Tuesday, December 5, 2006

PENYAKIT PUAN

Sindrom ovari polisistikOleh: DR. SHAH REZA JOHAN NOOR (Pakar Perunding Kanan Perbidanan & Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia)

SINDROM ovari polisistik merupakan satu keabnormalan yang tercetus daripada keganjilan paras hormon-hormon tertentu. Wanita yang mengalami sindrom ini mempunyai haid yang tidak teratur dan kadangkala tidak ada haid langsung.

Walaupun sindrom ini boleh memudaratkan wanita, rawatannya tetap ada. Artikel ini akan membincangkan mengenai apakah sindrom ovari polisistik, bagaimana ia didiagnos dan cara rawatannya.

Permasalahan

Wanita yang menderita sindrom ini memang dilahirkan dengan situasi telur sebegitu. Cuma, manifestasi petandanya jelas pada umur yang meningkat. Boleh dikatakan sindrom ini mempunyai talian kekeluargaan di mana anak-anak pun mungkin juga akan mewarisi sindrom ini.

Pemahaman masalah melalui pemahaman hormonhormon reproduksi

Setiap bulan, folikel yang mengandungi telur, menjadi matang dan dibebaskan dari ovari seseorang wanita. Sekiranya persenyawaan berlaku di antara telur dan sperma, wanita tersebut akan mengandung.

Sekiranya tiada persenyawaan, ataupun proses tersebut gagal, lapisan dalam rahim iaitu endometrium akan terhakis dan dikeluarkan sebagai pendarahan haid.

Hormon-hormon utama wanita

* Hormon perangsang folikel dan hormon luteinisasi dikilangkan di kelenjar pituitari yang berada di dasar otak. Hormon perangsang folikel merangsang kematangan telur di dalam ovari manakala hormon luteinisasi pula merangsang supaya telur tersebut dikeluarkan dari ovari tersebut.

* Ovari menghasilkan hormon-hormon estrogen dan progesteron. Estrogen menyebabkan lapisan dalam rahim iaitu endometrium, menebal. Selepas ovulasi, paras progesteron yang tinggi akan menyebabkan pembuluh darah membengkak seterusnya perubahan lain yang bertujuan sebagai persediaan mengandung.

Hari pertama kedatangan haid dilabelkan sebagai Hari Pertama. Purata kitaran haid wanita lebih kurang 28 hari, termasuklah pendarahan yang berlaku selama lima hingga tujuh hari. Walau bagaimanapun, kitaran haid berubah-ubah dari 23 hingga 35 hari.

Dalam kebanyakan kes, hormon perangsang folikel dikeluarkan mencukupi untuk kehadiran satu folikel yang kemudiannya akan mengeluarkan telur dari ovari apabila matang. Lain pula halnya dengan sindrom ovari polisistik. Walaupun mempunyai banyak folikel, proses kematangan tidak berlaku dan tentu sekali telur tidak akan dikeluarkan.

Disebabkan tidak ada pengeluaran telur, paras hormon progesteron menjadi rendah manakala paras hormon estrogen dan androgen menjadi tinggi mengakibatkan pendarahan haid menjadi tidak teratur.

Insulin

Insulin juga memainkan peranan dalam sindrom ovari polisistik. Ramai wanita yang menderita sindrom ini mempunyai paras hormon insulin yang tinggi ataupun insulin yang dikeluarkan tidak berupaya untuk menjalankan tugasnya dengan cekap.

Ini mungkin menjadi salah satu penyebab kenapa wanita yang mengalami sindrom ini mempunyai berat badan melebihi berat sepatutnya bagi umur mereka. Selain itu, mereka mungkin turut mengalami kesukaran untuk mengurangkan lebihan berat badan. Mereka akan cenderung ke arah penyakit kencing manis.

Kehadiran insulin berlebihan akan mengganggu tumbesaran folikel-folikel di dalam ovari, lambat-laun ovari akan membesar disebabkan oleh banyaknya folikel yang dikandung.

Risiko jangka panjang

Sindrom ini dikaitkan dengan penyakit jantung, kencing manis dan juga tekanan darah tinggi.

Kehadiran estrogen yang tinggi berpanjangan, tanpa timbal balik rangsangan hormon progesteron, meningkatkan risiko tumbesaran lapisan dalam rahim secara melampau. Masalah ini lama-kelamaan akan menyebabkan hiperplasia endometrium yang seandainya tidak dirawat akan mendedahkan wanita kepada kejadian barah rahim.

Rungutan dan tanda-tanda

Perlu diingat, perubahan hormon mungkin bermula ketika kitaran haid yang pertama, mungkin juga berlangsung dengan peningkatan usia.

lKehadiran bulu-bulu dan rambut-rambut kemiripan lelaki di muka dan juga badan. Faktor bangsa turut mempengaruhi

*Jerawat

*Kulit menjadi kegelapan dan menebal di bahagian leher, ketiak, kawasan di tepi faraj kedua-dua paha dan juga permukaan sebelah dalam paha

*Gemuk atau berat badan melebihi berat yang bersesuaian dengan umur dan ketinggian

*Kehadiran haid yang tidak menentu ataupun tidak datang haid langsung

*Sukar untuk mengandung

*Infeksi/jangkitan yis/fungus/kulat di faraj

*Mungkin juga kehilangan atau keguguran rambut keterlaluan.

Diagnosis

Doktor akan menjalankan pemeriksaan kesihatan, sejarah dan juga fizikal.

Kitaran haid akan ditanya secara terperinci, sejarah keluarga termasuk kakak-kakak, adik-adik perempuan dan ibu, akan dihalusi. Ujian darah termasuk paras-paras hormon tertentu, glukosa darah dan mungkin juga paras insulin akan dikaji.

Ujian ultrasound akan dijalankan semasa seseorang sedang mengalami datang bulan untuk merekodkan morfologi ovari, juga ketebalan dinding rahim iaitu endometrium, akan diukur.

Rawatan

Sindrom ini merupakan satu situasi yang berkekalan. Rawatan bergantung kepada rungutan dan juga sama ada puan berhasrat untuk mengandung.

* Perubahan tatacara kehidupan. Ini bertujuan merendahkan paras hormon insulin, bersenam dan beriadah setiap hari boleh membantu (sekurang-kurangnya 30 minit sehari).

Pengurangan berat badan juga boleh menurunkan paras insulin bagi membolehkan pengeluaran telur dari ovari. Ia juga membantu mengurangkan kehadiran rambut-rambut dan bulu-bulu ke arah kelakian dan seterusnya merendahkan risiko hiperplasia dinding rahim.

Pola pemakanan juga perlu dijaga. Kurangkan makanan yang kaya dengan karbohidrat di samping mengurangkan pengambilan gula. Pakar pemakanan boleh membantu untuk mengurangkan berat badan melalui pemakanan tertentu.

* Secara perubatan.

Untuk mereka yang haidnya tidak teratur, hormon progesteron ataupun pil perancang keluarga mungkin membantu.

Bagi mereka yang berhasrat untuk mengandung pula, perawatan yang diberikan tumpuan adalah supaya kematangan telur berlaku dan seterusnya boleh dikeluarkan untuk disenyawakan.

Ubat-ubatan lain mungkin turut dipreskripsi bagi mengawal serta merendahkan paras insulin badan. Ubat-ubatan lain yang mungkin diberikan bertujuan untuk melambatkan tumbesaran rambut-rambut dan bulu-bulu mirip kelakian.

Bagi mengatasi masalah kehadiran rambut dan bulu yang sedia ada, kaedah-kaedah kosmetik disyorkan seperti bercukur, elektrolisis dan kaedah-kaedah lain yang terdapat di salun-salun kecantikan.

http://www.utusan.com.my, 5 Mac 2006
http://www.utusan.com.my, Vaginitis, Rungutan, Jenis Dan Rawatan, 26 Mac 2006
Utusan, 7 Mei 2006, PMS: Misteri Wanita
Utusan, 11 Jun 2006, Fibroid buncit dan mandul
Utusan, 23 Julai 2006, Dispareunia sakit ketika bersama
Utusan, 26 Nov 2006, D&C kesan punca pendarahan rahim
Utusan, 10 Dis 2006, Kenali alat kelamin anda
Utusan, 11 Mac 2007, Enam masalah kesihatan paling memalukan wanita

No comments: