Tuesday, December 5, 2006

BUANG BULU ROMA

IPL buang bulu berlebihan
Oleh Shafinaz Sheikh Maznan

BULU roma yang terlalu lebat, berlebihan dan tidak diingini bukanlah satu masalah luar biasa. Bagi kebanyakan lelaki dan wanita, ia bagaikan satu mimpi ngeri dan memalukan.

Wanita biasanya mengalami keadaan ini pada bahagian muka terutamanya di atas bibir yang menampakkan seperti misai, kening, garisan bikini, ketiak dan kaki. Lelaki pula lazimnya menghadapi masalah yang sama pada bahagian belakang, dada, leher dan di antara kening.

Dalam kebanyakan kes, pertumbuhan bulu roma berlebihan diwarisi dalam keluarga. Etnik juga boleh menjadi faktor di mana orang kulit putih cenderung ditumbuhi bulu muka berlebihan berbanding warga Asia dan Afrika Amerika.

Hormon turut memainkan peranan. Sesetengah orang mulai mengalami masalah bulu roma yang tidak diingini sejak akil baligh. Lain-lain mendapati keadaan ini bertambah teruk bersama peningkatan usia.

Sesetengah wanita mengalami pertumbuhan bulu yang bertambah semasa hamil atau menopaus. Wanita yang mengalami pertumbuhan bulu ketara secara tiba-tiba dinasihatkan agar berjumpa doktor kerana ia mungkin menjadi petanda masalah kesihatan tertentu.

Rawatan konvensional seperti mencukur, mencabut, penggunaan lilin (wax) dan krim membuang bulu menawarkan penyelesaian sementara yang biasanya datang bersama ketidakselesaan, agak bersepah dan kerengsaan kulit.

Elektrolisis mungkin memberikan hasil yang baik tetapi ia memakan masa berbulan lamanya dan memerlukan beberapa kali lawatan walaupun hanya untuk satu bahagian kecil seperti bibir atas.

Menerusi prosedur ini, aliran elektrik akan dilalukan menerusi jarum bagi memusnahkan akar rambut, satu demi satu.

Fisiologi rambut/bulu roma

Rambut melalui empat peringkat pertumbuhan iaitu anagen, catagen, telogen atau awal anagen. Fasa pertumbuhan rambut yang aktif adalah semasa peringkat anagen. Dalam fasa ini, rambut mengandungi melanin yang berlebihan.

Catagen pula merupakan satu fasa pengunduran di mana bahagian bawah rambut berhenti tumbuh tetapi tidak gugur dan folikel rambut diserap semula.

Fasa seterusnya telogen di mana rambut-rambut lama gugur dan bersiap sedia untuk pertumbuhan rambut baru.

Intense Pulse Light (IPL)

Bayangkan jika anda tidak perlu lagi bercukur, mencabut, melilin atau melalui prosedur elektrolisis untuk membuang bulu roma atau rambut yang tumbuh pada anggota badan.

Teknologi IPL yang telah digunakan bertahun-tahun lamanya untuk merawat tanda kelahiran seperti port-wine, menawarkan penyelesaian bukan invasif, tidak menyakitkan, cepat dan kekal lebih lama bagi tujuan berkenaan.

Dengan setiap pancaran cahaya yang diberikan pada kulit, IPL yang diluluskan oleh pentadbir makanan dan ubat-ubatan (FDA), menghapuskan lebih banyak rambut dalam satu-satu masa.

IPL merupakan teknologi fotoepilasi pertama yang terbukti dalam merawat rambut yang tidak diingini dengan selamat, pada semua jenis kulit – dari cerah ke gelap. Rawatannya juga boleh disesuaikan berdasarkan warna rambut, tekstur dan lokasinya.

Pengurus Perkhidmatan Perubatan, Wellnes & Estetik, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Chong Syet Yen berkata, IPL menggunakan teknologi jarak gelombang untuk memusnahkan folikel rambut bagi pembuangan yang lebih tahan lama, setahun atau lebih lama.

“Sistem IPL memancarkan tenaga cahaya yang telah ditetapkan seperti rentak nadi bagi mengurangkan potensi kerosakan terhadap kulit sekeliling.

“Kajian mendapati, penggunaan tenaga berasaskan cahaya yang disasarkan berkesan memusnahkan folikel rambut, menjadikannya sangat popular,” katanya.

Menurutnya, kebaikan lain IPL adalah kawasan rawatannya yang lebih luas membolehkan pesakit dirawat dengan lebih cepat.

Dianggarkan, sebanyak 100 hingga 200 rambut boleh dirawat dengan setiap pancaran IPL yang mengambil masa dari beberapa minit sehingga kurang satu jam, bergantung saiz kawasan yang dirawat.

Jumlah rawatan juga bergantung kepada pelbagai faktor yang berkaitan dengan jenis dan warna kulit tertentu, ketebalan serta kepadatan rambut serta keperluan seseorang.

Soalan yang sering ditanya mengenai teknik pembuangan bulu roma menggunakan IPL:

Bagaimana ia berfungsi?

Sistem IPL bekerja dengan cara menggunakan pancaran cahaya tinggi yang dikawal, yang kemudiannya akan diserap oleh folikel-folikel rambut yang terbenam di bawah permukaan kulit.

Cahaya yang diserap itu akan memanaskan rambut-rambut berkenaan, yang mana akan menghapuskan potensi pertumbuhan semula folikel, tanpa merosakkan tisu-tisu di sekitarnya.

Bolehkah semua rambut dirawat?

Rawatan bergantung kepada penyerapan cahaya ke dalam pigmen atau melanin rambut. Hasilnya berbeza-beza berdasarkan warna kulit, folikel rambut dan peringkat pertumbuhan. Keputusan terbaik biasanya dapat dilihat pada rambut yang lebih gelap.

Semakin cerah kulit seseorang, semakin efektif pemisahan di antara rambut dengan warna kulit, menjadikan rawatan itu semakin mudah.


Tempoh rawatan

Berapa lama masa diambil bagi setiap rawatan terletak kepada saiz kawasan terlibat. Jika mengambil kira pembuangan bulu di bahagian bibir atas, ia mungkin mengambil masa selama beberapa minit (5 minit) sahaja manakala muka (kira-kira 15 minit), belakang dan kaki (45 minit hingga sejam).

Apa yang berlaku semasa rawatan?

Rawatan bermula dengan mencukur rambut atau bulu roma di atas permukaan kulit. Selepas gel disapukan pada bahagian yang akan dirawat, pemegang IPL akan dilalukan ke atas kulit dan pancaran cahaya mula melumpuhkan bulu yang tidak dikehendaki.

Memandangkan pancaran tersebut tidak merosakkan kulit, tiada balutan diperlukan. Jika perlu, doktor akan mempreskripsi krim sapu untuk bahagian terbabit.

Adakah ia menyakitkan?

rata-rata pelanggan menggambarkannya seperti cubitan kecil atau getah pengikat yang dijentik ke kulit, cuma sedikit ketidakselesaan. Tiada ubat bius yang diperlukan dan kebanyakan mereka yang menerima rawatan ini boleh menahannya.

Disebabkan sesetengah bahagian badan adalah lebih sensitif berbanding lainnya, sesetengah daripada mereka mungkin mahu menggunakan bius yang disapu pada permukaan kulit sebelum menerima rawatan.

Berapa sesi rawatan yang diperlukan?

Rambut tumbuh dalam satu pusingan, hanya folikel rambut dalam fasa pertumbuhan aktif (anagen) yang akan bertindak balas terhadap setiap rawatan. Folikel yang sedang berehat perlu memasuki fasa aktif terlebih dahulu sebelum boleh dimusnahkan.

Oleh sebab itu, adalah perlu bagi seseorang untuk mengulangi rawatannya dalam jeda waktu antara empat hingga lapan minggu, atau apabila rambut baru mulai tumbuh sehinggalah kesemua folikel rambut melalui fasa pertumbuhan.

Bagi hasil yang optimum, empat rawatan pertama disarankan tidak terpisah melebihi empat hingga enam minggu.

Kitaran pertumbuhan rambut dipengaruhi oleh banyak faktor seperti bahagian tubuh, kepadatan dan ketebalan rambut, etnik, status hormon dan usia. Dianggarkan antara lima ke tujuh rawatan lazimnya diperlukan oleh setiap orang untuk melenyapkan bulu romanya.

Langkah-langkah keselamatan perlu sebelum rawatan?

Adalah penting untuk tidak menanggalkan bulu dengan cara melilin atau mencabut sekurang-kurangnya empat minggu sebelum rawatan bagi memastikan lebih banyak folikel yang mengandungi rambut.

Anda juga dilarang berjemur termasuklah menggunakan produk-produk berkaitan. Pancaran IPL sangat tertarik kepada melanin dan berjemur boleh menyebabkan pigmentasi kulit melampau (kulit menjadi cerah). Sentiasa gunakan pelindung matahari.

Apakah yang terjadi kepada kulit selepas menerima rawatan?

Setengah jam selepas rawatan, bahagian yang menerima pancaran akan bertukar kemerah-merahan. Pelanggan lazimnya menyifatkan keadaan itu sebagai kesan terbakar matahari yang sedikit dan tindak balas ini akan hilang dalam masa sehari.

Oleh kerana folikel yang dirawat dipanaskan, kawasan kulit mungkin mengalami sedikit bengkak, juga akan hilang dalam masa sehari. Bengkak terjadi akibat kesan pemanasan dan bukannya jangkitan. Ia adalah normal dan sudah dijangkakan.

Kadangkala, kulit boleh menjadi keras di sesetengah tempat. Bagi mengelakkan jangkitan atau parut, elakkan daripada mengutilnya.

Anda juga mungkin perasan, kulit mati akan timbul di permukaan selepas dua hingga tiga minggu rawatan. Walaupun ia kelihatan seperti pertumbuhan rambut baru, ia bukan. Proses ini dipanggil penyingkiran dan akan mengambil masa untuk selesai.

Langkah penjagaan khusus di antara rawatan?

Pakai pakaian dan pelindung matahari untuk melindungi bahagian dirawat daripada terdedah kepada matahari.

Apakah yang perlu dilakukan selepas rawatan?

Selepas rawatan, anda boleh pulang ke rumah dan menjalankan rutin harian seperti biasa. Bahagian yang menerima rawatan bagaimanapun memerlukan pengawasan yang agak rapi.

Kesan sampingan?

Jarang. Anda mungkin akan mengalami kemerah-merahan atau bengkak yang akan hilang dalam masa beberapa jam hingga sehari.

Kulit juga mungkin menjadi lebih gelap atau lebih cerah dan akan kembali seperti asal dalam masa beberapa minggu. Mengehadkan pendedahan terhadap cahaya matahari sebelum dan selepas rawatan akan meminimumkan risiko komplikasi.

http://www.utusan.com.my, 19 Februari 2006

No comments: