Monday, December 11, 2006

MASALAH ANGGOTA BADAN

Masalah bahu terlepas
Dr. Ariff Sukimin Shukri

Doktor,
Saya menghadapi masalah bahu yang sering terlepas jika bermain sukan seperti ping pong dan juga ketika melakukan kerja-kerja seperti menebas.

Sekiranya bahu saya berada dalam kedudukan asal, tiada kesakitan yang dialami. Adakah ini disebabkan oleh masalah urat atau sendi yang tidak betul? Masalah ini dialami sejak saya berumur 16 tahun sehinggalah sekarang umur saya mencecah 33 tahun. – JEPP

Pengenalan

Bahu yang sering terlepas atau dikenali sebagai recurrent shoulder dislocation adalah komplikasi yang sering berlaku selepas dislokasi bahu (sendi bahu yang terkeluar selepas berlakunya kecederaan).

Dislokasi bahu boleh berlaku pada mana-mana peringkat umur. Ia berlaku selalunya berikutan trauma atau jatuh dan boleh menjadi sakit.

Dislokasi bahu yang tidak dirawat dengan sempurna boleh menyebabkan ketidakstabilan pada sendi tersebut menyebabkannya sering tercabut atau dislocate berulang-ulang.

Keadaan ini dikenal pasti sebagai ketidakstabilan bahu. Bila ini berlaku, pesakit mempunyai kesukaran untuk bermain atau melakukan aktiviti berat menggunakan bahu tersebut.

Dalam ketidakstabilan yang teruk, dislokasi boleh berlaku tanpa sebarang trauma dan spontan selepas melakukan pergerakan abduksi dan pusingan luaran (external rotation) pada bahu.

Pesakit dinasihatkan untuk mengelak kedudukan pergerakan tersebut bagi mencegah dislokasi dari berulang.

- Ketidakstabilan sendi bahu

Ketidakstabilan sendi bahu atau sendi bahu yang longgar berlaku dalam dua keadaan.

1) Traumatik – berlaku apabila kecederaan serius pada struktur sokongan sendi bahu menyebabkan sendi tersebut mudah tercabut dan dislokasi berlaku secara berulang-

ulang.

Keadaan ini berlaku lazimnya pada golongan muda yang aktif bersukan. Pesakit yang lebih muda dan lebih aktif ketika berlakunya dislokasi pertama lebih berisiko untuk mendapat ketidakstabilan bahu.

2) Atraumatik – berlaku pada individu yang memiliki struktur sokongan sendi yang longgar sama ada secara genetik atau keturunan.

Bukan sahaja sendi bahu individu tersebut longgar malahan turut melibatkan sendi-sendi lain. Dislokasi yang berlaku selalunya tidak sakit dan individu tersebut mudah untuk memasukkan sendi tersebut ke keadaan asal.

- Punca ketidakstabilan sendi bahu

Ketidakstabilan sendi bahu yang berlaku disebabkan oleh trauma bermula apabila dislokasi sendi bahu yang pertama menye- babkan kecederaan pada struktur ligamen sokongan pada sendi tersebut.

Sendi bahu terbentuk dari artrikulasi pangkal tulang humerus dengan bahagian glenoid tulang skapula.

Glenoid atau soket sendi bahu mempunyai permukaan yang rata dan ia dikelilingi oleh labrum (mangkuk rawan) yang turut menyelaputi tulang humerus.

Labrum bertindak sebagai penghadang yang mengekalkan kedudukan tulang humerus dalam glenoid. Labrum juga merupakan tempat di mana semua ligamen sokongan sendi tersebut turut melekat.

Apabila dislokasi berlaku, labrum terkoyak dari glenoid menyebabkan sokongan dari ligamen hilang.

Koyakan tersebut menyebabkan labrum menjadi rata dan tidak dapat menghadang tulang humerus terkeluar daripada soket glenoid.

Ini menyebabkan ketidakstabilan yang serius pada sendi tersebut dan dislokasi mudah berlaku.

- Rawatan

Pemeriksaan rapi perlu dijalankan oleh pakar ortopedik dan kecederaan sukan untuk mengenal pasti jenis dislokasi dan tahap kecederaan. Ini melibatkan pemeriksaan fizikal, sinar-X dan pengimejan resonans magnetik (MRI).

- Kaedah rawatan

Bagi setiap kes dislokasi sendi, rawatan segera perlu diberi untuk memasukkan kembali sendi bahu ke kedudukan asal.

Doktor yang terlatih akan menolak (menggunakan teknik tertentu) tulang humerus yang terkeluar ke dalam sendi bahu. Ubat sedatif digunakan untuk mengurangkan kesakitan pesakit ketika kaedah itu dilakukan.

Bagi pesakit yang mengalami dislokasi sendi bahu pertama kali dan tidak berulang, rawatan seterusnya adalah terapi fizikal untuk menguatkan otot-otot di sekitar bahu.

Bagi pesakit yang mengalami dislokasi yang kerap dan mengalami ketidakstabilan bahu, rawatan adalah seperti berikut:

- Bukan pembedahan

Peringkat permulaan rawatan melibatkan terapi fizikal. Terapi fizikal bertujuan menguatkan otot sekitar sendi bahu dan ini akan meningkatkan kestabilan sendi tersebut.

Terapi itu juga penting untuk mengembalikan pergerakan dan fungsi sendi. Ia juga boleh mengurangkan kesakitan.

- Pembedahan

Rawatan secara pembedahan disarankan pada pesakit yang mempunyai ketidakstabilan bahu yang tidak dapat dikawal oleh terapi fizikal dan pengubahsuaian aktiviti.

Pembedahan tersebut adalah untuk memulihkan kecederaan pada labrum dan ligamen yang koyak. Ini dapat mengembalikan kestabilan sendi.

Bagi pesakit daripada golongan ahli sukan yang aktif atau profesional, pembedahan disarankan selepas berlakunya dislokasi pertama disebabkan oleh risiko yang tinggi untuk mendapat ketidakstabilan bahu.

Teknik pembedahan yang terbaru adalah secara atroskopik di mana luka pembedahan adalah kecil sepanjang satu sentimeter.

Kamera akan dimasukkan ke dalam sendi untuk mengenal pasti tahap kecederaan dan alat-alat pembedahan yang dimasukkan melalui luka kecil yang lain digunakan untuk menjahit kembali labrum dan ligamen yang koyak.

Pembedahan ini dapat menghalang dislokasi dari berulang.

Disebabkan oleh luka pembedahan yang kecil, pesakit mengalami kesakitan selepas pembedahan yang minimum berbanding teknik pembedahan biasa.

Sementara itu, rehabilitasi (pemulihan semula) pesakit juga turut menjadi mudah dan cepat.

- Glosari

Abduksi – menggerakkan anggota atau sebarang bahagian lain jauh daripada garis tengah tubuh.

Dislokasi – penyesaran posisi normal tulang-tulang yang bertemu sendi.

Soalan dijawab oleh Pakar Runding Bedah Ortopedik, Dr. Ariff Sukimin Shukri.

Utusan, 4 Jun 2006

TAMBAHAN
Utusan, 18 Jun 2006, Pergelangan kaki terseliuh, mudah tercabut
Utusan, 2 Julai 2006, Kecederaan biasa di padang bola
Utusan, Sakit belikat boleh merebak
Utusan, 16 April 2006, Penggantian buku lali
Utusan, 26 Mac 2006, Sindrom bahu beku
Utusan, 28 Jan 2007, Kecederaan lutut & pembinaan semula ACL
Utusan, 4 Mac 2007, Lutut tidak boleh dibengkokkan sepenuhnya

No comments: