Monday, December 11, 2006

PELBAGAI PENYAKIT

Hernia komplikasi gangren
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

KINI terdapat pembedahan hernia tidak invasif menggunakan teknik laparoskopik.
--------------------------------------------------------------------------------

TAM (bukan nama sebenar), 40-an, perasan ada benjolan sebesar telur puyuh pada pelipat paha sebelah kanannya. Benjolan itu akan timbul semasa Tam berdiri, batuk-batuk, bersin atau selesai menunaikan qada hajat.

Peliknya, ia lenyap ketika Tam berbaring dan pada waktu pagi. Lama-kelamaan, benjolan tersebut menyebabkan kerandut zakarnya turut membesar, namun dibiarkan sahaja kerana tidak mendatangkan apa-apa kesakitan kecuali agak kurang selesa.

Setelah ia bertambah membesar hingga menyukarkannya mengenakan celana dalamnya, Tam mulai bimbang. Doktor akhirnya mengesahkan Tam menghidap hernia.

Hernia. Sesedap namanya, hampir sahaja ia membayangkan seorang wanita cantik. Padahal, hernia merupakan gangguan kesihatan yang umumnya dideritai oleh kaum adam – sehingga 10 kali ganda berbanding wanita.

Sekalipun insidennya lebih banyak ‘menyerang’ orang dewasa, ia juga boleh terjadi di kalangan kanak-kanak. Di kalangan masyarakat setempat, ia lebih sinonim sebagai angin pasang, burut, uluran, bodek atau turun beruk.

“Hernia diambil dari perkataan Latin, herniae, yang membawa maksud penonjolan keluar organ atau tisu atau isi suatu rongga melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen.

“Dinding rongga yang lemah itu membentuk satu kantung dengan pintu berupa cincin,’’ kata Pakar Bedah Gastroenterologi, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurutnya, gangguan ini sering terjadi di kawasan perut dengan komponen yang keluar berupa bahagian dalaman perut seperti usus kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus ini.

Antara jenis-jenis hernia yang popular seperti hernia inguinal (pada celah kelangkang dan paling kerap dijumpai), hernia umbilikal (pada pusat, paling biasa di kalangan kanak-kanak dan hernia selepas pembedahan (kekuatan otot-otot lazimnya tidak seratus peratus kembali seperti asalnya).

Dr. Abd. Hamid berkata, lebih ramai lelaki yang mengalami hernia inguinal berbanding wanita disebabkan oleh proses perkembangan alat reproduksi mereka yang berbeza.

Pada janin lelaki, testis (buah zakar) turun dari rongga perut menuju skrotum (kantung kemaluan) pada bulan ketujuh hingga kelapan usia kehamilan.

Lubang yang berupa saluran itu akan tertutup menjelang kelahiran atau sebelum si anak mencapai usia setahun. Ketika dewasa, kawasan itu boleh menjadi titik lemah yang berpotensi mengalami hernia.

“Penonjolan terjadi kerana adanya kelemahan anatomi pada otot dinding perut. Keadaan menjadi lebih parah bila ada dorongan akibat peningkatan tekanan di dalam rongga perut.

“Misalnya, akibat meneran ketika buang air, batuk-batuk atau mengangkat bebanan berat,’’ ujar beliau.

Pada bayi mahupun kanak-kanak, hernia merupakan bawaan sejak lahir dan berisi cecair. Pada orang dewasa, hernia terjadi kerana pertama, adanya otot dinding rongga yang lemah. Kedua, dorongan yang menyebabkan tekanan di dalam rongga perut meningkat.

Biasanya, kata Dr. Abd. Hamid, hernia pada orang dewasa ini terjadi pada usia lanjut bila organ dan jaringan tubuh mengalami proses kemerosotan. Di kalangan wanita, kegemukan juga boleh menjadi penyebab timbulnya bahagian yang lemah.

“Keadaan ini, ditambah dengan faktor kedua di atas dapat mengakibatkan usus memasuki abdomen yang lemah dan menonjol ke luar.

“Sejarah keluarga, pernah mengalami hernia, tabiat merokok, kehamilan, sembelit teruk, bayi dilahirkan pramatang, ubat-ubatan tertentu dan penyakit diabetes juga merupakan sebahagian risiko hernia,” jelasnya.

Tambahnya, jika seseorang pernah menghidap hernia pada bahagian kiri, risiko untuk mengalaminya pada sebelah kanan juga adalah tinggi.

Dalam kes hernia yang tidak teruk, usus yang keluar dapat masuk kembali ke rongga perut jika pesakit berbaring mahupun jika pesakit menolaknya masuk menggunakan tangan.

“Bagaimanapun, pesakit perlu lebih berwaspada jika cincin hernia berdiameter kecil kerana apabila sudah ada usus yang keluar, dengan tekanan rongga perut yang bertambah, bahagian usus dapat keluar lebih banyak lagi dari lubang itu.

“Sekiranya berterusan, ia boleh menyebabkan hernia inkarserat di mana bahagian usus berkenaan terjerut, bengkak dan tidak dapat ditarik kembali,’’ katanya.

Ataupun, ia boleh menjadi hernia tercekik kerana usus yang terjerut akan mati kerana tidak mendapat darah yang mencukupi.

Rawatan

“Hernia di kalangan orang dewasa jika didiamkan dan bertambah parah, ia boleh mengancam nyawa.

“Tiada ubat-ubatan yang dapat memulihkan hernia kecuali pembedahan - prosedur kedua yang paling kerap dilakukan selepas pembedahan apendiks,” kata Dr. Abd. Hamid.

Di kalangan pesakit dewasa, pembedahan bertujuan menguatkan bahagian yang lemah di mana otot-otot perut dirapatkan menutupi lubang yang ada.

“Semua hernia perlu dibedah. Bagaimanapun, khusus bagi hernia inkarserat dan tercekik, pembedahan harus segera dilakukan.

“Jika tidak, bahagian isi hernia yang tersumbat akan mati dan boleh menjadi sumber jangkitan ke seluruh dinding usus dengan akibat yang lebih buruk adalah kematian,” tegasnya.

Lebih kurang satu hingga lima peratus pesakit mengalami komplikasi ini.

Gangren

Ada kalanya, usus yang tersumbat di dalam rongga boleh mengalami gangren apabila bekalan darah berkurangan dan tiada bekalan oksigen.

Ia boleh berlaku hanya dalam masa beberapa jam. Apabila usus mengalami gangren, ia boleh reput dan boleh membahayakan pesakit.

Pesakit biasanya datang dengan gejala perut buncit dan kembung, bengkak pada celah paha yang tidak berkurangan, kulit bahagian terbabit juga kemerah-merahan dan sakit, selain muntah-muntah.

Dalam keadaan ini, pembedahan kecemasan diperlukan untuk mengeluarkan usus yang mengalami gangren. Usus yang tertinggal akan disambung semula.

Jika pesakit datang ke hospital pada masa yang awal, besar kemungkinan usus tersekat boleh dipulangkan ke tempat asal dalam perut tanpa mengeluarkannya.

Pembedahan

Terdapat jala sintetik yang dikenali sebagai mesh. Penggunaannya memanfaatkan pesakit yang pernah menjalani pembedahan kerana otot-otot perutnya tidak perlu ditarik lagi.

“Selain pembedahan konvensional, kini terdapat terapi yang tidak invasif tanpa memerlukan torehan yang besar menggunakan teknik laparoskopik.

“Sebanyak tiga torehan kecil sepanjang antara lima hingga 10 milimeter akan dilakukan. Oleh kerana itu, rawatan ini memerlukan kepakaran yang amat tinggi,’’ katanya.

Luka yang kecil ini juga memungkinkan penyembuhan yang lebih cepat. Paling penting, risiko hernia berulang adalah amat rendah menggunakan pembedahan laparoskopik berbanding pembedahan konvensional.

Mengulas kelebihan pembedahan, pesakit mengalami kesakitan yang amat kurang manakala risiko jangkitan kuman juga rendah. Pesakit juga sudah boleh bergerak dari katil dalam tempoh beberapa jam selepas pembedahan dan kembali melakukan rutin harian lebih cepat.

Di kalangan pesakit cilik, tambah beliau, hernia perlu dibedah tidak kira umur.

Hernia berulang

Pesakit hernia yang selamat dibedah boleh mengalami kes berulang dalam masa beberapa bulan ke setahun. Namun, apabila hernia berulang setelah dua tahun atau lebih, kelemahan yang berlaku mungkin telah berkembang kepada inkarserat atau tercekik.

Untuk mencegahnya daripada berulang, pesakit perlu menghindari perkara-perkara yang dapat meningkatkan tekanan di dalam rongga perut.

Misalnya, berhenti jika merokok. Jika sukar membuang air, segera berubat dan elakkan meneran. Bertukarlah kepada kerja-kerja yang lebih ringan dan menurunkan berat badannya.

“Kesimpulannya, pesakit perlu mendapatkan rawatan segera untuk mengelakkan komplikasi. Jangan mengurut hernia kerana ia adalah sangat berbahaya.

“Tekanan ke atas hernia boleh menyebabkan organ-organ berkenaan pecah, boleh menyebabkan jangkitan kuman dan membawa maut,’’ tegasnya.

Utusan, 21 Mei 2006

TAMBAHAN
Utusan, 25 Jun 2006, Skeleroderma manusia jadi batu
Utusan, 2 Julai 2006, SLE: Tangguh kehamilan
Utusan, 16 Julai 2006, Leigh penyakit bawaan genetik
Utusan, 30 Julai 2006, Psoriasis: Kaktor penyebab dan rawatan
Utusan, 1 Oct 2006, Jangkitan pundi kencing
Utusan, 29 Oct 2006, Kekurangan imun primer: Penyakit ‘baru’?
Utusan, 5 Nov 2006, GOITER - Bengkak kelenjar tiroid
5 Nov 2006, Apa itu intraabdominal sepsis
Utusan, 26 Oct 2006, Gangguan bipolar: Sering disalah diagnos
Utusan, 23 April 2006, SLE, RA kategori penyakit kolagen
Utusan, Chikungunya sakit demam tulang
Utusan, 12 Mac 2006, HFMD: Penyakit jangkitan virus
Utusan, 18 Mac 2007, Disfagia gangguan menelan

No comments: