Monday, December 11, 2006

SAKIT PERUT

Dispepsia, senak: perut hantar mesej
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

“USUS yang sihat adalah jauh lebih berharga kepada seseorang berbanding segala kebijaksanaan di dalam otaknya’’ – Josh Billings (pelawak dan penulis Amerika, 1818 - 1885). Oleh itu, jangan abaikan sebarang pesanan dari perut anda.

Ramai yang mengatakan bahawa perut kita menceritakan pelbagai ragam perkara. Ia bagaikan suara dalaman yang tidak dapat kita lihat tetapi dapat dirasai kehadirannya apabila ada sesuatu yang tidak kena.

Hakikatnya, perut kita memang boleh mendedahkan lebih banyak maklumat tentang kesihatan diri kita dari apa yang kita ketahui.

Adakah anda mengalami ketidakcernaan, ketidakselesaan atau kesakitan pada bahagian perut; kembung, pedih hulu hati, muntah atau merasa kenyang walaupun baru menjamah makanan?

Mungkin perut anda cuba memberitahu sesuatu bahawa ini bukan setakat ketidakselesaan perut yang biasa, bukan juga kerana anda telah makan berlebihan atau kurang makan.

Ia mungkin cuba memberikan petanda bahawa sesuatu yang serius sedang berlaku dan sudah tiba masanya anda mendapatkan rawatan perubatan.

Anda mungkin mengalami Functional Dyspepsia atau dispepsia (senak) fungsi.

Ketua Bahagian Gastroenterologi dan Hepatologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Goh Khean Lee berkata, dispepsia ditakrifkan sebagai kesakitan atau ketidakselesaan berulang atau berpanjangan yang tertumpu pada bahagian atas perut.

“Dispepsia fungsi pula adalah dispepsia yang berlaku tanpa sebarang sebab. Sebanyak 70 peratus dari kes-kes dispepsia yang diketahui adalah dikategorikan sebagai dispepsia fungsi.

“Namun begitu, kebanyakan mereka yang mengalaminya tidak mendapatkan rawatan kerana kesakitan itu selalunya dianggap masalah sakit perut biasa,’’ katanya.

Adalah dianggarkan, satu dari empat orang di Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain negara barat mengalami simptom dispepsia.

Menurutnya, apa yang membimbangkan adalah tanda-tanda yang menunjukkan trend tersebut turut berlaku di kalangan masyarakat Malaysia.

“Dianggarkan 30 peratus daripada populasi kita mengalami dispepsia fungsi dengan kekerapan yang lebih tinggi di kalangan kaum wanita (60 peratus) berbanding lelaki (40 peratus).

“Ia biasanya terjadi di kalangan mereka yang berusia di antara 20-an ke 50-an,’’ kata Prof. Goh.

Beliau berkata, walaupun keadaan ini tidak akan membawa maut namun mereka yang mengalami dispepsia fungsi selalunya tidak dapat melakukan rutin harian disebabkan oleh kesakitan dan ketidakselesaan perut yang teruk.

Ia juga akan menyebabkan mereka gagal ke sekolah atau bekerja. Kualiti hidup mereka turut terjejas.

“Kesan dispepsia terhadap ekonomi agak besar, dengan anggaran dua juta orang berjumpa doktor kerana mengalami simptom dispepsia setiap tahun di AS.

“Meskipun tiada kajian dari sudut ekonomi yang dijalankan di Malaysia pada masa kini, sudah tentu ia memberikan kesan terhadap peningkatan kos penjagaan kesihatan,’’ jelas Prof. Goh.

Contohnya, khidmat perundingan perubatan, pemeriksaan ulangan dan rawatan susulan selain kemerosotan dalam produktiviti.

Sementara itu, Prof. Datin Dr. Chia Yook Chin dari Jabatan Penjagaan Utama Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya memberitahu:

"Masalah kesihatan ini dan kesannya terhadap kesihatan serta kualiti hidup hanya dapat dikenal pasti oleh para doktor sejak kebelakangan ini sahaja.

“Sejak itu, penilaian terhadap penyakit ini telah mula dilaksanakan dan kajian yang sewajarnya sedang dijalankan untuk mendapat lebih banyak maklumat dalam bidang pengurusan masalah,’’ ujar beliau.

Mengulas lanjut, salah satu sebab utama pesakit berjumpa doktor adalah kerana gejala-gejala yang diakibatkan oleh dispepsia.

“Memandangkan tiada ujian khusus untuk mengenal pasti dispepsia fungsi, justeru diagnosis atau pengenalpastian penyakit ini adalah berdasarkan pengalaman pesakit dan penilaian klinikal.

“Kebanyakan pesakit dispepsia yang menjalani pemeriksaan selanjutnya tidak menunjukkan sebab yang ketara terhadap simptom mereka,’’ kata Prof. Chia.

Salah satu pendekatan yang diamalkan oleh doktor adalah mengasingkan atau mengecualikan penyakit yang menghasilkan simptom yang sama seperti dengan dispepsia fungsi. Contohnya:

* Ubat-ubatan yang menyebabkan dispepsia

* Penyakit ulser peptik (bahagian dalam perut yang rosak disebabkan oleh asid perut dan jus pencernaan)

* Penyakit refluks gastroesofageal (asid dari perut mengalir semula ke esofagus - salur makanan antara tekak dan mulut)

* Sakit biliari (sakit disebabkan oleh hempedu dan batu karang)

* Kanser perut (ketumbuhan merbahaya dalam perut) dan lain-lain.

Namun begitu, beberapa faktor telah dikaitkan sebagai penyebab kepada dispepsia fungsi. Antaranya:

* Saluran gastro-usus atau saluran pencernaan yang berfungsi secara tidak normal

* Hipersensitiviti viseral (peningkatan sensitiviti terhadap kesakitan atau menurunnya ketahanan kepada kesakitan) yang berpunca daripada keregangan atau pembesaran perut

* Jangkitan bakteria dalam perut yang mengakibatkan radang atau ulser (jangkitan kuman Helicobacter Pylori)

* Faktor psikologi dan sosial serta alergi atau alahan terhadap sesuatu makanan.

Berkenaan dengan rawatan yang boleh didapati, Prof. Chia berkata, dispepsia fungsi tidak boleh disembuhkan kerana ia merupakan suatu penyakit kronik atau berterusan.

“Selalunya, pesakit memerlukan rawatan berterusan untuk jangka masa yang panjang.

“Ini kerana mereka yang mengalami dispepsia fungsi yang menjalani rawatan telah menunjukkan yang mereka terus mengalami simptom-simptom pada jangka waktu satu hingga lima tahun, walaupun keadaan mereka bertambah baik setelah memulakan rawatan permulaan,’’ ujarnya.

Kaedah rawatan terdiri daripada gabungan antara diagnosis, kaunseling dan interaksi dengan doktor.

Prof. Goh menambah, terdapat beberapa jenis ubat yang selalunya digunakan dalam rawatan dispepsia fungsi.

Antaranya - ubat gastro-prokinetic (contohnya Itopride HCI) yang dapat memperbaiki dan melegakan simptom selepas dua ke lapan minggu rawatan dilakukan.

Ia telah digunakan oleh lebih 10 juta pesakit di seluruh dunia dan terbukti selamat dengan cara bertindak ke atas saluran gastro-usus dan memulihkan pergerakan perut.

Dalam masa yang sama, Prof. Chia turut menasihatkan para pesakit supaya berhenti merokok, mengurangkan pengambilan kopi, teh dan alkohol dan menghindari makanan yang sukar untuk dihadamkan.

Mereka juga disyorkan untuk mengamalkan diet yang seimbang dan sihat serta menghindari daripada stres.

Kedua-dua pakar tersebut menyarankan agar masyarakat Malaysia sentiasa peka kepada sebarang simptom yang berterusan, mendapatkan rawatan yang betul dan tidak cuba melakukan rawatan secara sendiri kerana ia mungkin tidak menangani masalah kesihatan yang sebenarnya.

Utusan, 3 Sept 2006

TAMBAHAN
Utusan, 8 Oct 2006, Perut: Lapar atau penyakit?
Sakit Perut, Cirit Birit & Cholera
KESIHATAN ANAK: MENCARI PUNCA ANAK SAKIT PERUT
Rotavirus bawa maut

No comments: