Thursday, December 28, 2006

EKSTRAK GAMAT

Ekstrak gamat bantu sembuh luka enam kali ganda
Oleh: RAHANA MD

DR. HASSAN YAAKOB menunjukkan gambar seorang kanak-kanak yang menghadapi masalah kulit dan dirawat menggunakan gamat.
--------------------------------------------------------------------------------

WANITA yang baru lepas bersalin selalunya disyorkan meminum air gamat yang didakwa mempercepatkan proses penyembuhan luka dalaman dan luaran.

Sejak beratus tahun yang lampau dan diwarisi turun temurun, kebanyakan penduduk Pulau Langkawi telah mengamalkan air gamat asli bagi tujuan penyembuhan luka.

Walaupun gamat merupakan spesies laut yang amat terkenal bagi tujuan penyembuhan luka, namun ramai yang kurang peka dengan tahap kebersihan dan penyediaan ekstraknya.

Kandungan garam yang tinggi, kewujudan beberapa bahan sampingan yang lain, bau yang hanyir serta dos tidak menentu menyebabkan gamat masih belum mampu mencapai tahap dikomersialkan.

Bagaimanapun hasil kajian seorang pakar dalam bidang farmaseutik yang ketika itu berkhidmat di Fakulti Perubatan Universiti Malaya pada tahun 1990 telah membuktikan ekstrak gamat yang ditulenkan mengandungi sebatian aktif yang bukan sahaja mampu merawat luka tetapi kesan penyembuhan lebih daripada itu.

Pakar tersebut, Profesor Dr Hassan Yaacob, pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang Farmakologi Klinikal dari Royal College of Surgeons di England telah melanjutkan kajiannya ke Universiti Kyushu dan Universiti Toyama di Jepun sehingga sekarang.

Penyelidikan awalnya ditaja oleh Kementerian Sains dan Teknologi menerusi program Penyelidikan Intensif dalam Bidang Keutamaan (IRPA).

Kini, berkat usaha dan kesungguhannya, beliau telah mengasaskan Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd. yang mengkhusus dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mengkomersialkan produk berasaskan gamat.

Profesor Dr. Hassan Yaakob teruja dengan penemuan demi penemuan yang positif dalam kajiannya mengenai ekstrak gamat.

“Penyelidikan yang berterusan ke atas gamat mendapati ekstrak gamat memberi kesan penyembuhan enam kali lebih kuat daripada penggunaan iodin dan antibiotik,’’ katanya.

Peluang ke negara Jepun atas tiket Anugerah Saintifik Hitachi, turut memberi kesempatan kepadanya membawa gamat bersama untuk diselidik lebih lanjut dan berkolabolarasi dengan saintis di sana.

“Hasilnya menakjubkan kerana gamat mengandungi sebastian aktif iaitu sekumpulan asid amino yang dikenali sebagai Polipeptida.

“Ia bersifat rejuvenasi dan bertindak secara sinergi iaitu mampu menembusi sel kulit dan berkesan serta mempertingkatkan penyembuhan pada kulit.

“Kajian juga telah menemui kewujudan gamodulin dalam ekstrak gamat yang berupaya merangsang pertumbuhan sel dan didapati 12 kali lebih kuat daripada kekuatan penyembuhan menggunakan ekstrak asal gamat di Langkawi,’’ katanya

Menurutnya bagi tujuan teraputik secara total, beliau berusaha menyahkan beberapa masalah berkaitan dengan ekstrak gamat yang sebelum ini dikatakan hanyir, berkeladak dan cair.

“Kepiawaian amat penting untuk mengetahui jumlah dos atas keperluan. Kajian diteruskan dan akhirnya pihak kami berjaya memisahkan elemen-elemen yang kurang disenangi terhadap gamat dan lahirkan produk di bawah Healin,’’ katanya.

Derma X antara produk Healin yang telah terbukti berkesan merawat penyakit kulit yang sukar diubati seperti dermatis, ekzema dan psoriasis.

Gamatol dan Gamogen di bawah rangkaian makanan kesihatan Healin pula antara yang diperkenalkan pada tahun lepas.

“Selain makanan kesihatan tambahan, Healwell Pharmaceuticals juga mengeluarkan produk penjagaan kulit berasaskan Gamodulin di bawah jenama AG2000 dan Bonalin, serta pelbagai produk penjagaan peribadi seperti syampu, ubat gigi dan krim sapu,’’ katanya.

Keupayaan penyembuhan Imunol terletak pada Gamodulin, sejenis bahan yang membantu mempertingkatkan sistem imunisasi yang diperoleh daripada gamat. Gamodulin itu kemudiannya diadun dengan klorofil, madu lebah dan vitamin-vitamin penting untuk pengambilan harian. Imunol merupakan produk kesihatan terbaru dalam rangkaian makanan kesihatan Healin daripada Healwell Pharmaceuticals.

Hasil kajian yang berterusan telah menemukan Prof Dr. Hassan dengan satu lagi produk gamat yang dikenali sebagai Imunol.

“Imunol dihasilkan melalui teknologi farmaseutik terbaru berdasarkan penyelidikan kami dan telah diuji selama dua tahun. Ujian yang dijalankan terhadap lebih 1,000 pesakit dan sukarelawan telah membuktikan bahawa Imunol mempunyai kesan positif yang mengagumkan dalam merawat simptom-simptom berkaitan sistem imunisasi."
Utusan, 16 Jan 2007

No comments: