Wednesday, December 6, 2006

DIABESITI

Diabesiti wabak berkembar
Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

SEBANYAK 27 peratus atau satu dari setiap empat rakyat Malaysia dilaporkan mempunyai masalah berat badan berlebihan. Sementara itu, hampir dua juta atau lapan peratus rakyat di negara ini dikesan menghidap penyakit diabetes.

Mula-mula, ada obesiti dan kemudiannya, ada juga diabetes (kencing manis). Adakah ini satu kebetulan? Mungkin tidak!

Kajian demi kajian mengenainya termasuk data terkini menunjukkan, terdapat peningkatan ketara insiden penyakit diabetes dan obesiti, di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat di mana obesiti dan diabetes popular sebagai wabak berkembar diabesiti, kes-kes kencing manis yang ditemui di kalangan warga berusia lingkungan 18 hingga 79 tahun telah meningkat sebanyak 41 peratus dari tahun 1997 ke 2003.

Menariknya juga, para pesakit diabetes cenderung mempunyai satu persamaan di antara sesama mereka iaitu, berat badan berlebihan atau O-B-E-S.

Kajian ini juga menunjukkan bahawa insiden kencing manis yang boleh memendekkan nyawa, meningkat dengan lebih ketara di kalangan orang obes.

Sekali gus, penemuan terbaru yang diterbitkan di dalam American Journal of Preventive Medicine mengesahkan obesiti sebagai faktor major yang menyumbang peningkatan diabetes.

Sebelum ini, sejarah keluarga menjadi faktor risiko terbesar penyakit diabetes dengan diikuti rapat oleh obesiti.

Namun dengan perkembangan wabak obesiti semasa, ia berupaya menjadi peramal terbaik (walaupun bukan satu-satunya faktor), memandangkan orang obes tanpa sejarah keluarga diabetes sekalipun boleh disahkan menghidapi penyakit itu.

“Kencing manis adalah suatu keadaan di mana kandungan gula dalam darah seseorang melebihi paras normal.

“Ini disebabkan oleh kekurangan insulin atau insulin yang ada tidak dapat bertindak dengan sempurna,” kata Pakar Runding Perubatan dan Kardiologi, Pusat Perubatan Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor, Kol. (B) Dr. Abd. Rahman Mohd. Ali.

Menurutnya, insulin adalah hormon dari kelenjar pankreas untuk metabolisme (penguraian) karbohidrat, protein dan lemak.

Bagi pesakit kencing manis, metabolisme ini terganggu sehingga berlaku peningkatan paras gula dalam darah.

“Penghidap kencing manis jenis dua didapati mengalami kekebalan insulin dan peningkatan kadar insulin (hiperinsulinisme).

“Obesiti merangsang kekebalan insulin dan hyperisulinisme dan sudah tentulah ini mencetuskan penyakit kencing manis,” jelas beliau.

Beliau berkata, obesiti adalah penyumbang utama kepada masalah kencing manis di mana di antara 80 hingga 90 peratus mereka yang menghidapi kencing manis jenis dua adalah obes.

Obesiti adalah suatu penyakit di mana berat badan seseorang melebihi berat badannya yang ideal untuk ketinggiannya di samping pengumpulan lemak badan yang ketara.

Ia boleh diklasifikasi berdasarkan kiraan Indeks Jisim Tubuh (BMI) – berat badan dalam kilogram (kg) dibahagi dengan ketinggian dalam meter (m) darab dua.

Normal: 20 hingga 25 kg/m2
Berat badan berlebihan (gemuk): 25 hingga 29.9 kg/m2
Obes: melebihi 30 kg/m2

Pengumpulan lemak di bahagian perut atau perut buncit, ujar Dr. Abd. Rahman, dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit koronari jantung, darah tinggi dan diabetes jenis dua.

“Selain itu, obesiti dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit-penyakit lain seperti penebalan dinding saluran darah (aterosklerosis), strok, kanser payu dara, kanser rahim, gout, bengkak sendi (osteoartritis), batu pundi hempedu dan masalah pernafasan.

“Orang yang obes juga sering mengalami masalah tekanan emosi dan sosial. Obesiti juga didapati meningkat dengan kadar yang membimbangkan di kalangan kanak-kanak,” tambahnya.

Kadar peningkatan kanak-kanak gemuk adalah di antara 0.5 hingga satu peratus setahun di negara maju.

Selain faktor genetik, aliran ini juga dikaitkan dengan masalah perubahan gaya hidup masa kini, di mana persekitaran mereka menggalakkan pengambilan pemakanan berlebihan dan pengeluaran tenaga yang berkurangan.

“Kanak-kanak yang obes lazimnya menjadi orang dewasa yang obes.

“Mereka turut terdedah kepada risiko-risiko penyakit yang berkait dengan obesiti sama seperti orang dewasa yang obes iaitu kencing manis jenis dua, darah tinggi, kekebalan insulin dan peningkatan kolesterol dalam darah,” jelas beliau.

Saringan untuk kencing manis

Berisiko tinggi:
- Obes
- Ahli keluarga yang menghidap kencing manis
- Ada darah tinggi
- Mengalami tanda-tanda kencing manis seperti dahaga, kencing kerap dan banyak, letih, berat badan susut mendadak, luka yang susah sembuh, kebas tangan dan kaki, kabur mata
- Kolesterol darah tinggi
- Mengalami strok
- Mengalami serangan sakit jantung koronari.

Cara saringan
- Uji gula darah rambang
- Uji gula darah berpuasa
- Ujian toleransi glukos.

Selain faktor genetik mahupun usia yang tidak boleh diubah, kencing manis dan obesiti merupakan masalah gaya hidup tidak sihat yang boleh di ubah suai.

“Ia berkaitan dengan pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang dan kurang penggunaan tenaga (melalui senaman).

“Diet dan senaman adalah perkara utama (tetapi paling tidak popular) dalam menangani masalah obesiti. Ambil makanan seimbang iaitu mengikut syor piramid makanan,” kata Dr. Abd. Rahman.

Lain-lain saranan termasuklah banyakkan pengambilan sayur-sayuran berdaun, makanan berserat tinggi serta buah-buahan. Kurangkan pengambilan daging merah, kekacang, manisan seperti susu pekat atau isian manis, air buah-buahan, air bergas dan kek-kek.

Kurangkan penggunaan minyak masak. Jika perlu gunakan minyak masak poli tidak tepu/mono tidak tepu. Minum air secukupnya, lapan gelas sehari. Makanlah mengikut waktu, makan sebelum lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.

“Apabila perlu ke kenduri, makan sedikit di rumah sebagai alas perut. Jadi tidaklah lapar sangat bila jamu kenduri.

“Amalkan tidak membeli makanan semasa lapar, selalunya beli berlebihan. Jangan amalkan pengambilan makanan ringan,” nasihatnya lagi.

Lakukan senaman aerobik secara berkala, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama sekurang-kurangnya 30 minit. Memadailah dengan melakukan senaman jalan deras bagi yang tidak mampu atau lebih berat.

“Jangan amalkan tidur sesudah makan sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam.

“Didiklah anak-anak kita dari sekarang supaya dewasa kelak mereka tidak menderita kerana kesilapan kita,” pesan Dr. Abd. Rahman lagi.

Apakah hasilnya bila kita mengawal berat badan?

- Badan kelihatan segak dan cantik tanpa perlu berjumpa pakar runding imej
- Kurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan berat badan yang berlebihan seperti kencing manis, darah tinggi, gout, sakit jantung koronari, barah, strok dan lain-lain.
- Stamina kita meningkat
- Penghadaman makanan sempurna
- Pernafasan jadi lebih sempurna
- Tidak malu untuk bergaul dengan orang
- Tiada tekanan emosi
- Duit tak banyak terpakai untuk rawatan.

Beliau turut menarik perhatian: “Ramai di antara kita yang memang peka dengan masalah obesiti. Tetapi masih ramai tidak mahu bekerja keras untuk menanganinya.

“Ramai yang mahu mengurangkan berat badan dengan kadar yang cepat dan cara yang senang.”

Dengan itu, mereka sering terpedaya dengan tuntutan sesetengah agensi yang memberikan jaminan dengan cepat tanpa perlu bekerja keras untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

“Bagi mengekalkan berat badan yang ideal mudah sahaja. Jangan tambah berat badan (put on weight). Untuk mengurangkan berat badan memang mudah tetapi mengekalkannya adalah lebih sukar.

“Bila kita kurangkan berat badan, kurangkannya dalam kadar yang sederhana iaitu di antara satu hingga dua kilogram sebulan dan bila sudah capai sasaran, kekalkan kawalan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, ramai yang gagal kerana apabila berjaya mencapai sasaran, mereka kembali ke tabiat asal dan berat badan naik semula dengan kadar yang banyak.

Bagi yang mengalami masalah untuk mengurangkan berat badan sesudah mencuba diet dan senaman dinasihati berjumpa dengan pakar-pakar perubatan yang mengamalkan program pengawalan berat badan untuk khidmat nasihat sebelum mengambil ubat-ubatan menguruskan badan.

http://www.utusan.com.my, 30 April 2006

TAMBAHAN
Utusan, 29 Oct 2006, Gemuk selepas puasa:Di mana silapnya?
Utusan, 16 Jan 2007, Kawal kegemukan cara mudah dan murah

No comments: