Monday, December 11, 2006

AIDS & HIV

AIDS tanggungjawab bersamaOleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

SEMENJAK penemuan pertamanya dilaporkan pada tahun 1981, penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) telah mengubah senario dunia.

Dalam tempoh 25 tahun ini, ia telah membunuh lebih 25 juta manusia. Sementara itu, kira-kira 39.5 juta orang kini terpaksa hidup dengan virus Human Immunodeficiency (HIV), kebanyakannya tanpa mereka sedari.

Malah, tahun ini sahaja, 4.3 juta jangkitan baru dilaporkan yang meragut 2.9 juta nyawa - melayakkannya mendapat gelaran wabak paling teruk pernah dicatatkan dalam sejarah dunia.

AIDS disifatkan sebagai pembalikan tunggal terbesar dalam sejarah perkembangan manusia apabila ia menjadi penyebab utama kematian lelaki dan wanita berusia dalam lingkungan 15 hingga 59 tahun - cabaran terbesar generasi kita.

Walaupun terdapat kemajuan di sana sini, namun data terkini yang dikeluarkan Program Bersama Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) terus membimbangkan.

Epidemik itu terus merebak luas khususnya di Afrika sub-Sahara, Asia dan Eropah Timur.

Berdasarkan perkembangan semasa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, sebanyak 117 juta orang lagi akan mati bahana AIDS dalam tempoh 25 tahun akan datang.

Tahun ini merupakan kali ke-19 sambutan Hari AIDS Sedunia yang ditetapkan pada setiap tanggal 1 Disember, dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit AIDS yang masih belum ditemui penawarnya.

Konsepnya mula diperkenalkan pada Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Kesihatan berkenaan Program Pencegahan AIDS 1988. Sejak itu, ia diraikan oleh kerajaan-kerajaan, organisasi antarabangsa dan badan-badan kebajikan di serata dunia.

Dari tahun 1988 hingga 2004, Hari AIDS Sedunia dianjurkan oleh UNAIDS yang akan memilih temanya selepas berunding dengan lain-lain pertubuhan.

Bagaimanapun, tahun lalu, UNAIDS menyerahkan tanggungjawab penganjuran itu kepada sebuah organisasi persendirian yang iaitu World Aids Campaign.

Untuk tahun 2005, mereka memilih ‘Hentikan Aids: Berpeganglah kepada Janji (Kebertanggungjawaban)’ sebagai tema hari berkenaan yang diteruskan sehingga 2010.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dalam ucapan sempena sambutan hari berkenaan di New York, menyifatkan dunia berada dalam tempoh penafian dan sangkalan yang begitu panjang.

Namun, perubahan sikap mulai nampak sedikit demi sedikit jika dihitung dari 10 tahun yang lalu.

Dunia sudah mulai bertindak menentang AIDS secara serius sebagaimana layaknya.

“Sumber kewangan dicurahkan dengan begitu banyak tidak seperti sebelumnya. Manusia juga kini sudah mempunyai akses kepada rawatan antiretroviral yang selama ini tidak pernah wujud.

“Malah, beberapa negara juga sudah berjaya melawan penularannya yang sebelum ini gagal dikawal. Dan kini, dengan bilangan jangkitan yang tidak juga reda, kita perlu menggerakkan kemahuan dan kesungguhan politik yang belum pernah kita pamerkan,’’ katanya.

Menurutnya, kebertanggungjawaban memerlukan setiap presiden, perdana menteri, ahli parlimen mahu pun ahli politik untuk membuat keputusan dan mengisytiharkan bahawa ‘AIDS berhenti dengan saya’.

Bagaimanapun, tegas Annan, kebertanggungjawaban yang dimaksudkannya itu bukan tertakluk kepada mereka yang mempunyai kedudukan politik sahaja.

“Ia juga tanggungjawab kita semua. Tidak kira sama ada anda seorang bapa, suami, anak atau adik beradik perlu memberikan sokongan dan mengesahkan hak-hak kaum wanita.

“Dan, ia juga memerlukan setiap dari kita untuk menghulurkan tangan memberikan bantuan untuk membawa keluar AIDS dari bayang-bayangnya dan menyebarkan mesej bahawa diam itu boleh membunuh,’’ ujar beliau.Annan yang akan bersara hujung tahun ini setelah 10 tahun perkhidmatannya mengakui bahawa HIV/AIDS sentiasa dekat di hatinya dan menjadi keutamaan peribadinya sepanjang menjawat jawatan berkenaan.

Beliau menunjukkan contoh kebertanggungjawabannya apabila berjaya menuntut agar diwujudkan peruntukan tambahan sebanyak tujuh bilion kepada 10 bilion dolar setahun bagi tujuan berkenaan dan boleh berbangga kerana menjadi penaung kepada sebuah dana yang menyalurkan hampir AS$3 bilion untuk membiayai program-program berkaitan di peringkat global.

“Tidak lama lagi, saya akan berundur (sebagai Setiausaha Agung PBB). Tetapi, selagi saya mempunyai tenaga dan kekuatan, saya akan terus menyebarkan mesej ini.

“Itulah sebabnya Hari AIDS Sedunia akan sentiasa istimewa di dalam hati saya. Pada hari ini, marilah kita berikrar untuk terus berpegang kepada janji - bukan hari ini sahaja, atau tahun ini, atau tahun depan - tetapi setiap hari, sehinggalah wabak ini berjaya di tawan,’’ kata Annan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif UNAIDS, Peter Piot berkata, terdapat aliran positif yang diperhatikan pada golongan muda berkaitan tingkah laku seksual seperti penggunaan kondom yang semakin meningkat, menangguhkan hubungan kelamin pertama dan kurang bertukar-tukar pasangan.

Piot memberitahu: “Di beberapa negara, terdapat penurunan dari segi kekerapan HIV di kalangan warga belia antara tahun 2000 hingga 2005,’’

Afrika Sub-Saharan kekal rantau yang paling teruk menerima tempiasnya dengan 24.7 juta orang telah dijangkiti diikuti Asia Tenggara dan Selatan (7.8 juta); Eropah Timur dan Asia Tengah (1.7 juta); Amerika Latin (1.7 juta) dan Amerika Utara (1.4 juta).

Di Afrika Selatan, pemimpin veteran Zulu, Mangosutho Buthelezi yang kehilangan dua anaknya di tangan AIDS memberitahu AFP, Afrika perlu berhenti daripada menyapu penyakit itu di bawah permaidani sahaja.

“Kita tidak mempunyai pilihan. Jika kita mahukan rakyat kita terus hidup, jika kita mahu mengatasi pandemik ini, kita perlu ke depan, bersikap terbuka mengenainya termasuklah dalam hal seksualiti,’’ katanya.

Adalah dianggarkan 5.5 juta daripada 47 juta warga Afrika yang dijangkiti oleh HIV, kadar kedua tertinggi di dunia selepas India.

Dalam pada itu, pakar-pakar memberi amaran bahawa kisah kejayaan AIDS di Asia Tenggara berada dalam bahaya kerana situasinya yang berubah arah.

Contoh kes adalah Thailand di mana menurut pakar, epidemik tersebut sedang berkembang dan mengenai kumpulan-kumpulan yang sebelum ini dianggap berisiko rendah dijangkiti.

Di China, aktivis AIDS Veteran, Wan Yanhai, yang baru-baru ini ditahan polis berkata, jumlah mereka yang menderitai penyakit itu boleh jadi 10 kali ganda lebih tinggi berbanding jangkaan rasmi.

Pada minggu lalu, Kementerian Kesihatan republik berkenaan mengesahkan bahawa sehingga penghujung Oktober 2006u seramai 183,733 orang rakyatnya adalah positif HIV/AIDS, meningkat 27.5 peratus berbanding akhir tahun lalu.

Bilangan kes yang disahkan itu adalah jauh lebih rendah daripada anggaran 650,000 yang diletakkan secara bersama oleh kerajaan dan agensi-agensi kesihatan PBB pada Januari.

“Berdasarkan kajian Beijing Aizhixing Institute (kumpulan kesedaran yang diketuai oleh Wan), angka sebenar adalah 10 kali lebih tinggi berbanding 650,000,’’ jelasnya.

Wan yang dibebaskan pada Isnin lalu mendakwa, penahanannya itu mungkin ada kaitan dengan kegusaran kerajaan untuk bertanggungjawab terhadap penyebaran berleluasa penyakit merbahaya itu selain perhimpunan yang diadakan oleh mangsa bagi menuntut ganti rugi.

Di Malaysia, penyebaran wabak tersebut dikatakan mampu menghapuskan perolehan ekonomi yang telah dijana oleh negara dalam tempoh 50 tahun lalu.

Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Datuk Ramlee Rahmat berkata, jika tiada langkah-langkah lebih kukuh diambil bagi menghentikan penyebaran AIDS, “Ini akan menyapu bersih manfaat pembangunan yang telah dicapai sejak merdeka pada tahun 1957.’’

Beliau dipetik sebagai berkata demikian oleh AP semasa ucapan pembukaan persidangan anjuran PBB bagi memperingati Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember di Kuala Lumpur.

Setiap hari, tiga orang mati disebabkan oleh penyakit-penyakit berkaitan AIDS di Malaysia. Kira-kira 73,000 orang dijangkiti HIV, membabitkan lebih 8,000 kematian.

Tiga suku daripada mereka yang dijangkiti oleh virus yang melumpuhkan keupayaan semulajadi badan untuk melawan penyakit itu ialah penagih dadah manakala tujuh peratus ialah wanita.

Mesejnya, untuk mengatasi AIDS, segala-galanya bukan terletak kepada wang semata-mata. Yang perlu diselesaikan juga adalah sikap dan prejudis kita.

Kerana dalam kita meraikan hari ini, masih ada suara-suara kesakitan yang ditanggung oleh mereka yang positif HIV, tidak kita dengari dan peduli.

Anda? Apakah yang anda lakukan? Bukankah kita boleh memilih untuk tidak dijangkiti, untuk tidak mati kerana AIDS.

Utusan, 3 Dec 2006

No comments: