Monday, December 11, 2006

SAKIT TUAN

Suntikan botox rawat penyakit prostat
RAWATAN antikedut paling popular di dunia, apa lagi kalau bukan botox, kini mempunyai manfaat yang lebih besar dari sekadar mengharapkan pujian kerana kelihatan cantik.

Suntikan toksin botulinum-A ke atas prostat itu membantu melegakan simptom-simptom masalah pembesaran prostat di kalangan lelaki sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Keputusan yang kami peroleh amat memberangsangkan kerana botox mewakili rawatan yang lebih selamat, berkesan dan ringkas,” kata profesor urologi dan ginekologi di University of Pittsburgh Medical Center, Dr. Michael B Chansellor.

Pasukannya yang terdiri daripada para penyelidik dari Amerika Syarikat dan Taiwan membentangkan penemuan itu pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Urologi Amerika di Atlanta, Selasa lalu.

Penyelidikan yang ditaja oleh syarikat pengeluar botox, Allergan itu meliputi 41 lelaki berusia di antara 49 hingga 79 tahun dengan masalah pembesaran prostat atau hiperplasia prostatik benigna (BPH).

Kesemua pesakit gagal diubati dengan rawatan perubatan standard yang diberikan sebelumnya.

Namun, selepas menerima suntikan botox terus ke prostat, seramai 31 pesakit mengalami pemulihan sehingga 30 peratus dalam simptom-simptom saluran kencing dan kualiti hidup mereka.

Dan bagi sesetengah pesakit, kemajuan positif itu berkekalan sehingga setahun lamanya selepas suntikan botox diberikan.

Kajian mendapati, kira-kira 80 peratus pesakit mampu mengosongkan sepenuhnya pundi kencing mereka dalam tempoh seminggu hingga sebulan selepas menerima rawatan.

“Ini kerana botox menyebabkan kelenjar prostat berehat, yang mana mengurangkan tekanan terhadap uretra. Pesakit juga tidak mengalami kesan sampingan yang ketara,” kata Chansellor.

BPH merupakan penyakit yang sangat mencabar kehidupan pesakit kerana menyukarkan pembuangan air kecil dan dalam masa yang sama, menjadikannya lebih kerap.

Tambah Chansellor, malangnya, rawatan-rawatan yang biasa digunakan juga bermasalah kerana mempunyai kesan sampingan yang serius seperti mati pucuk.

Kurang tidur, lebih kilogram

PEREMPUAN! Tabiat tidur anda mampu meramalkan pertambahan berat badan.

Demikian hasil kajian yang dibentangkan di San Diego sempena Persidangan Antarabangsa Persatuan Torasik Amerika pada Selasa lalu. Kajian diketuai oleh Dr. Sanjay Patel dari Cleveland's Case Western Reserve University.

Data dikumpulkan daripada 68,183 wanita sihat yang mengambil bahagian dalam Kajian Kesihatan Jururawat yang bermula seawal tahun 1976 lagi.

Pada tahun 1986, wanita-wanita tersebut diminta melaporkan berapa banyak mereka selalunya tidur pada setiap malam. Mereka melaporkan berat badan mereka setiap dua tahun bagi tempoh 16 tahun berikutnya.

Wanita yang tidur lima hingga enam jam satu malam menunjukkan pertambahan berat badan yang lebih berbanding mereka yang tidur tujuh jam pada waktu malam.

Terdapat beberapa kajian seumpamanya sebelum ini yang turut mengaitkan tidur malam yang baik dengan tubuh badan yang lebih ringan.

Bagaimanapun ia selalunya tidak benar-benar jelas yang mana datang lebih dahulu – sama ada tabiat tidur yang sihat atau pertambahan berat badan – atau sekiranya individu yang tidur berlebihan pada sebelah malamnya mempunyai lain-lain faktor menjaga berat badan.

Ganti semula zakar rosak

KINI, bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk menggantikan semula zakar yang cacat, rosak atau berpenyakit dengan adanya kemajuan dalam pembuatan zakar di makmal.

Walaupun setakat ini ia mampu dilakukan ke atas seekor arnab namun penemuan tersebut menjanjikan rawatan baru yang luar biasa bagi bayi, kanak-kanak dan lelaki dewasa yang menderita kerosakan bentuk alat kelamin mereka.

Organ penggantian semula itu akan dibina dalam matriks berbentuk zakar yang dibenihkan dengan sel-sel daripada tubuh pesakit sendiri.

Penyelidik terbabit, Dr. Anthony Atala yang juga Pengarah Institut Perubatan Regeneratif bertempat di Wake Forest Baptist Medical Center melaporkan penemuan tersebut pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Urologi Amerika di Atlanta.

“Matlamat masa depan kami adalah untuk merawat bayi dan orang dewasa yang mengalami kecacatan zakar semasa lahir, akibat kemalangan atau kanser.

“Kami kini sedang memutuskan model binatang mana untuk diterokai seterusnya,” kata Dr. Atala.

Dalam pada ujian ke atas manusia masih jauh lagi, kejayaan terdahulu yang ditempa oleh Atala dan pasukannya menjadikan matlamat itu sesuatu yang munasabah.

Atala serta para saintisnya baru-baru ini mencatatkan sejarah kerana menggunakan teknik yang sama bagi menggantikan pundi kencing rosak seorang kanak-kanak dengan kecacatan spina bifida.

Menurutnya, dalam kajian menggunakan arnab itu, pasukan Atala menanggalkan penis arnab berkenaan yang rosak teruk dan menggantikan keseluruhan organ dengan zakar yang dibina daripada sel-sel binatang itu sendiri.

Zakar baru itu mempunyai saluran darah dan saraf-saraf yang membolehkan ia berfungsi sepenuhnya. Arnab itu mampu mengalami ereksi, mengawan dan membuntingkan arnab betina secara normal.

Ubat-ubatan seperti Cialis, Levitra dan Viagra telah memanfaatkan jutaan lelaki yang mati pucuk sepanjang sedekad lalu. Bagaimanapun, ada sesetengah disfungsi erektil seperti corporal fibrosis masih amat sukar dirawat.

Utusan, 28 Mei 2006

TAMBAHAN
Utusan, 4 Jun 2006, Mati Pucuk: Jari bersuara
Utusan, 25 Jun 2006, Seks: Kualiti bukan kuantiti
Utusan, 23 Julai 2006, Uji ED di rumah
Utusan, 4 Feb 2007, Terapi testosteron ‘lelaki menopaus’
Utusan, 4 Feb 2007, Hangatkan semula kehidupan seks anda
Utusan, 11 Feb 2007, Gaya hidup dan kemerosotan kesihatan seksual
Utusan, 25 Feb 2007, Herba tingkatkan kesihatan seksual
Utusan, 18 Feb 2007, Keperluan pemakanan untuk kesihatan seksual
Utusa, 11 Mac 2007, Bolehkah urut atasi masalah seks?
Utusan, 11 Mac 2007, Mana prostat anda?

No comments: