Monday, December 11, 2006

TEKANAN DARAH

Olmetec rawatan baru menurunkan tekanan darah
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

TEKANAN darah – bermaksud tujahan darah pada dinding saluran darah. Apabila tekanan darah adalah tinggi, ia bermakna ada sesuatu yang menghalang kelancaran aliran darah.

Ini sering kali berlaku kerana saluran darah menjadi sempit lalu menyebabkan jantung terpaksa mengepam dengan lebih kuat bagi menolak darah melalui saluran darah yang sempit itu.

Seseorang yang menghidap tekanan darah tinggi mempunyai kemungkinan yang lebih besar akan mengalami serangan jantung atau strok.

Apa itu hipertensi (tekanan darah tinggi)?

“Seseorang yang menghidap tekanan darah tinggi dan diabetes mempunyai kemungkinan yang lebih besar akan mengalami penyakit jantung, strok, masalah penglihatan dan sakit buah pinggang.

“Lebih tinggi tekanan darahnya, lebih besar kemungkinan akan mengalami penyakit jantung, strok, masalah penglihatan dan sakit buah pinggang,’’ kata Pakar Runding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pelancaran Olmetec (olmersartan medoxomil), sejenis rawatan terkini oleh firma farmaseutikal Pfizer bagi mengurangkan tekanan darah di Kuala Lumpur, baru- baru ini. Hadir sama ialah Pengarah Urusan Pfizer malaysia, John R Latham.

Kajian menunjukkan bahawa, risiko kematian akibat penyakit jantung dan strok semakin meningkat di kalangan orang dewasa berusia di antara 40 hingga 89 tahun walaupun pada tekanan darah yang serendah 115/75.

Risiko ini akan berlipat ganda untuk setiap kenaikan sebanyak 20mm Hg dalam tekanan darah sistolik atau 10mm Hg dalam tekanan darah diastolik.

Mengapa terdapat dua nombor?

Tekanan darah sentiasa diukur dalam dua nombor - seperti nombor pecahan.

* Sistolik: Ini adalah tekanan apabila jantung sedang mengepam dan darah mengalir dengan kuat. Ia sentiasa digambarkan oleh nombor yang di atas

* Diastolik: Ini adalah tekanan apabila jantung berehat di antara degup dan tekanan darah menurun. Ia sentiasa digambarkan oleh nombor yang di bawah.

Seseorang itu boleh didiagnos dengan tekanan darah tinggi apabila salah satu daripada nombor ini menjadi terlalu tinggi. Justeru, adalah penting bagi mereka yang menghidap tekanan darah tinggi untuk mengawal kedudukan kedua-dua nombor ini.

Bilakah tekanan darah menjadi tinggi?

Seseorang ahli kesihatan profesional boleh memberitahu kita apakah tekanan darah kita yang ideal berdasarkan sejarah perubatan dan profil individu kita.

Setiap orang seharusnya tahu tekanan darah mereka supaya tindakan boleh diambil untuk mengurangkannya jika perlu.

Carta di bawah menunjukkan perbezaan julat tekanan darah tinggi seperti yang didefinisikan oleh Panduan Amalan Klinikal Terhadap Pengurusan Hipertensi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Apa yang menyebabkan tekanan darah tinggi?

Dalam 90 hingga 95 peratus pesakit, penyebab kepada tekanan darah tinggi ini tidak diketahui. “Malah, seseorang itu boleh mengalami tekanan darah tinggi selama bertahun-tahun sebelum menyedarinya. Sebab itulah ia dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’.

“Apabila sebabnya tidak diketahui, ia diklasifikasikan oleh ahli kesihatan profesional sebagai hipertensi primer atau utama,’’ kata Dr. Kah Lin.

Dalam kes sebegini, terdapat konsensus yang semakin meningkat dalam komuniti perubatan bahawa tekanan darah tinggi mungkin disebabkan oleh faktor-faktor persekitaran termasuk:

* Sejarah keluarga dengan tekanan darah tinggi

* Diet natrium yang tinggi

* Alkohol yang berlebihan

* Corak kehidupan yang banyak duduk

* Stres

* Merokok



“Dalam baki seramai 5 hingga 10 peratus pesakit lagi, hipertensi ini diklasifikasikan sebagai sekunder kepada penyakit atau keabnormalan yang telah dikesan.

“Sebab kepada jenis ini termasuklah penyakit pada buah pinggang atau sistem hormon dan hipertensi yang dicetus oleh dadah akibat ubat seperti pil perancang, steroid dan dekongestan,’’ ujar beliau.

Matlamat dalam menangani hipertensi sekunder adalah untuk mengenal pasti sebab-sebab yang mendasarinya yang biasanya boleh dikawal dengan rawatan.

Mengurangkan insiden strok dan serangan jantung

“Jika sekiranya ubat baru ini boleh mengurangkan tekanan darah walaupun pada kadar yang kecil, ia boleh memainkan peranan penting untuk mengurangkan dengan banyaknya kejadian strok dan akhirnya akan menurunkan insiden serangan jantung.

“Olmetec berada dalam kelas ubat-ubatan yang dikenali sebagai Penghalang Reseptor Angiotensin II (ARB) yang berfungsi menghalang aktiviti angiotensin II, sejenis bahan di dalam tubuh yang menyebabkan saluran darah mengecut lalu meningkatkan tahap tekanan darah,’’ kata Dr. Kah Lin.

Satu penyelidikan klinikal ke atas Olmetec melibatkan seramai 643 orang pesakit daripada yang menghidap tekanan darah yang tidak begitu tinggi sehingga kepada tekanan sederhana telah dijalankan.

Hasilnya, dalam tempoh hanya dua minggu, kumpulan pesakit yang menggunakan ubat ini mengalami penurunan tekanan darah yang lebih besar berbanding mereka yang menggunakan ubat-ubatan semasa.

Dalam tempoh lapan minggu, ramai yang telah mencapai bacaan tekanan yang selamat.

Pesakit yang mengambil Olmetec juga dilaporkan tidak mengalami kesan sampingan seolah-olah mereka mengambil pil palsu.

Apabila dibandingkan dengan ubat-ubatan lain dalam kelas yang sama, Olmetec didapati adalah lebih berkesan atau sekurang-kurangnya mencatatkan tahap keberkesanan yang sama.

Kajian ke atas Olmetec diteruskan dengan beberapa penyelidikan sedang dilakukan untuk menyiasat kesannya ke atas perlindungan reno, kematian dan manfaat vaskular.

Ini penting kerana pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi boleh mengalami kegagalan organ yang memberikan kesan terhadap otak, jantung atau buah pinggang jika tidak dirawat sehingga mencapai sasarannya.

Saintis berkenaan sedang menunggu keputusan yang positif daripada kajian yang dijalankan untuk pesakit darah tinggi yang turut menghidap diabetes.

“Menguruskan tekanan darah tinggi sememangnya merupakan sesuatu yang penting dalam agenda rakyat Malaysia.

“Satu kaji selidik yang telah dilakukan ke atas seramai 21,391 orang rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas semasa kajian kebangsaan untuk kesihatan dan kematian dijalankan pada tahun 1996 menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi amat berleluasa,’’ jelas Dr. Kah Lin.

Analisis data selanjutnya turut mencadangkan bahawa tahap kesedaran di kalangan pesakit darah tinggi adalah rendah dan apa yang lebih membimbangkan adalah, darjah kawalan tekanan darah tinggi di kalangan mereka yang sedang menerima rawatan berada pada tahap yang amat teruk.

Mengenai Olmetec

Olmetec disediakan dalam bentuk pil dalam dos 10mg, 20mg dan 40mg yang perlu diambil sekali sahaja sehari melalui preskripsi doktor.

Wanita mengandung hendaklah mengelakkan pengambilannya. Satu-satunya kesan sampingan yang dilaporkan adalah pening.

Utusan, 23 Julai 2006

TAMBAHAN
Utusan, 8 Oct 2006, Tekanan darah rendah wanita hamil

No comments: