Monday, December 11, 2006

KEMANDULAN

Kenapa lelaki mandul?
Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

BERBULAN lamanya anda dan isteri mencuba, malah mungkin telah lebih setahun berlalu. Namun, sekali pun anda melakukan hubungan kelamin tanpa sebarang langkah kontrasepsi, pasangan anda tidak hamil juga.

Di manakah silapnya? Kemungkinan besar, ada sesuatu yang mengganggu usaha anda untuk mendapatkan zuriat.

Ketidaksuburan atau kemandulan bermaksud ketidakbolehan seorang wanita mengandung atau pada seorang lelaki, memulakan penghamilan dalam tempoh setahun.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Dr. Zamri Abdul Rahim berkata, kira-kira 60 peratus daripada kes pasangan yang mengalami masalah ini membabitkan faktor lelaki.

“Sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan masalah kesuburan berpunca daripada lelaki manakala 20 peratus lagi adalah gabungan faktor lelaki dan wanita.

“Kerana itulah apabila satu-satu pasangan itu mengalami masalah untuk mendapatkan anak, orang lelaki juga perlu menjalani pemeriksaan dan bukannya wanita sahaja,’’ katanya.

Menurutnya, kebanyakan lelaki yang mengalami masalah kemandulan tidak menunjukkan apa-apa tanda.

Sesetengah daripada mereka yang mempunyai gangguan hormon mungkin mendapat isyarat dari segi perubahan suara, pertumbuhan rambut yang ketara, pembesaran buah dada mahupun menghadapi kesukaran fungsi seksual.

Punca ketidaksuburan lelaki

- Kesukaran ereksi dan ejakulasi. Kira-kira lima peratus pasangan tidak subur berhubung rapat dengan faktor hubungan kelamin seperti gagal memperoleh atau mengekalkan ketegangan zakar, pancutan air mani pramatang, dalam jumlah yang kurang dan ke arah belakang serta, kerap melancap.

Kekerapan dalam melakukan hubungan seks memainkan peranan yang penting. Kajian mendapati, pasangan yang bersetubuh purata empat kali seminggu akan mengandung selepas enam bulan.

- Air mani yang tidak normal. Air mani yang terlalu tebal boleh menyukarkan sperma untuk bergerak ke trek reproduktif wanita.

- Varikosele. Kumpulan vena (pembuluh darah) yang mengembang dan bergumpal-gumpal (seperti vena varikos yang berbelit-belit pada kaki) di dalam skrotum (kantung zakar) disebabkan oleh darah yang tidak mengalir keluar dengan betul dari skrotum.

“Akibatnya - lebihan darah bertakung di dalam skrotum. Ini memberikan kesan yang negatif terhadap pengeluaran sperma.

“Bagaimanapun, keadaan ini merupakan punca ketidaksuburan lelaki yang paling berpotensi untuk dirawat melalui pembedahan kecil pesakit luar,’’ kata Dr. Zamri.

Adalah dipercayai, hawa panas yang bertindak terhadap buah zakar dan saluran mani menyebabkan pembentukan benih tertindas.

Hawa panas boleh menindas pembentukan benih-benih khususnya bagi lelaki yang bekerja sebagai pemandu lori atau mereka yang perlu memandu beratus-ratus kilometer dalam cuaca panas.

Lelaki yang terdedah kepada radiasi misalnya seseorang yang mendapat rawatan kanser buah zakar juga boleh menjadi mandul ataupun menjejaskan kesuburannya.

- Kriptokidisme. Buah zakar yang gagal menurun ke dalam kantungnya, satu atau kedua buah zakar mungkin terletak di dalam perut.

Keadaan ini sering dikaitkan dengan kemandulan tetapi lebih penting lagi adalah kaitannya dengan kanser buah zakar.

- Penyakit-penyakit semulajadi seperti Sindrom Klinefelters di mana lelaki mempunyai buah zakar yang amat kecil dan tidak mampu mengeluarkan benih.

Terdapat juga penyakit yang menyekat saluran dan karung air mani atau pun saluran air kencing. Kerana itulah sesetengah lelaki dilahirkan dengan saluran air kencing yang terbuka pada sisi bawah zakar (hipospadias) atau atas (epispadias) sedangkan bukaan sepatutnya pada hujung zakar.

- Jangkitan yang terjadi ke atas buah zakar dan saluran air mani seperti beguk, tibi, penyakit-penyakit alat kelamin seperti gonorea dan siflis yang menyekat perjalanan benih daripada buah zakar ke karung air mani

- Ubat-ubatan tertentu juga boleh menjejaskan penghasilan sperma serta fungsinya. Sesetengah ubat boleh menyebabkan disfungsi ejakulasi.

Contohnya, ubat antikulat Ketoconazole, Sulfasalazine untuk merawat penyakit keradangan usus, Spironolactone (antihipertensi) dan Allopurinol, colchicine (gout).

Diagnosis

Seseorang lelaki itu dikatakan subur apabila buah zakarnya mengeluarkan sperma sihat yang mencukupi.

Sperma juga hendaklah dipancutkan dengan baik, terus ke dalam faraj wanita. Ujian ketidaksuburan lelaki bertujuan menentukan jika ada di antara proses-proses ini yang rosak atau lemah.

- Pemeriksaan fizikal meliputi pemeriksaan alat kelamin dan soalan-soalan berkaitan sejarah perubatan dan tabiat seksual

- Analisis air mani adalah penyiasatan terpenting bila bercakap mengenai kemandulan lelaki.

Doktor akan meminta contoh air mani untuk diperiksa, sebaik-baiknya didapati hasil pengeluaran sendiri (onani).

Air mani tersebut kemudiannya akan dianalisis di makmal dari segi kuantiti, warna, kehadiran jangkitan atau darah, sebarang kejanggalan rupa bentuk atau struktur serta pergerakan sperma.

Pengambilan contoh air mani mungkin perlu diulang terutamanya jika ia langsung tidak mempunyai benih, satu keadaan yang dikenali sebagai azospermia.

- Pemeriksaan lanjut biopsi buah zakar akan dilakukan sekiranya timbul keadaan ini (azospermia) di mana secebis tisu buah zakar akan diambil untuk kajian mikroskop. Pesakit akan dibius setempat.

- Ujian hormon, di mana darah pesakit akan diuji bagi menentukan tahap testostero serta lain-lain hormon lelaki.

Rawatan

“Kualiti air mani pesakit selalunya menunjukkan peningkatan selepas melalui rawatan ubat-ubatan seperti hormon dan antibiotik atau, prosedur pembedahan.

“Sementara itu, lelaki yang ketidasuburannya tidak diketahui punca (idiopatik) boleh melakukan beberapa perubahan gaya hidup bagi tujuan yang sama, meningkatkan analisis air mani,’’ kata Dr. Zamri.

Lelaki dengan analisis air mani yang lemah dan tidak boleh dirawat atau sebabnya tidak diketahui masih mempunyai pilihan untuk mendapatkan anak melalui teknologi reproduktif yang dibantu oleh makmal.

Antaranya, yang paling popular adalah persenyawaan in-vitro (IVF) atau suntikan sperma intrasitoplasmik (ICSI) dengan menyuntik sperma tunggal secara langsung ke dalam telur.

Perubahan gaya hidup dan saranan umum

- Pakailah seluar dalam atau pita untuk mengikat stoking (suspender) yang longgar sahaja kerana penggunaannya yang amat ketat juga boleh menindas pembentukan benih-benih lelaki.

Seluar dalam yang ketat menyebabkan buah zakar melekat pada badan, yang mana sukatan suhunya adalah lebih panas daripada buah zakar.

- Selepas pulang dari bekerja, rendam buah zakar dalam air sejuk sekurang-kurangnya 10 minit. Amalan ini dipercayai boleh meningkatkan bilangan benih

- Lakukan hubungan kelamin pada waktu isteri tengah subur adalah penting umumnya pada hari ke-14 selepas hari pertama datang bulan

- Berhenti merokok. Merokok menyebabkan 23 peratus penurunan dalam pekatan sperma dan 13 peratus kemerosotan dari segi pergerakan sperma

- Elakkan penggunaan pelincir faraj kerana kebanyakannya boleh menyebabkan keracunan sperma, terutamanya pada waktu-waktu subur wanita

- Bersenam. Senaman seperti aerobik membantu meningkatkan tahap testosteron, seterusnya mendorong kepada penghasilan sperma yang meningkat

- Hindari suhu panas yang boleh menyumbang kepada pengeluaran sperma terjejas

- Makan makanan berzat yang mengandungi pelbagai jenis vitamin. Sesetengah pakar berpendapat bahawa vitamin E boleh memperbaiki daya kesuburan seseorang lelaki walaupun belum terbukti kesahihannya.


Utusan, 10 Sept 2006

TAMBAHAN

No comments: