Tuesday, December 5, 2006

SEKS & REMAJA

Seks: Kenali rahsia remaja

SEKARANG saya berumur 13 tahun dan perubahan badan sangat ketara. Apakah yang terjadi?

Hairan, sejak akhir-akhir ini, saya banyak berfikir ke arah seks, adakah saya ini normal? Apakah itu orgasma atau kemuncak?

Teman lelaki saya mengajak saya untuk melakukan hubungan seks bagi membuktikan cinta saya terhadapnya. Perlukah saya mendengar katanya?

Remaja – masa peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa, merupakan satu zaman yang penuh dengan kegembiraan, dan juga boleh membingungkan.

Ia bermula dari usia 10 hingga 19 tahun, berbeza-beza di antara seorang dengan yang lain.

Bukan fizikal sahaja yang mengalami perubahan akibat tindakan hormon di dalam badan, tetapi begitu juga dengan soal hati – perasaan dan emosi.

Banyak pertimbangan memerlukan perhatian, fokus pada perubahan diri, hubungan dengan kawan-kawan, masalah persekolahan serta sosial, kehidupan seharian dan tidak lupa, percintaan yang normal.

Berbanding teruna, kebanyakan anak- anak gadis lazimnya berasa lebih takut dan tertekan dengan perubahan yang mendadak ini.

Memahami perubahan-perubahan proses tumbesaran yang berlaku memudahkan remaja untuk menerima hakikat, seterusnya menyesuaikan diri dan melalui peralihan baru ini dengan lebih meyakinkan.

Misalnya, sebelum seorang gadis atau teruna ingin menjalinkan hubungan seksual, mereka mesti memikirkan mengenai beberapa perkara. Adakah mereka benar-benar bersedia?

Bersedia maksudnya, tahu semua kesan dan akibat hubungan seksual seperti gadis itu mungkin mengandung dan melahirkan anak, terkena jangkitan penyakit kelamin atau HIV.

Akibatnya, mereka terpaksa berhenti sekolah, memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa dan bekerja pada usia muda. Yang paling teruk, menconteng arang ke muka keluarga.

Sebenarnya, tiada kata terlambat untuk memulakan diskusi dengan anak-anak tentang isu-isu yang bersabit dengan seksual.

Sikap terbuka, sekalipun dengan anak-anak yang masih kecil apatah lagi dengan peredaran masa akil baligh yang bertambah semakin cepat kini, mampu menunjukkan kepada mereka bahawa seks merupakan satu topik yang boleh dibincangkan bersama.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor, remaja mula mengalami perubahan fizikal di antara umur sembilan dan 16 tahun. Ini dipanggil akil baligh.

“Perubahan fisiologi ini sebenarnya menyediakan anda untuk tujuan pembiakan. Telur bagi perempuan dan testis untuk lelaki mula mengeluarkan hormon-hormon.

“Kehadiran hormon-hormon ini akan menyebabkan perubahan fizikal badan, menampakkan sifat fizikal perempuan dan juga lelaki dewasa,” katanya.

Perubahan fizikal remaja perempuan

*Payu dara bertambah besar

*Punggung melebar

*Berat badan bertambah

*Bulu tumbuh di bawah ketiak dan kawasan kemaluan

*Tumbuh jerawat

*Haid

*Suara berubah dari keanak-anakan menjadi lebih matang.

Perubahan fizikal remaja lelaki (sekitar umur 12 hingga 14 tahun)

*Zakar dan testis bertambah besar

*Rambut di badan menjadi lebih kasar

*Tumbuh bulu di bawah ketiak, muka (misai dan janggut) dan kemaluan

*Bahu dan dada menjadi bidang

*Tumbuh jerawat

* Suara menjadi bertambah dalam dan garau

*Mimpi ghairah sehingga mengeluarkan air mani

*Testis mula mengeluarkan sperma.

“Hormon estrogen dan progesteron menyebabkan perubahan untuk menyediakan badan seorang perempuan untuk mengandung.

“Ovari mengandungi telur dan ia dilepaskan setiap bulan, ini dipanggil ovulasi. Kejadian ini berlaku di pertengahan kitaran haid, biasanya 12 hingga 14 hari sebelum datang haid yang berikutnya,” kata Dr. Shah Reza.

Menurutnya, telur bergerak di saluran fallopio. Jika persenyawaan berlaku dengan sperma, gabungan tersebut akan ditanam di lapisan dalam rahim.

Sekiranya tidak berlaku persenyawaan, lapisan dalam rahim akan meruntuh dan pendarahan berlaku yang dipanggil haid.

Haid

Haid menunjukkan organ reproduktif seorang gadis telah mula berfungsi. Selalunya, pusingan haid berlaku di antara 28 hingga 35 hari.

Seorang gadis akan mengalami haid selama tiga hingga enam hari. Tempoh haid adalah berbeza di antara seorang gadis dengan gadis yang lain.

Pada masa sama, telur menjadi matang di dalam ovari. Akibat rangsangan hormon, lapisan tebal darah yang baru, mula terbentuk di dalam uterus.

Ketika pertengahan kitaran haid, telur dibebaskan dari ovari dan bergerak menuju ke uterus melalui saluran fallopio.

Sekiranya telur tidak disenyawakan oleh sperma, telur akan hancur dan dikeluarkan dari tubuh. Lapisan tebal darah di dalam uterus akan dikeluarkan sebagai haid.

Kebiasaannya seorang gadis akan mengalami haid pada setiap bulan sehinggalah dia mengalami putus haid (menopaus), kecuali semasa mengandung.

Bagaimanapun, haid mungkin lewat atau tidak teratur dalam keadaan gangguan emosi mahupun tekanan.

Apa itu dara, teruna

Ia adalah istilah yang digunakan untuk remaja lelaki dan perempuan yang belum pernah mengadakan hubungan kelamin.

Bagi remaja perempuan, dara dikaitkan dengan selaput dara. seorang gadis itu dikatakan tiada dara sekiranya selaput dara gadis koyak akibat persetubuhan.

Namun begitu, selaput dara juga boleh koyak disebabkan oleh aktiviti lasak atau kemalangan.

Reproduksi dan seks

Semasa persetubuhan, zakar yang tegang akan memasuki faraj. Pergerakan di antara kedua-dua organ ini akan menyebabkan orgasma.

Apabila lelaki mencapai kemuncak, ejakulasi akan berlaku di mana bahan cecair ini mengandungi berjuta-juta sperma.

Sperma ini akan bergerak ke saluran fallopio dan persenyawaan berlaku. Si perempuan boleh mengandung dari perkongsian ini.

Hanya satu cara sahaja untuk tidak mengandung, jangan lakukan hubungan seks. Fikirlah akan komplikasi ini sebelum perhubungan dibuat.

Perubahan emosi

Dr. Shah Reza berkata, semasa remaja, hormon-hormon seperti estrogen, progesteron dan testosteron menyebabkan organ-organ seks membesar dan mula berfungsi untuk reproduksi.

“Ini menyebabkan remaja akan mempunyai perasaan emosi serta perasaan nafsu seks yang mendadak. Ini adalah satu kitaran fisiologi kematangan yang normal.

“Mungkin ketika ini, remaja akan mula berfikir mengenai seks, ingin mendengar ataupun membaca sesuatu yang berkaitan dengan seks,” ujar beliau.

Tambahnya, mungkin timbul hasrat untuk memegang atau ingin dipegang oleh kawan-kawan yang berlainan jantina.

Perasaan ini boleh dikawal bergantung sejauh mana pengetahuan mengenai seks dan kejantinaan remaja semasa tumbesaran. Keyakinan diri remaja mesti dipupuk sejak dari prasekolah lagi.

Membuat keputusan

“Remaja gemar melihat wayang gambar, televisyen, video muzik dan sebagainya. Untuk melariskan penjualan, adegan-adegan berorientasikan seks disertakan untuk imaginasi.

“Remaja tidak tahu membezakan di antara sesuatu yang maya dan realiti. Mereka beranggapan yang semua hubungan mesti berakhir dengan seks. Kenyataan ini ilusi semata-mata,” tegas Dr. Shah Reza.

Mengulas lanjut, remaja katanya, harus bertanyakan diri sendiri tentang perasaan seks. Adakah anda bersedia untuk hubungan seks? Sekiranya anda mempunyai teman rapat, bagaimanakah perasaan rakan anda tentang apa-apa mengenai seks?

Yakin diri dan buat satu keputusan yang jitu tentang bila hubungan seks diharuskan. Jangan mengadakan hubungan seks atas alasan:

*Anda berfikir yang semua orang melakukannya

*Hubungan seks menjadikan anda seorang yang glamor di kalangan rakan-rakan

*Kata-kata manis teman atau rakan anda

*Anda takut hubungan akrab dengan teman terputus disebabkan keengganan untuk melakukan hubungan seks

*Anda ingin melakukannya untuk menjadi lebih dewasa.

Berpegang teguh pada pendirian anda, katakan tidak mahu. Sekiranya teman anda benar-benar bertanggungjawab, dia akan menghormati keputusan tersebut.

Seandainya ada yang cuba menipu anda untuk bersetuju dengan hubungan seks, pertama sekali anda mesti berani untuk menolak.

Contoh-contoh berikut mungkin digunakan untuk menjerat anda.

Ajakan: Sekiranya kamu betul-betul sayangkan saya, marilah bermesra dan seterusnya melakukan hubungan seks.

Jawapan: Kalau betul diri saya disayangi, tentu saya tidak dipaksa dengan kata-kata sedemikian.

Ajakan: Kamu sahaja yang saya sayangi di dunia ini.

Jawapan: Kalau begitu, baguslah. Bukankah kita ada banyak masa lagi untuk hubungan sedemikian?

Marilah. Semua kawan-kawan bukan lagi dara atau teruna.

Maaf, saya bukan jenis meniru orang. Rasa-rasanya saya tidak mahukan hubungan seks buat masa sekarang.

Amalkan gaya hidup sihat

*Tidur secukupnya; remaja memerlukan banyak tenaga untuk membesar. Oleh itu, remaja perlu berehat secukupnya. Tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari

*Menjaga kebersihan diri; semasa membesar, anda akan lebih kerap berpeluh. Oleh itu, anda perlu selalu mandi dan mencuci rambut

*Pemakanan seimbang; jika anda mahu kelihatan ceria, cergas dan cerdas, anda perlu mengambil makanan seimbang seperti nasi, mi, bijirin, sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, daging, telur, susu dan hasil tenusu serta kekacang

*Bersenam secara tetap akan menguatkan otot, menjadikan remaja segar pada waktu siang dan membantu mendapat tidur yang lena.

http://www.utusan.com.my, 8 Januari 2006

TAMBAHAN
Utusan, 3 Dis 2006, Risiko remaja hamil

No comments: