Monday, December 11, 2006

APENDIKS

Apendisitis keradangan apendiks
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

GEJALA penyakit apendiks bermula di bahagian pusat sebelum beralih ke bawah abdomen kanan.
--------------------------------------------------------------------------------

MULA-MULA, anda berasa sakit pada bahagian tengah perut atau sekitar pusat yang menyerang selang beberapa jam atau dua hingga tiga kali sehari.

Tidak lama kemudian, kesakitan berpindah dari tengah perut ke bahagian bawah abdomen kanan. Kesakitan menjadi semakin bertambah kuat dari semasa ke semasa terutamanya jika anda bergerak, batuk atau berjalan.

Sekiranya anda memberikan tekanan lembut ke bahagian terbabit, ia mungkin akan terasa sakit. Apabila anda melepaskan tekanan itu dengan pantas, kesakitan selalunya terasa teruk. Tekak juga terasa mual disusuli muntah-muntah dan demam.

Lazimnya, pesakit kelihatan kerap duduk sambil membongkok bagi menahan kesakitan yang dialami. Kesakitan mungkin berkurangan jika anda berbaring pada sebelah badan dan menarik lutut ke arah dada anda.

Bagaimanapun, budaya boleh tahan sakit sebegini merupakan cara hidup tidak sihat dan berbahaya.

Macam pernah dengar? Atau, anda mungkin mengalaminya sendiri. Kemungkinan besar anda mengalami apa yang dinamakan sebagai apendisitis.

Boleh dikatakan 90 peratus gejalanya adalah bersifat straight forward seperti di atas. Baki 10 peratus berupa gejala yang bukan klasikal yang tenggelam timbul bertahun-tahun lamanya.

Apendisitis merupakan keradangan pada apendiks vermiform iaitu struktur kecil berbentuk cacing yang terjulur keluar dari usus kanan.

Tiada siapa yang tahu apakah fungsinya yang sebenar. Apa yang pasti, kita boleh hidup tanpa apendiks. Namun, tidak bermakna jika apendiks tidak mempunyai apa-apa peranan di dalam sistem pencernaan kita, ia tidak mendatangkan apa-

apa masalah.

Pakar Runding Bedah, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain menyifatkan apendisitis sebagai kecemasan perubatan yang memerlukan pembedahan serta merta bagi membuang apendiks.

“Jika dibiarkan tanpa rawatan, apendiks yang mengalami keradangan akan pecah (tembus atau berlubang) lalu melimpahkan najis yang penuh dengan bakteria ke dalam kaviti abdomen.

“Ini akan menyebabkan peritonitis, keradangan serius pada lapisan kaviti abdomen (peritoneum) yang boleh mendatangkan komplikasi kegagalan organ serta maut,’’ kata beliau.

Menurutnya, apendisitis menggemari `mangsa’ yang lebih muda sekitar belasan tahun, baik lelaki mahupun perempuan. Bayi dan kanak-kanak juga tidak terkecuali malah ia merupakan kes kecemasan abdomen yang paling kerap terjadi di kalangan mereka.

Punca sebenar penyakit apendisitis tidak diketahui. Bagaimanapun, ada beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengannya seperti benda keras yang tersangkut di pangkal apendiks seperti najis, sisa-sisa makanan seperti biji-bijian dan, batu karang.

Kadang-kala, terdapat penyakit-penyakit lain seperti ketumbuhan pada bahagian usus kanan dekat pangkal apendiks. Paling kerap ditemui adalah kanser usus.

Walaupun faktor ini boleh dikatakan jarang tetapi ia ditemui dari semasa ke semasa terutamanya di kalangan pesakitberumur 40 tahun ke atas.

“Sebab itulah, ada kes-kes tertentu di mana pembedahan membuang apendiks yang sepatutnya berjalan selama setengah jam berlanjutan selama lebih dua jam setelah doktor terpaksa memotong usus kerana menemui kanser.

“Masalahnya, kanser usus di peringkat awal tidak memberi apa-apa rasa sakit. Selalunya, pesakit mengetahui mengenainya apabila keadaan sudah teruk, terasa sakit dan berdarah,’’ katanya.

Bagi orang dewasa 40 tahun ke atas, doktor lazimnya mengesyaki mereka yang datang dengan gejala di atas menghidapi apendiks. Selain itu, doktor juga akan syak mereka menghidapi kanser usu, polip dan tibi usus.

Lain-lain faktor mungkin disebabkan oleh jangkitan seperti jangkitan virus gastrousus atau mungkin juga berpunca daripada lain-lain jenis keradangan.

“Sekiranya tidak ada sesuatu yang menyekat apendiks, radang yang berlaku mungkin tidak kuat dan boleh dirawat dengan ubat-ubatan seperti ubat penahan sakit dan antibiotik,’’ kata Dr. Abd Hamid.

*Diagnosis

Bukan semua pesakit menunjukkan gejala. “Adalah sukar untuk mendiagnosis apendisitis kerana kesakitan di tengah perut memang biasa berlaku dan banyak persamaan dengan lain-lain penyakit seperti penyakit gastrik.

“Bagi pesakit perempuan, apendisitis lebih rumit dan kompleks disebabkan sifat jantina ini yang mempunyai banyak organ re-roduksi berdekatan apendiks seperti ovari dan tiub fallopio,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal ke atas perut anda dengan menekan sedikit bahagian yang sakit.

Ujian darah dan sinar X juga mungkin dilakukan bagi memastikan tiada penyakit lain yang menyerupai simptom-simptom apendisitis.


*Rawatan

Pembedahan apendektomi merupakan satu-satunya rawatan yang telah bermula sejak 100 tahun lampau.

“Sebelum itu, pesakit bagaikan menerima hukuman mati kerana apendiks yang tidak dikeluarkan sama ada akan bertukar menjadi gangren atau pecah - menyebabkan keracunan darah.’’

Menerusi pembedahan apendektomi secara terbuka, apendiks yang panjangnya 5 hingga 10 cm akan dibuang pada peringkat pangkal.

Luka torehannya adalah di antara 3 hingga 5 sentimeter, bergantung kepada tahap kegemukan atau obesiti pesakit.

“Kini, kita mempunyai teknik terkini yang dinamakan laparoskopi dengan beberapa kelebihan terutamanya bagi pesakit yang obes.

“Sebanyak tiga torehan dibuat yang setiap satunya berukuran di antara 5mm hingga 10 mm sahaja,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Katanya, bagi sesetengah kes yang menyerupai apendisitis di mana apendisitis masih belum pasti, doktor menggunakan kaedah laparoskopi untuk membuat diagnosis.

“Memandangkan apendisitis berpotensi pecah dan mengancam nyawa pesakit, pesakit yang disyaki mengalami apendisitis selalunya akan dibedah sekali pun sebelum disahkan menghidap penyakit itu.’’ katanya.

Selain parut yang kecil dan tidak menghodohkan (kriteria yang biasanya lebih diambil berat oleh pesakit perempuan), penyembuhan menggunakan pembedahan apendektomi laparoskopi juga adalah lebih cepat.

Tempoh tinggal di hospital juga adalah lebih singkat iaitu di antara satu ke dua hari sahaja berbanding pembedahan terbuka yang lebih kompleks iaitu lima hari ke seminggu bagi apendisitis yang telah pecah.

Pun begitu, pembedahan apendektomi secara terbuka masih kekal sebagai gold standard di dalam rawatan apendisitis.

Beliau turut menjelaskan, setiap pesakit mempunyai apendisitis yang berbeza-beza di antara satu sama lain.

“Apendisitis yang melekat (kronik atau berlaku secara berulang) atau yang telah pecah lebih sukar dibedah,

“Selain memotong apendiks, rongga abdomen pesakit yang dipenuhi nanah dan najis juga akan dicuci,’’ ujar beliau.

*Penjagaan selepas pembedahan

Umumnya, pesakit yang bakal menjalani rawatan harus bercuti selama kira-kira dua minggu hingga sebulan dari pekerjaannya.

Tempohnya lebih pendek di antara satu hingga dua minggu sekiranya prosedur laparoskopi digunakan.

Pesakit akan diberikan ubat antibiotik dan penahan sakit manakala rawatan susulan satu atau dua kali sahaja.

Ditanya sama ada apensitis boleh berulang semula sekali pun setelah dibedah, Dr. Abd. Hamid menjelaskan, ia boleh berlaku sekiranya pangkal apendiks tidak berjaya ditemui semasa pembedahan sebelumnya.

Utusan, 20 Ogos 2006

2 comments: