur, mulut kering, rasa mual, suhu badan meningkat dan sawan. Dalam merawat keracunan ubat antihistamin, tiada penawar boleh digunakan. Rawatan hanya dapat ditumpukan untuk mengeluarkan sebanyak boleh keracunan di dalam badannya.

Ubat tidur yang mengandungi Barbiturat

Ubat tidur digunakan utuk mengatasi isomnia, iaitu kesulitan untuk tidur secara berterusan. Ubat jenis ini, juga dikenali sebagai sedatif hipnotik digunakn untuk membantu seseorang tidur sebagai satu langkah jangka pendek. Terdapat dua jenis utama ubat tidur iaitu kelas barbiturat seperti amiloarbital dan kelas benzodiazepin seperti mtrazepam. Ubat ini boleh menyebabkan seseorang itu ketagih. Ubat ini juga digunakan untuk merawat sawan serta mnghasilkan kesan bius.
Keracunan barbiturat yang tidak serius boleh menyebabkan mangsa kelihatan seperti orang mabuk alkohol dengan fikiran keliru, percakapan kurang jelas dan pergerakan badan terhoyang-hayang,. Keracunan yang lebih serius akibat pengambilan lebih dari 2gm dos untuk amilobarbital dapat dilihat apabila mangsa tidak sedarkan diri, suhu badan serta tekanan darah menurun dan berakhir dengan kematian.
Ubat sakit jantung

Terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan dalam kumpulan ini antaranya termasuklah ubat darah tinggi, antiangina, memulih kegagalan jantung dan pengatur denyatan jantung (antimia). Maklumat daripada segi keracunan akan ditunjukkan kepada sejenis dadah sahaja iaitu digoksin yang digunakan untuk kegagalan jantung. Dengan cara ini, jantung dapat berfungsi denan lebih baik dan cekap apabila kadar denyutan jantung kembali normal.

Kesan keracunan digoksin dapat dielakkan dengan dos yang rendah iaitu 2mg untuk kanak-kanak atau 5mg pada orang dewasa . Keracunan boleh berlaku apabila dos berlebihan iaitu muntah-muntah, denyutan jantung tidak seragam dan penglihatan bersinar-sinar. Dalam rawatan ini antiboti spesifik digoksin boleh digunakan untuk menghilangkan kesan keracunan.

Ubat penambah mineral (Zat Besi)

Salah satu ubat penambah mineral yang sering menyebabkan keracunan ialah ubat zat besi. Biasanya ia diberikan kepada kanak-kanak yang membesar dan ibu-ibu mengandung. Zat besi yang diambil diperlukan dalam pembuatan sel darah merah dan protein tertentu dalam badan serta pengecutan dan pengenduran otot badan. Dalam keracunan zat ini akan menyebabkan hakisan dinding saluran usus sehinggakan dinding usus pecah dan berdarah. Disamping itu kesan lain adalah seperti kesakitan bahagian abdomen, kadar nadi menurun , cirit-birit dan koma. Penawarnya ialah deferioksamin boleh digunakan. Ia akan bergabung debgan zat besi yang berlebihan. Penawar ini diberikan secara berterusan sehingga keracunan pulih.

Ubat Penenang

Ubat penenang digunakan mengurangkan rasa resah, tegang dan kejang otot serta dapat menghasilkan rasa mengantuk dan menghentikan serta mencegah sawan. Kumpulan ubat penenang yang sering digunakan sekarang ialah kumpulan benzodiazepin seperti klordiazepoksid (librium), diazepal (valium) lorazepam (ativan) dan klorazepin (tranxene). Dalam keracunan ubat benzodiazepin, kesan yang diperhatikan ialah kesan penindasan sistem otak dan saraf pusat. Antara kesan keracunan yang diperhatikan ialah percakapan tidak lancar, anak mata mengecil terketar-ketar dan pernafasan terhenti. Dalam keracunan kumpulan ubat ini penawar khusus ialah flumazenil yang boleh digunakan bagi memulihkan kesan keracunan.

Ubat Batuk yang mengandungi Narkotik (Kodien)

Ubat batuk jenis narkotik merupakan ubat yang bertindak keatas pusat batuk di otak supaya batuk dapat diredakan secara langsung dan kekerapannya dikurangkan, salah satu jenis ubat batuk dalam kategori ini ialah kodien yang dikelaskan sebagai sejenis dadah berbahaya.

Selain menyebabkan ketagihan ubat jenis ini jika diambil berlebihan akan menyebabkan mangsa kelihatan letih dengan tanda anak mata mengecil, otot anggota lembik serta tekanan darah dan kadar nadi menurun . Sekiranya kuantiti ubat diambil tinggi, pernafasan menjadi perlahan sehingga terhenti lantas menyebabkan kematian . Penawar adalah nalokson untuk menghalang kesan keracunan. Penawar ini juga boleh digunakan untuk lain-lain ubat yang sejenis kodein seperti opiat dan apioid.

Kesimpulan

Walaupun perubatan tradiosinal boleh mengubati pelbagai penyakit tetapi ia juga boleh membawa kemudaratan sekiranya cara pengunaannya salah. Disamping itu terdapat setengah-setengah tumbuhan membahaya kepada manusia iaitu mengandungi racun. Contohnya Digitalis Purpurea dikenalpasti mengandungi glikosida jantung yang boleh mendatangkan kemudaratan bila digunakan dengan cara yang tidak teratur. Comfrey (Symphytum Officinale) dengan foxglove (Digitalis Purpurea) di dalam satu penyediaan herba telah menyebabkan kes kemalangan di Amerika. Di negara kita antara beberapa kejadian keracunan yang pernah dilaporkan berlaku membabitkan tumbuh-tumbuhan seperti Datura Metel (pokok kecubung atau terung pungak), Elteriouspermum blame ( buah perah) dan Dioscorea daemona (ubi gadong). Antara bahan-bahan yang pernah ditemui didalam penyediaan herba ialah steroid, parasetamol, teofilina, asid salisilik dan klorfeniramina. Maka kesimpulan kita dapat lihat ialah segala perubatan mahupun tradisional atau moden harus digunakan dengan betul dan teratur.

BIBLIOGRAFI
1) Utusan Malaysia Bulan Ogos 1998
2) Dewan Masyarakat Edisi Bulan September 1994
3) Ensiklopedia Americana Edisi 1989
4) Majalah Kosmik Edisi 1996
5) Majalah Akademik Edisi 1994

Perubatan Moden Dan Ritual Tradisi

STRESS

Tekanan melawan atau lari
Oleh: TAJAIYAH IHSAN

PELBAGAI kejadian dan tragedi yang melibatkan tekanan/stres dan kemurungan teruk sebenarnya boleh dielak dan diatasi, jika orang ramai mengambil berat mengenainya. Malah, ia boleh menjadi penyakit yang serius andai tidak diurus dan dikawal dengan baik.

Pakar Psikiatri Kanak-kanak, Remaja dan Dewasa, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Subash Kumar berkata, walaupun tekanan dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.

Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari bahawa stres juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda.

Katanya lagi, ‘‘Ia boleh menjejaskan tingkah laku, fikiran, emosi, perhubungan dengan orang lain dan juga di rumah.’’

Beliau memberitahu, wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami stres dan kemurungan berbanding lelaki. Tidak ada sebab tertentu yang mengatakan punca mengapa wanita lebih berisiko tinggi berbanding lelaki.

Bagaimanapun, ia mungkin kerana wanita lebih mudah meluahkan perasaan dan dengan cara begini mereka cepat mendapatkan rawatan.

Lelaki biasanya tidak mudah meluahkan perasaan dan ini mungkin kerana anak lelaki dididik supaya menjadi ‘lelaki sejati’, iaitu tidak boleh menangis dan sebagainya.

Banyak kes yang dirawat di hospital melibatkan pesakit yang tidak membiasakan diri menyelesaikan masalah dari peringkat awal lagi.

“Kadang-kadang masalah di tempat kerja juga memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporak-perandakan perkahwinan itu sendiri,’’ ujar Dr. Subash lagi.

Terdapat satu kes di mana seorang suami yang mengalami masalah di pejabat akhirnya bukan sahaja menjadi mangsa stres dan kemurungan malah turut mengheret seluruh isteri dan anak-anaknya mengalami masalah yang sama.

“Dia bernasib baik kerana cepat sedar dan perlu mendapatkan rawatan, begitu juga isteri dan anak-anak,’’ katanya sambil menambah rawatan awal akan membuat mereka boleh menghadapi masalah dan menguruskan stres dengan baik.

Beliau menambah, walaupun kesedaran untuk mendapatkan rawatan semakin menggalakkan tetapi beliau percaya masih ada yang malu untuk berjumpa doktor dan menderita dengan stres mahupun kemurungan itu.

Bagi penghidap stres, mereka bimbang, masyarakat akan memandang serong terhadap mereka dan tidak mahu dilabel kurang siuman.

Ujar beliau, sebab itu masyarakat juga perlu prihatin dan sedar betapa stres dan kemurungan yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada individu.

Beliau menambah, penyebaran maklumat yang lebih banyak akan membantu mengurangkan kes-kes yang serius seperti ini, apabila mereka yang terbabit mendapatkan rawatan.

Penyebaran maklumat secara meluas di media massa mengenai stres, kemurungan dan akibatnya diperlukan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat.

Beliau juga menambah, stres juga mampu menyerang kanak-kanak, apa lagi jika rungutan mereka tidak diambil peduli oleh ibu bapa. Justeru, ibu bapa perlu mengambil berat mengenai rungutan anak-anak jika sering kali dibangkitkan.

“Kadang-kadang masalah yang dibangkitkan itu sudah lama dipendam namun ibu bapa tidak mengambil berat kerana tidak peka terhadap rungutan mereka,’’ katanya.

Ujarnya, walau sibuk mana sekalipun, ibu bapa juga perlu meneliti jika terdapat perubahan dalam tingkah laku anak-anak.

Jelas Dr. Subash, “Ia mungkin merupakan satu amaran awal, kerana ramai kanak-kanak tidak menyuarakan perasaan mereka kepada ibu bapa.’’

Menjawab pertanyaan, Dr. Subash menegaskan kemungkinan besar, stres telah meningkat di negara kita berbanding 10 tahun yang lalu.

Namun, stres juga boleh diatasi, jika seseorang itu tidak memendamkan masalahnya dan dapat pula meluahkan kepada seseorang. Sekiranya masalah bertambah berat, penghidap stres perlu berjumpa pakar bagi mendapatkan rawatan.

Terdapat pelbagai cara untuk mengendalikan stres tetapi apa yang penting adalah kita perlu tahu bahawa respons terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa itu berada di bawah kawalan.

Katanya, “Kita tidak perlu bertindak secara spontan setelah sesuatu peristiwa berlaku, perlu berfikir sejenak sebelum mengambil sebarang tindakan.’’

Kaedah lain, merancang dan membuat jangkaan untuk masalah pada masa depan dan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

“Berfikir dengan optimis tentang masa depan dan mencari kekuatan pada diri sendiri,’’ katanya.

Selain itu, meditasi atau terapi santai boleh dilakukan di mana seseorang itu mampu menenangkan fikiran dengan memikirkan tentang imej-imej yang menenangkan.

Proses ini tidak memakan masa yang lama, sekitar dua hingga lima minit sahaja dan boleh dilakukan di mana-mana.

Dr. Subash berkata, terapi ini sangat mudah dan berkesan kerana ketika memikirkan imej tersebut, kita tidak akan memikirkan masalah lain dan apabila berasa aman, bolehlah berfikir dengan tenang dan mencari jalan penyelesaian.

Beliau menambah, “Biasanya orang yang berasa sedih, marah, berasa diri tidak berguna atau menjadi beban kepada orang lain, kemungkinan mengalami tekanan yang disebut sebagai kemurungan (depression).’’

*Biologi stres

Komponen emosi melibatkan perasaan, seperti sedih, marah, kesal dan perasaan tidak tenteram.

Dr. Subash berkata, komponen fizikal melibatkan sistem autonomik badan iaitu sistem simpatetik dan parasimpatetik. Kedua-dua sistem ini mempunyai kesan yang bertentangan.

Sistem ini biasa digunakan apabila seseorang itu mengalami kecemasan. Ia biasa disebut respond flight or fight (lawan atau lari).

Ia adalah sistem semula jadi tubuh untuk melindungi badan daripada sebarang kecederaan dengan melawan atau melarikan (menjauhkan) diri daripada sesuatu kecemasan.

Ujarnya, semasa sistem ini aktif, hormon adrenalin akan dilepaskan dalam sistem pengaliran darah. Jantung akan berdenyut dengan pantas, pengaliran darah akan meningkat, pernafasan akan menjadi pantas dan otot-otot akan menjadi lebih kejang.

Sistem parasimpatetik, pula diaktifkan pada waktu kita berasa tenang. Pada masa ia diaktifkan, denyutan-denyutan jantung menjadi perlahan, pengaliran darah dan pernafasan akan menjadi perlahan. Sistem ini digunakan untuk memulih dan menjimatkan tenaga.

Lazimnya kedua-dua sistem ini berada dalam keadaan harmoni dalam keseimbangan, namun jika seseorang itu mengalami stres, sistem simpatetik akan menjadi lebih ketara, jika tidak dikawal.

Mengulas lanjut, Dr. Subash juga memberitahu stres boleh diatasi dengan bersenam, menyertai persatuan dan bercuti. Selain itu dapatkan rawatan kaunseling atau meluahkan masalah pada orang lain bagi kes-kes yang lebih ringan.

Nasihat Dr. Subash, agar pesakit yang menghidap stres dan kemurungan ini mendapatkan rawatan di hospital bagi mengenal pasti tahap stres atau kemurungan yang dihidapi.

*Definisi tekanan perasaan

Tekanan perasaan atau stres hanyalah perasaan yang tidak terkawal. Stres – respons badan dan minda seseorang terhadap sebarang peristiwa atau kejadian yang berlaku.

Sekiranya respons seseorang adalah negatif terhadap sesuatu kejadian maka dia akan mengalami stres. Persepsi seseorang itu amat penting. Sesuatu yang harus diingat adalah stres itu hanyalah respons atau tindak balas.

Ada orang memberikan respons dengan persepsi negatif. Ada juga yang memberikan respons dengan persepsi positif.

Dengan mengaplikasikan formula ini, stres mampu diatasi. Ini kerana, walaupun peristiwa yang berlaku di luar kawalan seseorang, tetapi tetap mampu mengawal respons.


Apakah tanda-tanda amaran tekanan?


Gejala fizikal

* Degupan jantung yang cepat

* Banyak berpeluh

* Terasa loya

* Bernafas kencang

* Cirit-birit dan terasa hendak membuang air kecil

* Selera makan berubah

* Gangguan seksual

* Sakit-sakit badan yang tidak jelas puncanya

* Penyakit lelah, sakit kepala dan timbul ruam kulit.

Gejala mental

* Merasa hilang kawalan atau dihantui peristiwa lalu

* Risau dan bimbang

* Gagal menumpukan perhatian atau membuat keputusan

* Berasa tidak sihat

* Sukar untuk tidur

* Keinginan seks menurun

* Terasa amat letih

* Meminum lebih banyak alkohol dan semakin kuat merokok

* Perubahan perasaan atau fikiran seperti kemurungan, kekecewaan, sikap bermusuhan, rasa tidak berdaya dan gelisah.

Utusan, 25 Mac 2007

Tambahan
Utusan, 25 Mac 2007, Stres: Luahkan perasaan anda
Utusan, 25 Feb 2007, Ilmu mengendalikan stres kurang ditekankan
Utusan, 25 Mac 2007, Tip menguruskan sendiri tekanan anda

BISUL

Bisul, karbunkel Picit rebak jangkitan
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN



DALAM sesetengah kes yang tidak dirawat, bisul boleh mengakibatkan keracunan darah dan mengancam nyawa.
--------------------------------------------------------------------------------



WALAUPUN kebanyakan masalah kulit tidak membahayakan nyawa tetapi ia boleh mendatangkan rasa tidak selesa dan mengganggu emosi pesakit.

Lebih-lebih lagi jika keadaan itu berinflamasi seperti bisul dan karbunkel – ketulan sakit dan bernanah yang terbentuk di bawah kulit apabila bakteria menjangkiti satu atau lebih folikel rambut anda.

‘‘Bisul selalunya bermula dengan ketulan merah yang bengkak, berisi nanah, membesar dan menjadi lebih sakit sehinggalah ia pecah dan nanah mengalir keluar.

‘‘Walaupun bisul akan hilang selepas beberapa hari, kebanyakannya mengambil masa selama dua minggu untuk benar-benar sembuh,’’ kata Pakar Perunding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurutnya, bisul boleh timbul di mana-mana bahagian tubuh tetapi kerap muncul di muka, leher, ketiak, punggung atau paha – kawasan tubuh yang mempunyai rambut dan kerap berpeluh serta bergesel. Kadangkala, bisul boleh terjadi di dalam kelompok yang dikenali sebagai karbunkel.

Walaupun sesiapa sahaja boleh menghidap jangkitan yang menyakitkan ini, mereka yang mempunyai diabetes, sistem imun tertekan, akne/jerawat atau lain-lain masalah kulit lebih berisiko tinggi.

‘‘Selalunya, pesakit boleh menjaga seketul bisul di rumah sahaja tetapi anda dinasihatkan tidak memicitnya kerana ia akan merebakkan jangkitan. Antibiotik atau penyaliran surgikal diperlukan untuk membuang jangkitan itu,’’ jelas beliau.

*Simptom-simptom

Dr. Abd. Hamid berkata, bisul selalunya timbul seperti ketulan menyakitkan yang berwarna merah jambu atau merah dengan saiz lebih kurang setengah inci diameter. Kulit di sekelilingnya juga akan kelihatan merah dan bengkak.

‘‘Dalam masa 24 jam, ketulan ini akan berisi nanah. Ia akan membesar dan menjadi lebih sakit selama lima hingga tujuh hari, kadangkala mencecah saiz bola golf sebelum hujung yang berwarna putih kekuningan akhirnya pecah.

‘‘Bisul selalunya akan hilang dalam masa dua minggu. Bisul kecil selalunya pulih tanpa meninggalkan parut tetapi bisul besar mungkin akan meninggalkan tanda di kulit,’’ ujarnya.

Karbunkel merupakan satu kelompok bisul yang berlaku di bahagian belakang leher, bahu atau paha lebih-lebih lagi di kalangan lelaki dewasa. Ia menyebabkan jangkitan yang lebih dalam dan teruk daripada bisul tunggal.

Ia juga berkembang dan sembuh dengan lebih perlahan serta meninggalkan parut. Seseorang itu akan mengalami demam panas apabila karbunkel berlaku.


*Punca-punca

Bisul selalunya terjadi apabila satu atau lebih daripada folikel rambut – injap berbentuk tiub dari mana rambut tumbuh – dijangkiti bakteria stafilokokus aureus.

Bakteria-bakteria ini, kata Dr. Abd. Hamid, selalunya berada pada kulit dan kadangkala laluan kerongkong dan nasal/hidung, yang bertanggungjawab untuk beberapa jenis penyakit serius termasuklah pneumonia, meningitis, jangkitan trek urinari dan infeksi endokartitis di lapisan jantung.

Ia juga merupakan punca utama jangkitan penyakit yang didapati daripada hospital dan makanan. Bakteria stafilokokus yang menyebabkan bisul lazimnya masuk melalui luka, kesan cakaran atau lain-lain pecahan di kulit anda.

Sebaik ini terjadi, sel-sel darah putih khas, neutrofil akan ‘meluru’ ke kawasan tersebut untuk melawan jangkitan, menyebabkan inflamasi dan nanah terbentuk – satu campuran sel-sel darah putih lama, bakteria dan sel-sel kulit yang mati.

*Faktor-faktor risiko

Walaupun sesiapa sahaja termasuk mereka yang kelihatan sihat boleh dijangkiti bisul atau karbunkel, faktor-faktor berikut boleh meningkatkan risiko anda:

* Jika anda mempunyai kesihatan yang lemah, ia bertambah sukar untuk sistem imun anda melawan jangkitan.

* Diabetes menyukarkan tubuh melawan jangkitan. Malah, bisul yang sering timbul semula kadangkala menunjukkan tanda-tanda diabetes, lebih-lebih lagi di kalangan mereka yang berusia lebih 40 tahun.

* Pakaian yang ketat atau melecetkan. Iritasi yang timbul daripada pakaian yang ketat akan menyebabkan kulit pecah dan bakteria lebih senang memasuki tubuh.

* Keadaan kulit yang lain. Disebabkan ia merosakkan lapisan kulit anda, masalah kulit seperti akne dan dermatitis menjadikan anda lebih senang dijangkiti bisul dan karbunkel.

* Ubat-ubatan sistem imun yang tertekan. Penggunaan jangka panjang kortikosteroid seperti prednisone atau ubat-ubat lain yang akan menekan sistem imun anda yang boleh meningkatkan risiko terkena jangkitan bisul atau karbunkel ini.

Bila perlu mendapatkan rawatan perubatan

Selalunya, anda boleh menjaga seketul bisul dengan sendiri. Tetapi anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor jika bisul itu timbul di muka, tulang belakang atau jika anda mempunyai:

* Bisul yang bertambah teruk dengan cepat atau amat menyakitkan

* Bisul yang besar dan tidak sembuh dalam masa dua minggu atau diiringi demam panas

* Bisul yang kerap timbul

* Terdapat garisan merah daripada bisul anda, yang merupakan tanda jangkitan telah memasuki salur darah anda

* Keadaan yang menekan sistem imun anda, seperti transplan organ atau jangkitan HIV. Kanak-kanak dan orang dewasa yang mempunyai satu atau lebih bisul dinasihatkan untuk mendapatkan penjagaan perubatan.

Penyaringan dan diagnosis

Para doktor selalunya akan mendiagnosis bisul hanya dengan melihat kulit anda, tetapi kadangkala mereka akan mengambil sampel nanah untuk memeriksa jenis bakteria.

Jika mempunyai jangkitan berulang, anda dikehendaki menjalani ujian untuk diabetes atau lain-lain penyakit yang boleh melemahkan sistem imun anda.

Komplikasi

Dr. Abd. Hamid memberitahu: ‘‘Dalam beberapa kes, bakteria daripada bisul boleh memasuki aliran darah dan bergerak ke bahagian tubuh anda yang lain. Jangkitan yang merebak dikenali sebagai keracunan darah (septisemia) dan boleh meragut nyawa.

‘‘Pada awalnya, keracunan darah menyebabkan tanda-tanda seperti demam sejuk, demam panas, kadar degupan jantung yang pantas dan rasa sakit yang teramat sangat.’’

Tetapi keadaan ini, tambahnya, boleh cepat berubah kepada kejutan, bermula dengan tekanan darah dan suhu badan yang menurun, kekeliruan, pembekuan abnormal dan perdarahan ke dalam kulit.

Rawatan

Doktor mungkin akan mengeluarkan nanah daripada bisul yang besar atau karbunkel dengan membuat insisi/torehan kecil di hujungnya. Ini akan mengurangkan rasa sakit, mempercepatkan penyembuhan dan membantu mengurangkan parut.

Jangkitan yang dalam tidak boleh dihilangkan secara keseluruhannya. Ia akan ditutup dengan kain kasa yang telah disteril agar nanah boleh terus dikeluarkan.

Kadangkala, doktor akan menetapkan antibiotik untuk membantu menyembuhkan jangkitan yang teruk atau berulangkali.

Pencegahan

* Bersihkan luka-luka dan geseran kecil dengan sabun serta air dan sapukan ubat yang boleh didapati di kaunter farmasi.

* Pakaian ketat mungkin nampak anggun tetapi pastikan ia tidak melecetkan kulit anda.

* Pilihlah bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran serta sejumlah kecil protein tidak berlemak. Elakkan makanan berlemak atau bergula.

Tip penjagaan sendiri

* Bubuh satu sudu teh garam ke satu suku gelen air mendidih dan sejukkannya pada suhu bilik. Tuam kain yang direndam ke dalam air suam bergaram tersebut ke kawasan dijangkiti lebih kurang 30 minit, setiap beberapa jam. Ini akan membantu memecahkan bisul dan mengalirkan nanah keluar lebih cepat.

* Basuh perlahan-lahan bisul anda dua kali sehari. Kemudian, sapukan antibiotik yang boleh didapati di kaunter farmasi. Kemudian, tutup dengan pembalut.

* Elakkan memicit atau memecahkan bisul kerana ini boleh merebakkan jangkitan.

* Basuh tangan anda dengan bersih selepas merawat bisul. Basuh pakaian, tuala atau apa-apa kain yang terkena kawasan yang dijangkiti.

Rawatan alternatif

* Minyak tea-tree. Minyak asas ini telah digunakan untuk berkurun lamanya sebagai antiseptik, antibiotik dan agen antifungi. Sapukan minyak tersebut ke bisul anda beberapa kali sehari. Minyak ini boleh menyebabkan tindakbalas alahan. Berhenti jika masalah timbul.

* Ubat homeopati. Ubat homeopati untuk bisul termasuklah belladonna, hepar sulfuris dan silica.

* Herba. Teh herba seperti dandelion dan red clover dipercayai boleh membantu merawat jangkitan bakteria. Ubat salap lain yang mengandungi marshmallow atau elm yang licin boleh melegakan keradangan.

Utusan, 4 Feb 2007

ASMA

Kesihatan optimum penghidap asma
Oleh: DR. RAJBANS SINGH

ASMA merupakan penyakit kronik atau gangguan respiratori yang menjejaskan saluran pernafasan anda, iaitu tiub yang membawa udara keluar dan masuk ke paru-paru anda.

Sesetengah daripada perkara-perkara paling biasa yang mendatangkan simptom-simptom asma termasuk senaman, alergen, pencemaran udara, perengsa dan jangkitan virus. Penghidap asma mengalami batuk yang berterusan, berdehit, sesak dada dan kesukaran bernafas.

Walaupun asma menjejaskan kehidupan pada semua peringkat umur, ia paling sering berlaku pada peringkat zaman kanak-kanak.

Lebih ramai budak lelaki menghidap asma berbanding budak perempuan, tetapi pada peringkat dewasa, ia menjadi terbalik di mana lebih ramai wanita yang menghidap asma berbanding lelaki.

Ketika zaman kanak-kanak, Sarah (bukan nama sebenar) menghidap asma. Ibu bapanya sering mengejarkannya ke wad kecemasan apabila mereka mendapati beliau tidak bernafas atau bergelut untuk bernafas.

Batuk, berdehit dan sesak dada menjadi sebahagian daripada gaya hidupnya. Kemudian anak yang sakit itu mula melakukan senaman ringan dan pada usia 13 tahun, simptom-simptom tersebut lenyap.

Tetapi, pada usia 42, sebagaimana pantas simptom-simptom itu lenyap sewaktu usia remaja, ia tiba-tiba muncul semula dan Sarah tidak tahu di mana silapnya.

Beliau kembali bergantung pada alat sedutnya. Beliau berasa ini disebabkan oleh gaya hidup yang sibuk, diet yang teruk, ketegangan kerja dan kurang bersenam.

Bertekad untuk menjalani hidup yang lebih berkualiti, beliau mendapatkan seorang jurulatih peribadi yang mengembalikan beliau kepada kehidupan yang sejahtera.

Dalam masa setahun, semua simptom itu lenyap dan kini pada usia 61, penyakit asma Sarah dapat dikawal dan beliau benar-benar sihat.

Asma tidak boleh dicegah atau disembuhkan, tetapi kebanyakan orang dengan asma boleh mengawalnya sehingga mereka mempunyai simptom yang sedikit dan jarang-jarang serta boleh menjalani hidup yang normal dan aktif.

Senaman adalah penting untuk penghidap asma tetapi mulakannya dengan berjalan atau berenang yang boleh membantu mengembangkan paru-paru.

Diet adalah komponen penting untuk penghidap asma, terutama jika mereka mengambil steroid.

Diet yang sihat termasuk makanan dari setiap kumpulan (karbohidrat, protein dan lemak) boleh memperbaiki sesetengah kesan pemakanan akibat terapi steroid.

Jika diambil untuk tempoh yang lama, steroid boleh meningkatkan risiko osteoporosis. Oleh itu adalah penting untuk mengambil suplemen kalsium.

Untuk mencegah kesan sampingan yang lain, hadkan penggunaan garam dan makanan yang tinggi kandungan natrium serta mengurangkan jumlah kolesterol dan lemak dalam diet anda.

Penghidap asma masih boleh menjalani hidup normal tetapi anda perlu tahu apa yang mencetuskannya.

Kemudian lakukan apa yang anda boleh untuk mengelak atau mengehadkan pengambilan benda-benda itu.

Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat memberikan petua-petua berikut:

* Jika bulu haiwan adalah satu masalah, pastikan haiwan kesayangan anda berada di luar rumah atau sekurang-kurangnya di luar bilik tidur anda

* Jangan merokok atau membenarkan perbuatan merokok dalam rumah anda

* Jika debunga memberi kesan kepada anda, duduk dalam rumah dengan penyaman udara terpasang, jika boleh, apabila jumlah debunga adalah tinggi

* Untuk mengawal hama habuk, cuci cadar, selimut, sarung bantal, dan barang mainan lembut seminggu sekali dalam air panas. Anda boleh mendapatkan sarung kalis habuk yang khas untuk tilam dan bantal anda

* Jika anda mempunyai simptom-simptomnya ketika bersenam atau melakukan rutin aktiviti fizikal seperti menaiki tangga, bincang dengan doktor anda untuk mencari cara-cara menjadi aktif tanpa mendapat simptom-simptom asma. Aktiviti fizikal adalah penting

* Jika anda alah terhadap bahan sulfat, elakkan makanan seperti buah-buahan kering atau minuman (seperti wain) yang mengandunginya.

Dr. Rajbans Singh merupakan seorang pakar perunding perubatan.

- Nutrilite adalah jenama suplemen makanan kesihatan oleh Amway yang menyokong konsep kesihatan optimum iaitu menjadi sihat dan cergas seberapa yang boleh menerusi keseimbangan pemakanan, rehat, senaman jasmani dan sikap mental yang positif.

Utusan, 28 Jan 2007

AEDES

EKSTRAK GAMAT

Ekstrak gamat bantu sembuh luka enam kali ganda
Oleh: RAHANA MD

DR. HASSAN YAAKOB menunjukkan gambar seorang kanak-kanak yang menghadapi masalah kulit dan dirawat menggunakan gamat.
--------------------------------------------------------------------------------

WANITA yang baru lepas bersalin selalunya disyorkan meminum air gamat yang didakwa mempercepatkan proses penyembuhan luka dalaman dan luaran.

Sejak beratus tahun yang lampau dan diwarisi turun temurun, kebanyakan penduduk Pulau Langkawi telah mengamalkan air gamat asli bagi tujuan penyembuhan luka.

Walaupun gamat merupakan spesies laut yang amat terkenal bagi tujuan penyembuhan luka, namun ramai yang kurang peka dengan tahap kebersihan dan penyediaan ekstraknya.

Kandungan garam yang tinggi, kewujudan beberapa bahan sampingan yang lain, bau yang hanyir serta dos tidak menentu menyebabkan gamat masih belum mampu mencapai tahap dikomersialkan.

Bagaimanapun hasil kajian seorang pakar dalam bidang farmaseutik yang ketika itu berkhidmat di Fakulti Perubatan Universiti Malaya pada tahun 1990 telah membuktikan ekstrak gamat yang ditulenkan mengandungi sebatian aktif yang bukan sahaja mampu merawat luka tetapi kesan penyembuhan lebih daripada itu.

Pakar tersebut, Profesor Dr Hassan Yaacob, pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang Farmakologi Klinikal dari Royal College of Surgeons di England telah melanjutkan kajiannya ke Universiti Kyushu dan Universiti Toyama di Jepun sehingga sekarang.

Penyelidikan awalnya ditaja oleh Kementerian Sains dan Teknologi menerusi program Penyelidikan Intensif dalam Bidang Keutamaan (IRPA).

Kini, berkat usaha dan kesungguhannya, beliau telah mengasaskan Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd. yang mengkhusus dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mengkomersialkan produk berasaskan gamat.

Profesor Dr. Hassan Yaakob teruja dengan penemuan demi penemuan yang positif dalam kajiannya mengenai ekstrak gamat.

“Penyelidikan yang berterusan ke atas gamat mendapati ekstrak gamat memberi kesan penyembuhan enam kali lebih kuat daripada penggunaan iodin dan antibiotik,’’ katanya.

Peluang ke negara Jepun atas tiket Anugerah Saintifik Hitachi, turut memberi kesempatan kepadanya membawa gamat bersama untuk diselidik lebih lanjut dan berkolabolarasi dengan saintis di sana.

“Hasilnya menakjubkan kerana gamat mengandungi sebastian aktif iaitu sekumpulan asid amino yang dikenali sebagai Polipeptida.

“Ia bersifat rejuvenasi dan bertindak secara sinergi iaitu mampu menembusi sel kulit dan berkesan serta mempertingkatkan penyembuhan pada kulit.

“Kajian juga telah menemui kewujudan gamodulin dalam ekstrak gamat yang berupaya merangsang pertumbuhan sel dan didapati 12 kali lebih kuat daripada kekuatan penyembuhan menggunakan ekstrak asal gamat di Langkawi,’’ katanya

Menurutnya bagi tujuan teraputik secara total, beliau berusaha menyahkan beberapa masalah berkaitan dengan ekstrak gamat yang sebelum ini dikatakan hanyir, berkeladak dan cair.

“Kepiawaian amat penting untuk mengetahui jumlah dos atas keperluan. Kajian diteruskan dan akhirnya pihak kami berjaya memisahkan elemen-elemen yang kurang disenangi terhadap gamat dan lahirkan produk di bawah Healin,’’ katanya.

Derma X antara produk Healin yang telah terbukti berkesan merawat penyakit kulit yang sukar diubati seperti dermatis, ekzema dan psoriasis.

Gamatol dan Gamogen di bawah rangkaian makanan kesihatan Healin pula antara yang diperkenalkan pada tahun lepas.

“Selain makanan kesihatan tambahan, Healwell Pharmaceuticals juga mengeluarkan produk penjagaan kulit berasaskan Gamodulin di bawah jenama AG2000 dan Bonalin, serta pelbagai produk penjagaan peribadi seperti syampu, ubat gigi dan krim sapu,’’ katanya.

Keupayaan penyembuhan Imunol terletak pada Gamodulin, sejenis bahan yang membantu mempertingkatkan sistem imunisasi yang diperoleh daripada gamat. Gamodulin itu kemudiannya diadun dengan klorofil, madu lebah dan vitamin-vitamin penting untuk pengambilan harian. Imunol merupakan produk kesihatan terbaru dalam rangkaian makanan kesihatan Healin daripada Healwell Pharmaceuticals.

Hasil kajian yang berterusan telah menemukan Prof Dr. Hassan dengan satu lagi produk gamat yang dikenali sebagai Imunol.

“Imunol dihasilkan melalui teknologi farmaseutik terbaru berdasarkan penyelidikan kami dan telah diuji selama dua tahun. Ujian yang dijalankan terhadap lebih 1,000 pesakit dan sukarelawan telah membuktikan bahawa Imunol mempunyai kesan positif yang mengagumkan dalam merawat simptom-simptom berkaitan sistem imunisasi."
Utusan, 16 Jan 2007

Tuesday, December 12, 2006

BUASIR

PPH inovasi baru rawat buasir
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

WALAUPUN boleh mendapatkan rawatan, satu daripada tiga orang dewasa menderita dalam diam akibat gejala-gejala hemoroid - termasuk kesakitan amat sangat, ketidakselesaan dan pendarahan di bahagian dubur.

Masalah umum yang menyakitkan ini juga dikenali sebagai buasir - kebengkakan vaskular yang disebabkan oleh pengembangan vena di bahagian dubur.

Buasir boleh menyebabkan penghidapnya mengalami kesakitan yang amat sangat dan pendarahan.

Sebahagian besar daripada individu juga mengalami gejala yang dikaitkan dengan buasir sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka.

Malangnya, tidak sampai 75 peratus daripada penghidap buasir akhirnya pergi mendapatkan rawatan perubatan manakala selebihnya mencuba rawatan tradisional atau ubat yang dibeli dari kedai.

Pakar bedah kolorektal, dari salah sebuah universiti tempatan, Prof. Dr. Yunus Gul ketika mengulas mengenai perkembangan yang membimbangkan ini berkata:

``Sering kali, penghidap melengahkan rawatan kerana mereka mendengar bahawa rawatan untuk membuang buasir amat menyakitkan.

``Walaupun ini benar bagi pembedahan cara konvensional, teknik baru yang kami gunakan, seperti prosedur bagi buasir prolaps (PPH), hanya menyebabkan kesakitan minimum kepada pesakit kerana prosedur dilakukan pada bahagian yang mempunyai sedikit hujung saraf,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada bengkel media mengenai buasir di Bandar Sunway, Selangor, baru-baru ini.

Prosedur serba maju PPH atau juga dikenali sebagai teknik Longo sehingga kini telah membawa kelegaan kepada kira-kira 6,900 rakyat Malaysia.

Mereka telah mendapat rawatan buasir dengan kesakitan dan gangguan minimum terhadap aktiviti seharian. Jumlah ini telah meningkat secara mendadak daripada 150 orang pada tahun pertama (2000).

Bagaimanapun, doktor-doktor menganggarkan bahawa ramai yang masih menghidap buasir teruk tanpa tampil untuk mendapatkan rawatan.

Dicipta pada 1993 oleh Dr. Antonio Longo, Jabatan Pembedahan, University of Palermo, Itali dan diperkenalkan sebagai usaha sama dengan Ethicon Endo-Surgery, sebahagian daripada Johnson & Johnson Medical, PPH digunakan untuk merawat buasir prolaps teruk.

``PPH dilakukan dengan menarik buasir yang terkeluar kembali ke kedudukan asal, dengan membuang mukosa rektal prolaps, lantas menyebabkan buasir yang bengkak mengecut.

``Prosedur yang dilakukan di bahagian atas saluran dubur, yang mempunyai hanya sedikit saraf deria, menyebabkan kesakitan minimum kepada pesakit,'' kata Dr. Longo.

Ini sekali gus membolehkan pesakit kembali menjalankan kegiatan biasa lebih cepat berbanding pembedahan konvensional.

Menurutnya, pemulihan mengambil masa lima hari sahaja menerusi pembedahan buang buasir dengan mematikan saluran darahnya berbanding 21 hari dengan pembedahan konvensional.

``Lebih daripada sejuta prosedur PPH telah dijayakan di seluruh dunia.

``Dalam satu kajian baru-baru ini, pesakit yang menjalani PPH didapati kurang mengalami kesakitan selepas pembedahan dan memerlukan ubat penghilang kesakitan yang berkurangan berbanding pesakit yang menjalani pembedahan biasa,'' ujar beliau.

Di samping itu, 80 peratus daripada pesakit PPH tidak melaporkan sebarang kesakitan apabila membuang air besar pertama kali selepas pembedahan, berbanding 17 peratus pesakit yang menjalani pembedahan konvensional, katanya.

Beliau berkata, PPH juga mengurangkan kos ekonomi keseluruhan kepada pesakit kerana mengurangkan keperluan bagi ubat penghilang kesakitan selepas pembedahan, dan pesakit mungkin kembali bekerja lebih awal.

Selain itu, terdapat kebarangkalian lebih rendah bahawa pesakit akan dimasukkan semula ke hospital. Semua ini menghasilkan kos purata lebih rendah bagi setiap pesakit.

Prof. Dr. Yunus Gul menarik perhatian, kebanyakan masalah yang dihadapi boleh dirawat tanpa kesakitan dengan teknik baru seperti PPH.

``Malangnya tidak ramai orang yang sedar tentang rawatan ini kerana buasir ialah topik yang tidak begitu selesa dibincangkan oleh masyarakat kita.

``Kami harap lebih ramai penghidap buasir tampil ke hadapan untuk mendapatkan rawatan perubatan dan tidak terus menderita dengan penyakit yang amat menyakitkan ini,'' katanya.

Apakah buasir?

Buasir adalah bengkakan yang terjadi di dalam dubur. Bengkakan ini tidak normal dan mereka yang mendapat buasir selalunya tidak berasa sakit apabila membuang air besar.

Ia adalah penyakit biasa dalam masyarakat. Malah, dikatakan setiap satu daripada tiga orang pernah mengalami pendarahan akibat buasir dalam hidupnya.

Para pakar berpendapat yang buasir ini adalah implikasi kepada postur manusia yang berdiri kerana haiwan merangkak jarang mendapat buasir.

Apakah penyebab buasir?

Di dalam saluran dubur manusia terdapat struktur yang dikenali sebagai vaskular endocushions yang menyebabkan otot-otot dubur kenyal. Biasanya, struktur ini kecil dan tidak ketara.

Walau bagaimanapun, apabila seseorang itu mengalami sembelit ataupun meneran semasa membuang air besar, struktur ini membengkak. Selepas beberapa lama, ia hilang sifat kenyalnya lalu terunjur keluar daripada anus.

Proses ini sering diiringi dengan pendarahan (Greek: haemorrhoids = pengaliran darah) dan akhirnya menjadi buasir (Latin: pila = jisim). Dalam kata lain, buasir adalah akibat langsung sembelit dan proses meneran.

Simptom buasir

Biasanya, pesakit mendapati adanya darah ketika mereka membuang air besar.

Darah tersebut biasanya berwarna merah cerah yang keluar sebelum atau selepas meneran.

Darah tersebut mungkin menitis, menyembur keluar atau hanya memberi kesan kepada tisu tandas yang digunakan.

Jika perkara ini berlanjutan untuk beberapa lama, pesakit mungkin mengalami anaemia akibat kehilangan banyak darah.

Ada juga pesakit yang mengalami pendarahan yang membimbangkan sehingga menyebabkan mereka sering pitam.

Ada juga pesakit yang tidak mengalami pendarahan. Buasir jenis ini biasanya hanya berbentuk gumpalan di dalam alur dubur. Gumpalan ini mungkin keluar semasa pesakit membuang air besar.

Ia boleh masuk ke dalam alur dubur kembali apabila ditekan tetapi ada juga yang kekal di luar dubur. Pesakit mungkin tidak berasa sakit tetapi ada masanya mereka berasa tidak selesa dan gatal-gatal.

Tahap-tahap buasir

Doktor mengelaskan buasir kepada beberapa tahap iaitu:

* Tahap 1: Ini adalah buasir tahap awal. Pesakit biasanya mengalami pendarahan.

* Tahap 2: Pada tahap ini, buasir sudah terunjur keluar tetapi masuk dengan sendirinya selepas proses membuang air besar.

* Tahap 3: Ketika ini, buasir sudah terunjur keluar dan tidak akan masuk kembali selepas membuang air besar melainkan ditekan ke dalam dubur.

* Tahap 4: Buasir tahap ini kekal di luar anus. Buasir boleh mengalami pendarahan dalam, luka dan bernanah. Peringkat ini mengakibatkan sakit yang serius.

Bolehkah buasir diubati?

Boleh. Walau bagaimanapun, rawatan ini hanya akan diberi apabila doktor sudah pasti yang pesakit itu benar-benar penghidap buasir dan bukannya kanser anorektal ataupun sakit-sakit lain.

Untuk itu, doktor akan melakukan ujian rektal dan proktoskopi terlebih dahulu. Ada kalanya pesakit juga diminta menjalani ujian sigmoidoskopi atau kolonoskopi.

Buasir tahap 1 dengan pendarahan akan diberi ubat vasotopik dan dinasihati mengubah pengambilan dietnya.

Diet tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin tinggi serat adalah baik untuk kesihatan.

Supositori juga biasa diberikan. Ubat seperti Daflon juga berkesan. Pendarahan biasanya berhenti selepas dua hingga tiga hari.

Buasir tahap 2 dengan pendarahan juga akan dirawat dengan kaedah yang sama. Walau bagaimanapun, oleh kerana pada tahap ini sudah ada jisim yang terunjur keluar daripada anus, langkah tambahan perlu dilakukan.

Prosedur yang dilakukan adalah rubber ligation, suntikan fenol dan fotokoagulasi. Semua langkah ini adalah berkesan.

Buasir tahap 3 dan 4 biasanya memerlukan rawatan pembedahan. Kaedah yang telah lama digunakan adalah hemorhoidektomi sama ada cara terbuka atau tertutup. Kaedah ini didapati sangat berkesan.

Walau bagaimanapun, pesakit akan berhadapan dengan kesan selepas pembedahan yang menyakitkan.

Proses penyembuhan juga lambat dan biasanya mengambil masa sehingga 3 hingga 4 minggu sebelum pulih sepenuhnya.

Inovasi terbaru

Rawatan buasir terbaru dikenali sebagai Procedure for Prolapse & Haemorrhoid (PPH). Ia mengikat dan memotong buasir menggunakan alat seperti stapler yang berbentuk bulatan.

Melalui kaedah ini, pesakit merasai sakit yang minimum atau tidak berasa sakit langsung serta tidak meninggalkan luka yang perlu dirawat.

Pesakit boleh kembali melakukan tugas harian seminggu selepas rawatan. PPH membuka era baru dalam bidang rawatan buasir.

(Ethicon Endo-Surgery, Johnson & Johnson)

www.utusan.com.my


Buang air besar berdarah
Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

PENYAKIT buasir memang begitu kerap berlaku di kalangan masyarakat moden yang stres. Umum sudah amat mengetahui tanda utama buasir iaitu pendarahan di dalam najis dari rektum.

Malangnya amat jarang diperbincangkan untuk tatapan umum masalah pendarahan di dalam najis itu sendiri secara keseluruhannya.

‘‘Sebenarnya permasalahan ini adalah lebih penting dari persoalan tentang buasir itu sendiri kerana terdapat bermacam-macam penyebab atau penyakit lain selain buasir yang juga boleh menyebabkan pendarahan di dalam najis.

‘‘Contohnya penyakit kanser usus yang lebih bahaya daripada buasir,’’ kata Pakar Perunding Bedah Am dan Laparoskopik, Columbia Asia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurutnya, rektum adalah sebahagian daripada usus besar yang terletak di atas lubang dubur (anus). Ia digunakan oleh usus untuk menyimpan najis sebelum sampai masa yang sesuai untuk dibuang.

Pendarahan di dalam najis berlaku apabila sel-sel darah merah normal yang terletak di dalam saluran dan pembuluh darah, telah keluar dari dinding-dinding usus dan mengalir serta bertakung di dalam rongga-rongga usus.

‘‘Darah yang berwarna merah cerah menandakan pendarahan itu berlaku dari bahagian pembuluh darah arteri dan terletak di bahagian yang sangat hampir dengan lubang dubur seperti usus sigmoid ataupun rektum.

‘‘Manakala, darah yang berwarna merah gelap diandaikan berpunca dari sumber pendarahan yang lebih dalam iaitu bahagian awal usus besar seperti sekum ataupun bahagian akhir usus kecil iaitu ileum,’’ ujar beliau.

Walaupun tidak dianggap begitu oleh kebanyakan pesakit, kata Dr. Abd. Hamid, najis yang berwarna hitam pekat seperti tar di jalanan adalah juga sejenis pendarahan usus.

Darah boleh bertukar dari kebiasaan berwarna merah kepada hitam akibat proses tindak balas kimia oleh enzim-enzim penghadaman dan pencernaan yang berlaku kepada sel-sel darah yang keluar dari dinding- dinding perut ataupun usus kecil.

Punca pendarahan rektum

Pendarahan di dalam najis adalah sesuatu perkara yang amat dramatik bagi mereka yang belum pernah mengalaminya. Lebih dramatik jika pendarahan itu berlaku dengan banyak sekali.

Pesakit di kalangan ini sepatutnya terus berjumpa doktor ataupun pakar gastroenterologi dengan serta-merta.

Tindakan pantas ini memberi peluang awal kepada doktor untuk mengesan punca atau penyakit yang menyebabkan pendarahan itu sekali gus memberikan harapan yang lebih cerah kepada pesakit untuk pulih.

‘‘Malangnya, ada juga mereka yang telah mengalami pendarahan di dalam najis di dalam kuantiti yang sedikit dan jangka waktu yang bertahun-tahun, masih belum mendapat rundingan daripada doktor.

‘‘Jika pendarahan ini disebabkan oleh penyakit yang bahaya seperti kanser usus, maka kelewatan ini boleh membunuh,’’ kata Dr. Abd. Hamid sambil menambah, pendarahan di dalam najis adalah disebabkan oleh penyakit di dalam dinding usus itu sendiri.

Terdapat juga penyakit dalaman yang telah mengubah kecairan darah dengan menyebabkan sel-sel darah menyerap keluar dari dinding-dinding usus ke dalam rongganya seperti kanser sel darah, leukemia.

Gangguan kepada sistem yang mengawal kecairan darah juga boleh berpunca daripada pengambilan ubat seperti Warfarin oleh pesakit jantung.

Kebiasaannya, jika pesakit mendapati pendarahan di dalam najis itu berwarna merah cerah; dan ia keluar dahulu ataupun selepas najis, lazimnya perdarahan ini adalah disebabkan oleh buasir.

Sementara itu, pendarahan yang berwarna merah gelap dalam kuantiti yang sedikit dan bercampur-baur dengan najis menimbulkan syak tentang penyakit kanser usus.

Seterusnya, pendarahan hitam pekat selalunya disebabkan oleh penyakit radang di saluran esofagus, perut ataupun usus kecil (duodenum). Ia juga boleh disebabkan oleh ulser ataupun kanser di dalam organ-organ tersebut.

Tepat

Dr. Abd. Hamid berkata, terdapat juga punca-punca lain yang jarang ditemui pada pesakit tetapi amat penting untuk dikesan bagi memastikan rawatan yang tepat.

Contohnya, kanser rahim. Jika penyakit ini tidak dirawat dan dibiarkan membesar dan merebak, maka sel-sel kanser ini akan menghakis dinding-dinding organ yang berdekatan seperti usus besar/rektum dan menyebabkan pendarahan di dalam najis.

Keadaan ini dinamakan fistula – juga boleh berlaku di antara pembuluh darah tunjang yang bengkak dengan usus kecil.

‘‘Bagi pesakit-pesakit kanser rahim yang telah mengalami rawatan radioterapi, kesan jangka panjang pancaran radiasi itu juga boleh menyebabkan radang usus yang serius sehingga berlaku pendarahan.

‘‘Bagi pesakit-pesakit yang amat tua (70 ke atas) terutama sekali di kalangan wanita, pendarahan di dalam najis boleh disebabkan oleh penyakit seperti Angiodisplasia dan Divertikulosis,’’ jelas beliau.

Angiodisplasia adalah sejenis penyakit saluran darah kecil di dalam dinding-dinding usus akibat proses penuaan manakala Divertikulosis (perubahan di dinding usus yang menjadi semakin nipis akibat dari proses penuaan dan juga sembelit yang berpanjangan).

Apakah yang akan berlaku kepada pesakit yang mengalami pendarahan rektum?

‘‘Jika kuantiti pendarahan di dalam usus itu amat sedikit, ia tidak akan meninggalkan apa- apa kesan kepada pesakit selain daripada kejutan psikologi bagi mereka yang pertama kali menghadapinya.

‘‘Namun, jika kuantitinya banyak iaitu dalam lingkungan 500cc ke atas, akan berlaku perubahan yang ketara kepada sistem kardiovaskular pesakit,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Pesakit akan berasa amat lemah dan tidak bermaya. Mereka juga akan berasa seolah-olah akan pitam dan jika pendarahan ini terus berlaku dengan banyaknya, maka pesakit boleh jatuh pengsan.

Tanda-tanda pendarahan yang lain termasuklah, muka pesakit akan menjadi pucat dan berpeluh dan jika diperiksa nadinya, kadarnya lebih tinggi dari kebiasaan iaitu 70 denyutan seminit.

Saran Dr. Abd. Hamid: ‘‘Jika berlaku pendarahan di dalam najis dengan tanda-tanda di atas, maka pesakit harus dibawa ke bilik kecemasan di mana-mana klinik atau hospital yang menyediakan servis 24 jam.

‘‘Keadaan ini amat kritikal dan pesakit boleh maut akibat pendarahan di dalam najis yang tidak berhenti apabila tekanan darah mula menurun. Pesakit memerlukan rawatan kecemasan yang intensif.’’

Pesakit yang mengalami pendarahan di dalam najis tidak perlu menunggu tahap sebegini sebelum mendapat rundingan daripada doktor dan pakar.

Adalah munasabah untuk berjumpa dengan doktor segera jika berlaku pendarahan di dalam najis yang belum ditentukan puncanya oleh doktor sebelumnya.

‘‘Pendarahan merah cerah atau merah gelap yang disebabkan oleh buasir atau kanser usus kebiasaannya tidak akan menyebabkan pesakit mengalami kesakitan sama ada di bahagian perut ataupun dubur.

‘‘Jika ada kesakitan di bahagian-bahagian ini, puncanya adalah disebabkan oleh radang usus (kolitis) ataupun luka di dubur. Jika pendarahan di dalam najis berlaku bersama dengan lendir yang berlebihan, maka doktor akan mengesyaki kanser usus sebagai puncanya.’’

Satu pemeriksaan fizikal yang amat penting yang mesti dilakukan oleh doktor ke atas pesakit yang mengalami pendarahan di dalam najis adalah pemeriksaan dubur.

Ia memerlukan doktor memasukkan satu daripada jari tangannya yang telah dipakai sarung dan berjel ke dalam lubang dubur dan sampai kepada bahagian bawah rektum.

‘‘Kebiasaannya, ia tidak memberi apa-apa rasa sakit selain kurang selesa. Walaupun pemeriksaan ini kadangkala boleh menimbulkan kejelikan di kalangan ramai pesakit, ia amat kritikal dilakukan sebelum seseorang pesakit didiagnosis.

‘‘Betapa banyak kes-kes pesakit yang begitu lama dilabel sebagai mengalami penyakit buasir tetapi setelah pendarahan terus berlaku, ia hanya memerlukan seorang doktor melakukan satu pemeriksaan dubur untuk mendiagnosis kanser rektum,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Lain-lain ujian pengesanan

Jika punca pendarahan tidak dapat dikesan oleh pemeriksaan yang disebut di atas, maka beberapa ujian harus dilakukan untuk mencari penyebab kepada pendarahan dari rektum.

Beberapa ujian darah seperti taraf Haemoglobin (Hb) dan fungsi hati (LFT) sering dilakukan secara rutin. Taraf Hb akan memberi gambaran betapa seriusnya pendarahan itu dan LFT boleh membantu mencari penyakit hati sebagai punca pendarahan dan juga menguji kecairan darah itu sendiri.

Pemeriksaan endoskopi juga harus dilakukan untuk terus mencari punca pendarahan di dalam najis.

Endoskopi yang fleksibel yang berpotensi untuk melihat keseluruhan usus besar iaitu kolonoskopi adalah pemeriksaan endoskopi yang sering dilakukan oleh pakar untuk mencari punca pendarahan di dalam najis.

Jika pendarahan hitam dan puncanya dijangka dari perut atau usus kecil, maka endoskopi atas akan dilakukan melalui mulut.

Rawatan
Umumnya, penyakit-penyakit keradangan usus seperti kolitis dan proktitis hanya dirawat dengan ubat-ubatan.

Sementara itu, penyakit kanser usus harus menjalani pembedahan major sebelum dibantu oleh rawatan sampingan seperti kemoterapi dan radioterapi.

Buasir pula boleh dirawat secara ubatubatan di peringkat awal dan apabila ia menjadi serius harus dihapuskan dengan beberapa kaedah termasuk Rubber Banding dan juga pembedahan.
Utusan, 15 Jan 07

Tambahan
Utusan, 14 Jan 2007, Buang air besar berdarah
Utusan, 4 Mac 2007, PPH: Bedah buasir tidak menyakitkan

Monday, December 11, 2006

KOLESTROL

Ubat kolesterol menyebabkan anda letih?

SETIAP tahun, Azmi menjalankan pemeriksaan keseluruhan badan di hospital. Tidak terkecuali juga pada tahun ini. Namun beliau terkejut apabila laporan menunjukkan profil lipidnya tidak memuaskan.

Menurut doktor, paras kolesterol dalam darah adalah tinggi dan beliau perlu mengambil ubat untuk menurunkan kolesterol ke paras normal.

Langkah ini penting untuk mencegah serangan sakit jantung atau angin ahmar. Memandangkan komplikasinya yang serius, beliau mematuhi nasihat doktor serta mengubah suai pemakanannya.

Selepas tiga bulan, walaupun paras kolesterol telah menurun, beliau selalu rasa letih, lenguh badan dan tidak bermaya.

Adakah anda atau ahli keluarga mengalami masalah yang sama seperti Azmi? Apakah punca masalah yang sebenar?

Bagi mereka yang mempunyai masalah tinggi kolesterol, doktor biasanya memberikan statin, iaitu sejenis ubat untuk menurunkan paras kolesterol dalam darah.

Ia berfungsi sebagai penghalang kepada enzim HMG-KoA (HMG-CoA, 3-hydroxy-3-methylglutaryl- coenzyme A reductase), iaitu sejenis enzim yang terlibat dalam proses penghasilan kolesterol.

Walaupun statin berkesan untuk menurunkan paras kolesterol, ia turut mengurangkan paras koenzim Q10 (CoQ-10) dalam tubuh. Ini kerana tubuh menghasilkan koenzim Q10 menerusi laluan penghasilan kolesterol.

Oleh itu, semasa statin menghalang penghasilan kolesterol, ia turut menghalang penghasilan koenzim Q10 dan seterusnya menyebabkan seseorang itu kekurangan koenzim Q10.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Atherosclerosis Thrombosis melaporkan apabila atorvastatin iaitu sejenis ubat yang mengandungi statin diambil selama lapan minggu, paras koenzim Q10 dalam darah berkurang sebanyak 40 peratus.

Satu lagi kajian yang melibatkan 32 orang pesakit yang mengambil atorvastatin menunjukkan secara purata, koenzim Q10 dalam badan berkurang sebanyak 49 peratus.

Di Australia, kajian menunjukkan selepas enam bulan rawatan simvastatin (ubat yang mengandungi statin), paras koenzim Q10 menurun sebanyak 12 peratus manakala paras vitamin E menurun sebanyak 17 peratus.

Apakah koenzim Q10?

Koenzim Q10 adalah sebatian menyerupai vitamin yang wujud dalam setiap sel terutamanya dalam jantung, hati, buah pinggang dan pankreas.

Koenzim Q10 adalah komponen yang penting dalam beberapa aktiviti yang berkait dengan metabolisme tenaga.

Paras koenzim Q10 yang rendah menyebabkan seseorang itu mudah berasa penat, pening dan badan mengalami lenguh-lenguh atau sakit. Paras koenzim Q10 yang rendah menjejaskan keupayaan sel menghasilkan tenaga.

Kajian turut membuktikan kekurangan koenzim Q10 menjejaskan denyutan jantung dan menyebabkan keletihan. Secara langsung, kekurangan koenzim Q10 pada tisu jantung meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.

Kegagalan jantung kongestif (keadaan di mana jantung tidak berupaya membekalkan oksigen yang mencukupi) adalah berkait rapat dengan paras koenzim Q10 yang rendah dalam darah dan tisu.

Seiring dengan peningkatan usia, keupayaan tubuh menghasilkan koenzim Q10 akan menurun. Oleh itu, orang tua lebih cenderung mengalami masalah kekurangan koenzim Q10 yang berpunca daripada pengambilan statin.

Persatuan Koenzim Q10 Antarabangsa mencadangkan agar pesakit yang mengambil statin supaya mengambil koenzim Q10 dalam pemakanan harian mereka untuk mencegah komplikasi yang serius.

Pengambilan suplemen koenzim Q10 membantu merendahkan kolesterol, mengawal glukosa darah dan meningkatkan stamina dan ketahanan ahli sukan.

Antara makanan-makanan yang tinggi dengan koenzim Q10 termasuklah daging merah, daging ayam, ikan, kacang soya, kekacang dan minyak canola.

Buah-buahan, sayur-sayuran, telur dan bahan tenusu adalah makan yang mengandungi koenzim Q10 secara sederhana.

Walau bagaimanapun, proses memasak seperti menggoreng telah memusnahkan 14-32 peratus daripada kandungan koenzim Q10 dalam makanan.

Bagi mereka yang sihat, pengambilan 30mg koenzim Q10 setiap hari sudah memadai. Namun, amaun ini sukar dicapai melalui pemakanan harian sahaja. Contohnya, anda perlu mengambil kira-kira 5.5kg kacang tanah untuk memperoleh 30mg koenzim Q10!

Kebiasaannya, seorang individu hanya mengambil 5mg koenzim Q10 setiap hari. Oleh itu, pengambilan suplemen merupakan langkah terbaik untuk memperoleh kesan terapi.

Kajian menunjukkan formulasi koenzim Q10 yang mengandungi minyak kacang soya adalah lebih mudah diserap oleh badan.

Untuk maklumat lanjut tentang kesihatan, sila hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan BiO-LiFE di talian 03-77287407 (Isnin hingga Jumaat) atau e-mel kami di health@biolife.com.my

Utusan, 10 Dis 2006

AIDS & HIV

AIDS tanggungjawab bersamaOleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

SEMENJAK penemuan pertamanya dilaporkan pada tahun 1981, penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) telah mengubah senario dunia.

Dalam tempoh 25 tahun ini, ia telah membunuh lebih 25 juta manusia. Sementara itu, kira-kira 39.5 juta orang kini terpaksa hidup dengan virus Human Immunodeficiency (HIV), kebanyakannya tanpa mereka sedari.

Malah, tahun ini sahaja, 4.3 juta jangkitan baru dilaporkan yang meragut 2.9 juta nyawa - melayakkannya mendapat gelaran wabak paling teruk pernah dicatatkan dalam sejarah dunia.

AIDS disifatkan sebagai pembalikan tunggal terbesar dalam sejarah perkembangan manusia apabila ia menjadi penyebab utama kematian lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 15 hingga 59 tahun - cabaran terbesar generasi kita.

Walaupun terdapat kemajuan di sana sini, namun data terkini yang dikeluarkan Program Bersama Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) terus membimbangkan.

Epidemik itu terus merebak luas khususnya di Afrika sub-Sahara, Asia dan Eropah Timur.

Berdasarkan perkembangan semasa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, sebanyak 117 juta orang lagi akan mati bahana AIDS dalam tempoh 25 tahun akan datang.

Tahun ini merupakan kali ke-19 sambutan Hari AIDS Sedunia yang ditetapkan pada setiap tanggal 1 Disember, dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit AIDS yang masih belum ditemui penawarnya.

Konsepnya mula diperkenalkan pada Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Kesihatan berkenaan Program Pencegahan AIDS 1988. Sejak itu, ia diraikan oleh kerajaan-kerajaan, organisasi antarabangsa dan badan-badan kebajikan di serata dunia.

Dari tahun 1988 hingga 2004, Hari AIDS Sedunia dianjurkan oleh UNAIDS yang akan memilih temanya selepas berunding dengan lain-lain pertubuhan.

Bagaimanapun, tahun lalu, UNAIDS menyerahkan tanggungjawab penganjuran itu kepada sebuah organisasi persendirian yang iaitu World Aids Campaign.

Untuk tahun 2005, mereka memilih ‘Hentikan Aids: Berpeganglah kepada Janji (Kebertanggungjawaban)’ sebagai tema hari berkenaan yang diteruskan sehingga 2010.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dalam ucapan sempena sambutan hari berkenaan di New York, menyifatkan dunia berada dalam tempoh penafian dan sangkalan yang begitu panjang.

Namun, perubahan sikap mulai nampak sedikit demi sedikit jika dihitung dari 10 tahun yang lalu.

Dunia sudah mulai bertindak menentang AIDS secara serius sebagaimana layaknya.

“Sumber kewangan dicurahkan dengan begitu banyak tidak seperti sebelumnya. Manusia juga kini sudah mempunyai akses kepada rawatan antiretroviral yang selama ini tidak pernah wujud.

“Malah, beberapa negara juga sudah berjaya melawan penularannya yang sebelum ini gagal dikawal. Dan kini, dengan bilangan jangkitan yang tidak juga reda, kita perlu menggerakkan kemahuan dan kesungguhan politik yang belum pernah kita pamerkan,’’ katanya.

Menurutnya, kebertanggungjawaban memerlukan setiap presiden, perdana menteri, ahli parlimen mahu pun ahli politik untuk membuat keputusan dan mengisytiharkan bahawa ‘AIDS berhenti dengan saya’.

Bagaimanapun, tegas Annan, kebertanggungjawaban yang dimaksudkannya itu bukan tertakluk kepada mereka yang mempunyai kedudukan politik sahaja.

“Ia juga tanggungjawab kita semua. Tidak kira sama ada anda seorang bapa, suami, anak atau adik beradik perlu memberikan sokongan dan mengesahkan hak-hak kaum wanita.

“Dan, ia juga memerlukan setiap dari kita untuk menghulurkan tangan memberikan bantuan untuk membawa keluar AIDS dari bayang-bayangnya dan menyebarkan mesej bahawa diam itu boleh membunuh,’’ ujar beliau.Annan yang akan bersara hujung tahun ini setelah 10 tahun perkhidmatannya mengakui bahawa HIV/AIDS sentiasa dekat di hatinya dan menjadi keutamaan peribadinya sepanjang menjawat jawatan berkenaan.

Beliau menunjukkan contoh kebertanggungjawabannya apabila berjaya menuntut agar diwujudkan peruntukan tambahan sebanyak tujuh bilion kepada 10 bilion dolar setahun bagi tujuan berkenaan dan boleh berbangga kerana menjadi penaung kepada sebuah dana yang menyalurkan hampir AS$3 bilion untuk membiayai program-program berkaitan di peringkat global.

“Tidak lama lagi, saya akan berundur (sebagai Setiausaha Agung PBB). Tetapi, selagi saya mempunyai tenaga dan kekuatan, saya akan terus menyebarkan mesej ini.

“Itulah sebabnya Hari AIDS Sedunia akan sentiasa istimewa di dalam hati saya. Pada hari ini, marilah kita berikrar untuk terus berpegang kepada janji - bukan hari ini sahaja, atau tahun ini, atau tahun depan - tetapi setiap hari, sehinggalah wabak ini berjaya di tawan,’’ kata Annan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif UNAIDS, Peter Piot berkata, terdapat aliran positif yang diperhatikan pada golongan muda berkaitan tingkah laku seksual seperti penggunaan kondom yang semakin meningkat, menangguhkan hubungan kelamin pertama dan kurang bertukar-tukar pasangan.

Piot memberitahu: “Di beberapa negara, terdapat penurunan dari segi kekerapan HIV di kalangan warga belia antara tahun 2000 hingga 2005,’’

Afrika Sub-Saharan kekal rantau yang paling teruk menerima tempiasnya dengan 24.7 juta orang telah dijangkiti diikuti Asia Tenggara dan Selatan (7.8 juta); Eropah Timur dan Asia Tengah (1.7 juta); Amerika Latin (1.7 juta) dan Amerika Utara (1.4 juta).

Di Afrika Selatan, pemimpin veteran Zulu, Mangosutho Buthelezi yang kehilangan dua anaknya di tangan AIDS memberitahu AFP, Afrika perlu berhenti daripada menyapu penyakit itu di bawah permaidani sahaja.

“Kita tidak mempunyai pilihan. Jika kita mahukan rakyat kita terus hidup, jika kita mahu mengatasi pandemik ini, kita perlu ke depan, bersikap terbuka mengenainya termasuklah dalam hal seksualiti,’’ katanya.

Adalah dianggarkan 5.5 juta daripada 47 juta warga Afrika yang dijangkiti oleh HIV, kadar kedua tertinggi di dunia selepas India.

Dalam pada itu, pakar-pakar memberi amaran bahawa kisah kejayaan AIDS di Asia Tenggara berada dalam bahaya kerana situasinya yang berubah arah.

Contoh kes adalah Thailand di mana menurut pakar, epidemik tersebut sedang berkembang dan mengenai kumpulan-kumpulan yang sebelum ini dianggap berisiko rendah dijangkiti.

Di China, aktivis AIDS Veteran, Wan Yanhai, yang baru-baru ini ditahan polis berkata, jumlah mereka yang menderitai penyakit itu boleh jadi 10 kali ganda lebih tinggi berbanding jangkaan rasmi.

Pada minggu lalu, Kementerian Kesihatan republik berkenaan mengesahkan bahawa sehingga penghujung Oktober 2006u seramai 183,733 orang rakyatnya adalah positif HIV/AIDS, meningkat 27.5 peratus berbanding akhir tahun lalu.

Bilangan kes yang disahkan itu adalah jauh lebih rendah daripada anggaran 650,000 yang diletakkan secara bersama oleh kerajaan dan agensi-agensi kesihatan PBB pada Januari.

“Berdasarkan kajian Beijing Aizhixing Institute (kumpulan kesedaran yang diketuai oleh Wan), angka sebenar adalah 10 kali lebih tinggi berbanding 650,000,’’ jelasnya.

Wan yang dibebaskan pada Isnin lalu mendakwa, penahanannya itu mungkin ada kaitan dengan kegusaran kerajaan untuk bertanggungjawab terhadap penyebaran berleluasa penyakit merbahaya itu selain perhimpunan yang diadakan oleh mangsa bagi menuntut ganti rugi.

Di Malaysia, penyebaran wabak tersebut dikatakan mampu menghapuskan perolehan ekonomi yang telah dijana oleh negara dalam tempoh 50 tahun lalu.

Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Datuk Ramlee Rahmat berkata, jika tiada langkah-langkah lebih kukuh diambil bagi menghentikan penyebaran AIDS, “Ini akan menyapu bersih manfaat pembangunan yang telah dicapai sejak merdeka pada tahun 1957.’’

Beliau dipetik sebagai berkata demikian oleh AP semasa ucapan pembukaan persidangan anjuran PBB bagi memperingati Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember di Kuala Lumpur.

Setiap hari, tiga orang mati disebabkan oleh penyakit-penyakit berkaitan AIDS di Malaysia. Kira-kira 73,000 orang dijangkiti HIV, membabitkan lebih 8,000 kematian.

Tiga suku daripada mereka yang dijangkiti oleh virus yang melumpuhkan keupayaan semulajadi badan untuk melawan penyakit itu ialah penagih dadah manakala tujuh peratus ialah wanita.

Mesejnya, untuk mengatasi AIDS, segala-galanya bukan terletak kepada wang semata-mata. Yang perlu diselesaikan juga adalah sikap dan prejudis kita.

Kerana dalam kita meraikan hari ini, masih ada suara-suara kesakitan yang ditanggung oleh mereka yang positif HIV, tidak kita dengari dan peduli.

Anda? Apakah yang anda lakukan? Bukankah kita boleh memilih untuk tidak dijangkiti, untuk tidak mati kerana AIDS.

Utusan, 3 Dec 2006

ULSER

Ulser peptik risiko pendarahan dalaman
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

ULSER peptik luka terbuka yang terdapat di bahagian dalam lapisan perut, bahagian atas usus kecil atau esofagus, merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh kebanyakan orang.

“Tidak lama dahulu, tanggapan popular mengaitkan ulser peptik dengan cara seseorang itu menjalani kehidupannya. Terlalu banyak tekanan dan terlalu banyak makanan pedas-pedas mungkin menyebabkan seseorang mendapat ulser.

“Tetapi kini, penemuan baru membuktikan bahawa punca kebanyakan ulser di perut dan bahagian atas usus kecil (duodenum) adalah jangkitan kuman atau ubat-ubatan dan bukannya stres atau diet,’’ kata Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurut Pakar Perunding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, ulser esofageal juga boleh terjadi dan lazimnya dikaitkan dengan refluks asid perut.

Ulser mempunyai nama yang berbeza-beza bergantung kepada lokasinya. Jika terjadi di dalam perut, ia dikenali sebagai ulser gastrik manakala ulser duodenal terletak di dalam bahagian pertama usus kecil atau duodenum.

Sementara itu ulser esofageal mengambil bahagian bawah esofagus dan sering dikaitkan dengan penyakit refluks gastroesofageal (GERD).

Simptom-simptom

Rasa sakit seakan terbakar merupakan simptom biasa bagi ulser peptik. Rasa sakit ini disebabkan oleh ulser dan ia bertambah sakit apabila asid perut terkena kawasan ulser. Rasa sakit ini mungkin:

* Dirasai di mana-mana kawasan dari pusat ke tulang dada

* Mengambil masa daripada beberapa minit ke beberapa jam

* Menjadi lebih teruk apabila perut kosong

* Bertambah pada waktu malam

* Boleh dikurangkan sementara dengan memakan pelbagai makanan yang akan menampan asid perut atau dengan mengambil ubat yang mengurangkan asid

* Datang dan pergi untuk beberapa hari atau minggu

Adakalanya, ulser akan menunjukkan tanda-tanda seperti muntah darah (seakan kemerahan atau kehitaman), darah pekat di dalam najis atau najis yang kehitaman atau seakan tar, rasa mual atau muntah-muntah, hilang berat badan yang tidak diketahui puncanya dan, sakit dada.

Punca-punca

Dr. Abd. Hamid berkata, kebanyakan ulser berpunca daripada bakteria yang berbentuk ‘cockscrew’ Helicobacter pylori (H.pylori).

“H.pylori tinggal dan bercambah di dalam lapisan mukus yang menyelaputi dan melindungi tisu-tisu di dalam perut dan usus kecil. Ia jarang mendatangkan sebarang masalah.

“Tetapi, adakalanya H.pylori akan mengganggu lapisan mukus, menyebabkan radang serta menghakis tisu-tisu pencernaan yang akan menghasilkan ulser,’’ katanya.

Satu sebab hal ini terjadi adalah kerana mereka yang mempunyai ulser peptik telahpun merosakkan lapisan di dalam perut atau usus kecil, menyebabkan bakteria mudah menceroboh dan menyerang tisu-tisu tersebut.

“H.pylori merupakan satu jangkitan gastrousus yang biasa. Di Amerika Syarikat, satu dalam lima orang di bawah 40 tahun dan separuh daripada mereka yang berumur lebih 60 tahun dijangkiti bakteria ini,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Walaupun caranya merebak tidak begitu dikenalpasti, ia mungkin disebarkan melalui sentuhan intim seperti ciuman, makanan dan minuman.

Walaupun jangkitan H.pylori merupakan punca yang paling biasa bagi ulser peptik, namun ia bukanlah satu-satunya punca ulser. Lain-lain faktor yang memburukkan keadaan:

* Ubat-ubatan mengurangkan sakit. Ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) boleh menyebabkan rengsa pada lapisan di dalam perut dan usus kecil.

* Merokok. Nikotin yang terkandung di dalam tembakau meningkatkan tahap kepekatan asid di dalam perut dan meningkatkan risiko menghidap ulser. Merokok juga boleh memperlahankan pemulihan sewaktu rawatan ulser.

* Pengambilan alkohol secara berlebihan boleh merengsa dan menghakis lapisan mukus di dalam perut serta meningkatkan jumlah asid perut yang dihasilkan.

* Stres. Walaupun stres sahaja bukanlah satu-satunya punca ulser peptik tetapi ia merupakan faktor yang menyumbang kepada penyakit ulser. Ia memburukkan lagi simptom-simptom ulser peptik dan dalam beberapa kes, mampu melengahkan proses perawatan.

Diagnosis

Pada mulanya, doktor mungkin melakukan sinar X di bahagian atas gastrousus yang menunjukkan esofagus, perut dan duodenum.

“Sewaktu sinar X dilakukan, anda akan menelan cecair metalik berwarna putih (barium) yang akan melapisi trek pencernaan anda dan menunjukkan lokasi ulser yang dialami dengan lebih jelas.

“Sinar X di bahagian atas gastrousus ini mampu mengesan beberapa ulser sahaja, bukannya semua,’’ ujar Dr. Abd. Hamid.

Menurutnya, endoskopi mungkin perlu dilakukan jika keputusan sinar X itu menunjukkan kemungkinan terdapatnya ulser itu, atau jika doktor telah pun melakukan endoskopi terlebih dahulu.

Dalam prosedur yang lebih sensitif ini, satu tiub panjang dan berongga dengan kamera di hujungnya dimasukkan secara perlahan-lahan ke dalam tekak dan esofagus, terus ke dalam perut dan duodenum anda.

Dengan instrumen ini, ujar beliau, doktor boleh melihat bahagian atas trek pencernaan dan mengenal pasti ulser. Jika ada, doktor anda akan mengambil sampel tisu kecil (biopsi) berhampiran lokasi ulser.

Sampel-sampel ini kemudiannya akan diperiksa di bawah mikroskop untuk memastikan ia bukan kanser. Biopsi juga boleh mengesan H.pylori dalam lapisan perut anda.

Selain biopsi, tiga ujian lain yang boleh memastikan ulser yang dialami berpunca daripada jangkitan H.pylori adalah ujian darah, ujian pernafasan dan ujian antigen najis.’

Komplikasi

Jika tidak dirawat, kata Dr. Abd. Hamid, ulser peptik mungkin menyebabkan berlakunya pendarahan dalaman dan boleh mengakibatkan lubang di dinding perut atau usus kecil.

Ini meletakkan anda dalam risiko jangkitan serius di kaviti abdomen (peritonitis).

Ulser peptik juga akan menghasilkan tisu parut yang boleh menyekat laluan makanan melalui trek pencernaan; anda mudah terasa kenyang atau mengalami muntah-muntah dan hilang berat badan.

Rawatan

Ulser bukanlah suatu penyakit yang boleh dirawat sendirian tanpa pertolongan doktor. Antasid atau ubat penghalang asid hanya memberikan kelegaan sementara.

Jika anda mempunyai simptom-simptom ulser, berjumpalah doktor. Dengan bantuan pakar, anda boleh mendapatkan kelegaan daripada sakit ulser dengan serta-merta dan pulih sepenuhnya.

Disebabkan kebanyakan ulser berpunca daripada bakteria H.pylori, doktor menggunakan kaedah membunuh bakteria dan mengurangkan tahap keasidan dalam sistem pencernaan untuk melegakan rasa sakit dan mempercepatkan penyembuhan.

Untuk melakukan kedua-dua langkah tersebut, ia memerlukan sekurang-kurangnya dua atau kadangkala tiga hingga empat daripada ubat-ubatan berikut iaitu antiobiotik, penghalang asid, antasid, pam perencat proton atau agen cytoprotective.

“Jika H.pylori tidak dikesan di dalam sistem anda, kebarangkalian ulser anda berpunca daripada NSAIDs yang mana anda patut berhenti mengambilnya jika boleh; atau asid refluks (ulser esofageal).

“Dalam kedua-dua kes, doktor anda akan mengurangkan tahap keasidan dengan menggunakan penghalang, antasid atau pam perencat proton. Kemungkinan besar anda juga dikehendaki mengambil ubat cycloprotection,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Ulser yang gagal disembuhkan

Peptik ulser yang tidak dapat disembuhkan setelah dirawat dikenali sebagai ulser refraktori.

Ini mungkin berpunca daripada pesakit ulser tidak mengambil ubat mengikut arahan doktor atau terdapat beberapa jenis H.pylori yang kebal kepada antibiotik.

Faktor-faktor lain yang boleh mengganggu proses pemulihan termasuklah penggunaan tembakau, alkohol atau NSAIDs.

Ada ketikanya punca masalah ini adalah secara tidak disedari di mana ramai yang tidak menyedari ubat yang mereka ambil mengandungi NSAIDs.

Dalam beberapa kes, ulser refraktori mungkin terjadi akibat penghasilan asid perut secara berlebihan seperti yang terjadi di dalam sindrom Zollinger- Ellison, jangkitan lain selain daripada H.pylori dan, penyakit pencernaan yang lain termasuk Crohn's atau kanser.

Rawatan untuk ulser refraktori termasuklah menyingkirkan faktor yang akan mengganggu proses penyembuhan, bersama sukatan ubat ulser yang lebih kuat. Kadangkala, ubat tambahan diperlukan.

Surgeri untuk membantu menyembuhkan ulser hanya diperlukan apabila ulser tidak menunjukkan sebarang tindakbalas terhadap rawatan dadah yang agresif.

Tip penjagaan diri

Sementara ulser sedang dalam proses penyembuhan, anda dinasihatkan mengambil berat tentang pemakanan dan mengawal stres.

Stres mungkin menambahkan asid dan melambatkan pencernaan. Ini menyebabkan makanan dan asid pencernaan kekal di dalam perut dan usus bagi jangkamasa yang lebih lama. Jika stres agak serius, ia akan melambatkan penyembuhan ulser.

Selain itu, pesakit disarankan agar berhenti merokok, tidak mengambil alkohol, elakkan ubat NSAIDs dan mengawal refluks asid dengan cara mengelakkan makanan pedas dan berlemak, elakkan berbaring selepas makan untuk sekurang-kurangnya tiga jam, meninggikan bahagian kepala katil dan mengurangkan berat badan.

Utusan, 3 Dec 2006

BATU KARANG & BUAH PINGGANG

Batu karang hempedu, batu-batu senyap
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

KETULAN-ketulan hitam yang kecil dan sangat besar adalah batu karang yang berjaya dikeluarkan manakala tisu berwarna kuning kemerahan adalah hempedu. Asalnya, batu hitam tersebut terletak di dalam tisu hempedu tersebut.
--------------------------------------------------------------------------------

HATI menghasilkan hempedu – sejenis cecair berwarna coklat kehijauan yang mengandungi garam hempedu, cecair lemak, kolestrol dan bahan-bahan kimia lain.

Cecair pekat ini disimpan di dalam pundi hempedu sehingga ia diperlukan untuk mencerna lemak di dalam usus kecil anda. Apabila makan, pundi hempedu anda akan mengecut dan membebaskan hempedu melalui duktus sistik dan memasuki duktus hempedu biasa.

Kemudian, duktus hempedu ini akan membawa hempedu ke bahagian atas usus kecil (duodenum) di mana ia akan mula memecahkan lemak dalam makanan anda.

Bagaimanapun, menurut Dr. Abd. Hamid Mat Sain, jika hempedu anda tidak mempunyai bahan kimia yang seimbang, ia akan membentuk menjadi partikel keras dan seterusnya menjadi batu karang.

“Proses ini akan mengambil masa selama beberapa tahun. Saiz batu karang hempedu ini adalah sekecil sebutir pasir atau sebesar bola golf yang licin serta bulat atau tidak tentu bentuknya dengan permukaan yang kasar.

“Anda mungkin mempunyai seketul atau beratus-ratus ketul batu karang hempedu di dalam tubuh anda,’’ kata Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan itu.

Seperti kebanyakan orang yang pernah menghidap penyakit batu karang hempedu, anda juga boleh mengalaminya tanpa sedar kerana ia boleh hadir tanpa sebarang simptom atau memerlukan rawatan perubatan.

Jika anda seorang wanita yang berusia dan mempunyai tubuh yang agak berisi, risiko untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu ini agak tinggi.

Simptom-simptom

* Rasa senak yang kronik yang ditandai dengan rasa mual, angin, kembung perut dan kadangkala sakit di bahagian abdomen.

* Kesakitan yang datang secara tiba-tiba, konsisten dan sederhana bertukar menjadi kesakitan yang teramat sangat di bahagian tengah dan kanan atas abdomen, kata Dr. Abd. Hamid.

“Ini mungkin menandakan serangan penyakit batu karang hempedu akan berlaku. Rasa sakit itu mungkin berlaku selama satu hingga dua jam selepas makan tetapi ia juga boleh terjadi pada waktu malam.

“Selalunya, rasa sakit itu memakan masa dari 15 hingga 30 minit ke beberapa jam. Sakit batu karang hempedu bermula di bahagian tengah dan kanan atas abdomen dan pada waktu-waktu tertentu, akan menular ke belakang atau bahu kanan,’’ jelasnya.

Selepas rasa sakit berkurangan, seseorang mungkin mengalami rasa sakit yang sederhana atau kesakitan di bahagian atas abdomen selama satu hari atau lebih.

Serangan batu karang hempedu tidak menentu. Ia boleh mengambil masa selama berminggu-

minggu, berbulanbulan atau bertahun-tahun lamanya.

* Loya dan muntah. Kadangkala, batu karang hempedu terperangkap di pangkal pundi hempedu dan mengakibatkan rasa sakit yang berterusan atau mengalami demam panas.

Apabila ini berlaku, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera.

Tambah Dr. Abd. Hamid, ada ketikanya, batu karang hempedu terlepas dari pundi hempedu dan masuk melalui duktus dari hati dan pundi hempedu ke usus kecil (duktus hempedu biasa). Ia juga boleh masuk melalui duktus yang menghala ke pankreas.

“Terdapat beberapa kes di mana ketulan batu karang mungkin tersumbat dan menyekat duktus, mengakibatkan komplikasi yang dikenali sebagai pankreatitis.

“Besar kemungkinan anda akan mengalami kesakitan dan demam disebabkan pembengkakan di kawasan tersebut. Jika tidak dirawat segera, ia boleh mengancam nyawa,’’ katanya.

Beberapa tanda dan simptom duktus hempedu yang tersumbat termasuklah kulit yang kekuningan dan kawasan mata menjadi putih (jaundis), air kencing berwarna gelap, demam panas dan sejuk.

“Jika anda mengalami satu atau lebih simptom halangan duktus hempedu – sakit di bahagian abdomen, warna kekuningan di kulit dan warna putih di mata (jaundis), air kencing yang gelap, dan demam panas dan sejuk – sila dapatkan penjagaan kecemasan.

“Perlu juga diingatkan bahawa ada waktunya, anda akan mengalami jaundis dan perubahan pada warna air kencing dan najis tanpa kesakitan atau senak yang teruk. Ia mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum anda perasan perubahan warna itu,’’ terang Dr. Abd. Hamid.

Faktor-faktor risiko

Batu karang hempedu merupakan suatu penyakit yang diwarisi secara turun-temurun dan tidak dapat dihalang pembentukannya. Faktor-faktor lain mungkin meningkatkan risiko penyakit ini seperti:

* Wanita di antara umur 20 dan 60 tahun lebih berisiko untuk menghadapinya dua kali ganda lebih daripada lelaki.

* Sewaktu indeks jisim tubuh (BMI) meningkat, risiko anda untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu juga meningkat.

* Diet yang berkalori rendah dan menghilangkan berat badan dengan cepat akan mengganggu sistem kimia, menyebabkan pundi hempedu anda kurang mengecut sekali gus meningkatkan risiko anda menghidapi penyakit batu karang hempedu.

* Kebarangkalian anda menghidapi penyakit batu karang hempedu turut meningkat seiring usia anda.


Jenis-jenis batu karang hempedu

* Batu karang hempedu berkolesterol. Batu-batu karang hempedu yang berwarna kuning mengandungi kolesterol yang tidak terlarut, walaupun ia mungkin mengandungi komponen-komponen lain seperti kalsium dan bilirubin (sisa-sisa sel darah merah yang lemah). Sebanyak 80 peratus batu karang hempedu adalah batu kolesterol.

* Batu karang hempedu berpigmen. Batu-batu kecil berwarna coklat gelap atau hitam terbentuk apabila terdapat terlalu banyak bilirubin. Ia boleh dihidapi oleh mereka yang mengalami sirosis, jangkitan trek biliari dan anaemia sel sikel yang menghasilkan bilirubin secara berlebihan.

* Batu karang hempedu duktus primer. Batu-batu ini akan terlepas ke dalam duktus nanah anda dan membentuk duktus itu sendiri. Walau bagaimanapun, batu karang jenis ini agak jarang berlaku.


Diagnosis

Dr. Abd. Hamid memberitahu, kebanyakan batu karang hempedu lebih-lebih lagi yang tidak menunjukkan tanda-tanda atau simptom-simptom, dikesan sewaktu ujian dijalankan – termasuk ujian ultrasound atau imbasan tomografi berkomputer – yang dilakukan atas sebab-sebab lain.

“Jika anda mempunyai tanda-tanda atau simptom-simptom penyakit batu karang hempedu, doktor anda akan mengesyaki anda mempunyai penyakit tersebut berdasarkan latar belakang perubatan keluarga anda dan pemeriksaan fizikal.

“Sewaktu pemeriksaan tersebut, doktor anda akan memeriksa jaundis di kulit atau keputihan di mata anda dan abdomen anda akan diperiksa secara palpasi untuk melihat sama ada ia akan terasa sakit apabila disentuh.’’

Jika doktor anda mengesyaki anda menghidapi penyakit batu karang hempedu, anda mungkin terpaksa melakukan ujian darah untuk memeriksa tanda-tanda jangkitan, tahap enzim pankreatik atau hati yang tidak normal, atau bilirubin yang berlebihan.

Rawatan

Doktor-doktor sering kali menemui ‘batu-batu senyap’ ini sewaktu pemeriksaan kesihatan yang rutin untuk mengesan penyakit lain dan selalunya, pesakit disarankan untuk ‘tunggu dan lihat’ daripada merawat.

Walau bagaimanapun, jika batu karang hempedu anda menunjukkan simptom-simptom, terdapat rawatan pembedahan dan bukan pembedahan yang boleh dilakukan.

Pembedahan

* Pembedahan laparoskopik kolesistektomi. Kebanyakan surgeri pundi hempedu dijalankan menggunakan laparoskop – sejenis tiub senipis pensel dengan sistem lampu dan kamera video yang kecil.

Hanya beberapa insisi kecil akan dilakukan. Anda kurang berasa sakit selepas pembedahan, kurang parut dan boleh kembali melakukan aktiviti seharian hanya dalam beberapa hari.

* Pembedahan terbuka. Pundi hempedu akan dikeluarkan melalui insisi besar di abdomen. Selepas surgeri dilakukan, hati anda akan terus menghasilkan hempedu yang secukupnya untuk mencernakan diet yang normal.

Bukan pembedahan

Batu-batu karang akan terbentuk berulang kali apabila rawatan bukan surgikal dilakukan. Walau bagaimanapun, apabila surgeri bukanlah pilihan utama si pesakit, doktor anda akan mencadangkan salah satu daripada pilihan berikut:

* Pil garam hempedu. Doktor akan menyarankan pengambilan ubat ursodial (Actigall), yang akan melarutkan batu-

batu kolestrol dalam beberapa waktu yang ditetapkan. Rawatan ini sesuai dilakukan untuk batu-batu karang yang kecil.

* Terapi gelombang bunyi (litotripsi gelombang kejutan extracorporeal). Rawatan ini menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk memecahkan batu-batu karang. Batu-batu karang akan terbentuk kembali melainkan jika anda mengambil ursodial secara berterusan.

Utusan, 12 Nov 2006
Utusan, 28 Jan 2007, Diet rendah protein pesakit buah pinggang
Utusan, 4 Mac 2007, Buah pinggang anda okey?

PERTOLONGAN CEMAS

Pertolongan cemas: Kemalangan jalan raya
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

MENYEDIHKAN. Baru hari pertama Ops Sikap XI bermula Rabu lalu, ia sudah pun merekodkan 18 kematian nahas jalan raya, mengatasi jumlah kematian semasa operasi yang sama pada tahun lalu, 15 orang.

Hari raya yang sepatutnya disambut dengan suasana riang dan gembira bertukar ratapan berdarah bagi keluarga mangsa. Jika tidak berhati-hati, lebih ramai yang akan meraung di hari bahagia ini.

Jika anda terlibat di dalam kemalangan atau terserempak atau yang pertama tiba di tempat kejadian, apakah yang akan anda lakukan sementara menunggu ketibaan bantuan perubatan?

Ataupun anda hanya dapat terpacak kaku dan melihat sahaja mangsa yang mengalami kecederaan kerana tidak mempunyai apa-apa pengetahuan asas mengenai pertolongan cemas yang melibatkan kemalangan jalan raya?

Anda tidak akan menyedari kepentingannya sehinggalah anda sendiri mengalami situasi ini. Atau mungkin anda boleh tanyakan soalan ini kepada diri sendiri:

“Bagaimana jika anda sendiri yang tercedera dan satu-satunya jalan untuk menyelamatkan nyawa anda adalah sama ada orang yang menemui anda itu terlatih atau sekurang-kurangnya, mempunyai pengetahuan asas mengenai bantuan cemas di kawasan kemalangan jalan raya?’’

Tahukah anda bahawa bantuan yang ikhlas diberikan oleh seseorang kadangkala boleh menjejaskan atau memburukkan keadaan, lebih-lebih lagi bagi mangsa yang tidak sedarkan diri atau mangsa yang tidak boleh bercakap selepas mengalami kemalangan.

“Majoriti mangsa yang mengalami kemalangan mendapat kecederaan kepala dan leher. Membuka topi keledar mangsa yang tidak sedarkan diri dan sekiranya mengalami kecederaan di leher akan menyebabkan kecederaan yang lebih teruk.

“Mengalihkan mangsa dengan mengangkat mangsa yang mendapat kecederaan tulang belakang dengan cara yang tidak betul juga boleh memburukkan keadaan mangsa,’’ kata Pakar Runding Bedah Ortopedik dan Trauma, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Dr. Mohd. Mahamud Musman.

Akibatnya, mangsa mungkin berhadapan dengan risiko kecederaan ringan menjadi semakin teruk, lumpuh dari paras leher atau paras pinggang ke bawah dan kematian.

Adakah anda juga tahu bahawa mangsa kemalangan yang sedar tidak boleh diberikan air atau makanan sekalipun mangsa merayu?

“Ini adalah amat penting kerana sekiranya mangsa memerlukan rawatan pembedahan atau mangsa menjadi tidak sedar ia boleh menyebabkan mangsa tersebut memuntahkan makanan atau minuman tersebut.

“Ia boleh memasuki paru-paru dan menyebabkan jangkitan kuman dalam paru-paru mangsa. Bagaimanapun, risiko ini berkurangan dengan perkembangan perubatan yang bertambah maju sekarang,’’ ujar beliau.

Dr. Mohd. Mahamud berkata, adalah lebih baik bagi orang awam yang tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan merawat mangsa kemalangan untuk menunggu dan mendapatkan bantuan terutama kepada mangsa yang mengalami kecederaan teruk.

“Orang ramai hanya dibenarkan memberi rawatan awal yang asas (seperti di bawah) sementara menunggu ketibaan bantuan.

“Walau bagaimanapun, bagi mangsa kemalangan yang berada di dalam keadaan yang sangat memerlukan rawatan kecemasan atau berada dalam kawasan yang tidak selamat dan menunggu bantuan mungkin memudaratkan mangsa, maka mengalihkan mangsa kemalangan dari kawasan yang bahaya dan memberi bantuan kecemasan adalah lebih baik dan boleh dilakukan daripada membiarkan mangsa begitu sahaja,’’ jelasnya.

Sebelum memberikan bantuan, kata Dr. Mohd. Mahamud, ada dua perkara utama yang perlu ditentukan terlebih dahulu iaitu kawasan dan mangsa kemalangan.

“Pastikan dahulu kawasan kemalangan adalah selamat dari bahaya sama ada kemalangan yang lain atau kebakaran atau letupan. Kedua, sama ada mangsa kemalangan mendapat kecederaan ringan atau teruk.

“Sekiranya mangsa mengalami kecederaan ringan, bolehlah dialihkan ke kawasan yang lebih selamat, diberikan bantuan awal atau terus membawanya berjumpa doktor yang berhampiran,’’ terangnya.

Sekiranya mangsa kemalangan teruk, dapatkan bantuan orang lain terutama ambulans atau pengguna jalan raya yang lain.

Tentukan mangsa boleh bernafas, stabilkan kepala, leher dan tulang belakang mangsa dan alihkannya ke tempat yang lebih selamat atau hantar terus ke hospital atau menunggu ketibaan ambulans.

Ditanya, yang manakah perlu diutamakan terlebih dahulu oleh orang awam di antara mangsa yang mengalami masalah pernafasan, perdarahan atau patah tulang, Dr. Mohd. Mahamud memberitahu:

“Utamakan mangsa kemalangan yang mengalami masalah pernafasan dahulu sebelum mangsa yang mengalami pendarahan dan patah tulang.

“Oleh sebab itu, orang ramai perlu memastikan bahawa mangsa kemalangan boleh bernafas secara spontan/sendiri.’’

Kemudian, pastikan pendarahan yang banyak dihentikan dan barulah menstabilkan anggota yang mengalami patah tulang.

*Kit pertolongan cemas

Biasanya mengandungi kain yang bersih, kain anduh, kain kasa, kain kapas, larutan cecair pencuci luka/kecederaan dan sarung tangan.

Ia sangat penting dibawa sebab jika berlakunya kemalangan, boleh digunakan untuk rawatan asas/permulaan seperti:

* Membalut luka atau kecederaan

* Kain digunakan sebagai anduh sekiranya ada tulang anggota yang patah

* Kain yang bersih juga digunakan untuk membalut/mengikat luka sekiranya berlaku perdarahan

* Mencuci kecederaan atau luka mangsa kemalangan.

*CPR

Bantuan pernafasan mulut ke mulut CPR (cardio-pulmonary resuscitation) merupakan satu prosedur penting yang perlu diketahui oleh orang ramai secara teori dan praktikal.

Prosedur ini memerlukan pembelajaran dan latihan praktikal kepada sesiapa yang ingin mempelajarinya.

Oleh sebab itu ia hanya boleh dilakukan oleh mereka yang berpengetahuan tentang CPR ke atas mangsa yang tidak bernafas secara sendiri dan spontan.

Sekiranya orang ramai berpengetahuan untuk melakukannya kepada mangsa kemalangan maka bolehlah mereka berbuat demikian tetapi adalah lebih baik dilakukan oleh mereka yang berpengalaman atau terlatih sahaja.

Apakah yang perlu dilakukan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian, khususnya yang mula-mula menyaksikan kemalangan berlaku:

* Melaporkan berlakunya kemalangan kepada pihak tertentu seperti ambulans, polis atau bomba

* Memberikan isyarat kepada para pengguna kenderaan yang lain tentang adanya kemalangan di kawasan tersebut untuk mengelakkan kemalangan yang lain berlaku

* Sekiranya mangsa mengalami kecederaan ringan dan mangsa sedarkan diri, hendaklah dibawa ke tempat yang lebih selamat bagi mengelakkan mangsa menerima kecederaan yang lebih teruk kerana dilanggar oleh kenderaan lain atau terus membawa mangsa ke klinik atau hospital berhampiran

* Orang awam yang mempunyai pengalaman atau pengetahuan untuk menyelamatkan mangsa kemalangan, rawatan awal yang perlu diberikan adalah:

1 - Membawa mangsa ke kawasan yang lebih selamat

2 - Sekiranya ada anggota mangsa yang mengalami perdarahan, hendaklah dibalut anggota yang berdarah dengan apa-

apa kain yang bersih bagi menghentikan pendarahan

3 - Sekiranya ada anggota mangsa yang mengalami patah tulang bahagian tangan, gunakan anduh atau kain yang boleh digunakan sebagai anduh untuk rawatan sementara.

Sekiranya mengalami patah tulang kaki, kayu atau apa saja yang boleh digunakan sebagai anduh diikat pada kaki yang patah supaya bahagian yang patah tadi tidak beralih, sekali gus mengurangkan kesakitan.

JIKA kecederaan melibatkan kepala, leher, tulang belakang atau kecederaan teruk

1- Pastikan bahagian kepala, leher dan tulang belakang stabil dahulu sebelum mengerakkan atau mengalihkan mangsa kemalangan.

Boleh dilakukan dengan menggerakkan/mengalihkan atau mengangkat mangsa secara serentak oleh sekurang-kurangnya dua atau tiga orang

Atau meletakkan mangsa di atas sekeping papan yang kukuh untuk mengalihkan mangsa kemalangan.

2. Memastikan mangsa kemalangan dapat bernafas sendiri dengan memastikan tiada objek yang boleh menghalang mangsa untuk bernafas sendiri secara spontan.

3. Pastikan tiada perdarahan yang banyak berlaku dengan cara membalut luka yang menyebabkan perdarahan dengan kain bersih.

Sekiranya melibatkan patah tulang, bahagian yang patah hendaklah dipastikan supaya tidak beralih/bergerak.

Tangan yang patah boleh distabilkan dengan kayu sebagai anduh manakala kaki hendaklah distabilkan dengan kayu sebagai anduh atau diikat sekali dengan kaki yang tidak cedera.

Utusan, 22 Oct 2006

TAMBAHAN
Utusan, 1 Oct 2006, Pertolongan cemas: Lecur & terbakar