Tuesday, December 5, 2006

PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Mengajar kanak-kanak toleransi dan empati
Oleh: DR. TEOH HSIEN-JIN

AZREEN, 7, kurang penyabar dan tidak bertimbang rasa. Semua orang mesti mengikut telunjuknya. Dia terlalu memaksa dan akan mengamuk apabila ibu bapa atau rakan sekelas tidak mengalah kepadanya.

Kerana tidak sabar menunggu, dia sering menjerit bila kehendaknya tidak ditunaikan segera. Azreen suka mengejek keadaan fizikal orang lain, contohnya Si Panjang, Si Pendek, Si Gemuk, Si Kurus, Si Hitam atau Si Pucat.

Baginya, semua orang lain ada kekurangan, kecuali dia. Ibu bapanya bimbang dan sedih kerana Azreen membuat kecoh dengan mengejek jirannya, sedangkan mereka menghuni di sebuah kejiranan yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Kanak-kanak seperti Azreen kejam, biadab dan tidak bertimbang rasa. Mereka berkelakuan buruk kerana hendak menyinggung perasaan orang, mendapatkan kemahuannya atau untuk menghiburkan hati sendiri.

Mereka tidak sedar tentang perasaan orang lain, dan tidak tahu yang mereka dianggap tidak berperasaan dan tiada empati. Masalah ini timbul kerana kurang empati dan tiada toleransi.

Jika dibiar berterusan, kanak-kanak ini akan membentuk prasangka terhadap kumpulan etnik dan agama lain, dan dalam jangka panjang akan menjejaskan keharmonian dan kepercayaan di kalangan jiran.

Untuk mengubah tingkah laku yang buruk, kita perlu memahami konsep empati dan toleransi.

Empati adalah kemampuan memahami perasaan orang lain dan toleransi pula bererti sanggup menerima pandangan dan tingkah laku orang lain, asalkan tidak menyinggung sesiapa.

Kanak-kanak tidak dilahirkan kejam dan buruk perangai. Tingkah laku yang mereka tunjukkan sebenarnya telah ditiru daripada tontonan televisyen, perangai ibu bapa atau rakan-rakan sendiri, atau kerana digalakkan oleh orang lain.

Kelakuan buruk itu akan berterusan kalau mereka boleh mendapat apa yang dikehendaki, atau jika sikap itu diterima oleh masyarakat.

Ibu bapa bertanggungjawab dalam membentuk tingkah laku anak yang lebih positif. Ini perlu dilakukan ketika mereka masih kecil, contohnya ketika di tadika dan awal sekolah rendah.

Beberapa cadangan untuk ibu bapa:

* Tunjukkan bagaimana tindakan mereka boleh menjejaskan perasaan orang lain

Kanak-kanak tidak belajar tingkah laku yang baik atau buruk secara automatik. Tingkah laku yang positif perlu diajar secara formal. Tunjukkan betapa tindakan negatif mereka boleh melukakan perasaan orang lain.

Ini dapat dilakukan dengan membenarkan kanak-kanak melihat buku bergambar atau wayang, dan menanyakan mereka bagaimana penjahat di dalam cerita itu menjejaskan perasaan orang.

Mereka perlu diberitahu bahawa perbuatan itu adalah salah. Akibatnya orang yang tersinggung itu mungkin tidak mahu lagi bertegur sapa dengannya.

Mengenai program televisyen pula, hakikatnya ialah tingkah laku ganas dan negatif sering kali dilihat sebagai perbuatan yang menggelikan hati.

*Belajar memohon maaf

Kemampuan memohon maaf setelah menyinggung perasaan seseorang adalah satu aspek penting dalam pengajaran tingkah laku positif. Kanak-kanak yang kurang empati sering kali tidak tahu cara mengucapkan kata-kata ini.

Sebelum ibu bapa mula mengajar anak-anak mereka memohon maaf, mereka sendiri patut sanggup mengaku kesalahan di hadapan anak-anak, dan memohon maaf di atas kesalahan itu.

Realitinya, ramai ibu bapa menganggap bukan taraf mereka untuk memohon maaf pada anak-anak. Sebagai ibu bapa jika anda mahukan anak-anak membesar menjadi orang yang bersopan santun, anda sendiri yang patut mulakan!

*Contoh tingkah laku positif

Cubaan untuk mengubah tingkah laku negatif tidak akan berhasil jika kanak-kanak tidak mempunyai contoh positif untuk ditiru.

Kebanyakan kanak-kanak memang ingin mencontohi ibu bapa mereka. Oleh itu, ibu bapa harus melayan orang lain dengan rasa hormat, beradab, dan bertegas bila mereka tidak berpuas hati dengan sesuatu.

Mereka hendaklah berusaha untuk tidak bergaduh, membuli atau menghina orang lain (iaitu ahli keluarga, jiran, pembantu rumah), mencaci atau mengutuk dan melakukan tindakan ganas. Sebarang perselisihan hendaklah diselesaikan dengan baik.

*Tunjukkan anak-anak tingkah laku yang sesuai dan berikan galakan serta pujian di atas usaha itu.

Dalam mendidik anak-anak, ibu bapa patut mengajar tatatertib yang baik dan kata-kata yang patut diucapkan.

Mungkin ibu bapa perlu berlakon sedikit di mana anak dan ibu bapa melakonkan peranan yang berbeza bagi menunjukkan tingkah laku positif. Sesetengah ibu bapa berasa ini adalah tanggungjawab sekolah.

Namun, hendaklah sentiasa diingat bahawa jika mahukan anak-anak membesar dengan tingkah laku yang baik, ibu bapa harus mengambil langkah proaktif dan tidak menyerahkannya kepada guru sekolah yang nilai keperibadiannya mungkin ibu bapa tidak tahu.

Ibu bapa mesti sentiasa memantau tingkah laku anak-anak. Bila mereka mempamerkan kelakuan yang baik, ibu bapa perlu memberikan pujian.

*Lakukan pendisiplinan positif

Ketika mendidik anak-anak supaya mengamalkan sikap toleransi dan empati pada orang lain, ibu bapa mesti bersedia untuk menunjukkan teladan yang sama, bersifat sabar, jelas dan tegas.

Terangkan kepadanya mengenai peraturan dan laksanakan hukuman bila dia berkelakuan buruk. Kebanyakan kanak-kanak belajar dengan cepat dan menyedari bila ibu bapa bersikap serius.

Dalam pada itu, ibu bapa juga harus mempunyai sedikit toleransi dan kemaafan serta bersedia untuk menanyakan anak bila dia kelihatan sedih.

Menerusi pendisiplinan positif, ibu bapa juga menunjukkan contoh tingkah laku yang sesuai.

http://www.utusan.com.my

TAMBAHAN
1)Utusan, 16 April 2006,Haiwan 'bimbing' anak bertanggungjawab
2)Utusan, 23 April 2006, Bantu kanak-kanak mengatasi kesedihan
3)Utusan, 30 April 2006, Mengangani tekanan rakan sebaya di sekolah4)Utusan, 12 Mac 2006, Berhadapan kelahiran adik baru
Utusan, 7 Mei 2006, Menangani anak bermulut celupar
Utusan, 14 Mei 2006, Perbaiki kualiti hidup anak terlantar di hospital
Utusan, 10 Dis 2006, Memahami anak-anak autistik
Utusan, 26 Mac 2006, Kesan Konflik Rumah tangga ke atas anak-anak

No comments: