Tuesday, December 5, 2006

DIABETIS

Diabetes: Ambil gula cara sederhana
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

BAGI sebahagian besar daripada kita, kehidupan tanpa pencuci mulut dan halwa yang serba manis, menyebabkan dunia seakan muram jadinya.

Kenyataan ini terutama sekali ada benarnya di kalangan hampir kebanyakan rakan kita di sebelah pantai timur Semenanjung khususnya di Kelantan yang mana lidah mereka sudah lali dengan makanan manis-manis sedari kecil lagi.

Manakan tidak tergoda. Baik dari segi persembahan masakan dan kuih-muih dalam pelbagai warna dan bentuk hinggalah ke nama-namanya yang berbunyi pelik tetapi menarik.

Keenakan kuih seperti che mek molek, akok, buah tanjung, nasi kaya, jala mas, tepung pelita dan nekbak, bukan kecil jasanya dalam mempopularkan Kelantan itu sendiri.

Itu belum masuk bulan puasa di mana pelbagai jenis juadah dan kuih-muih tradisional yang tidak dijual sepanjang 11 bulan selebihnya dan jarang terdapat di tempat-tempat lain, boleh ditemui.

Apabila memperkatakan tentang makanan Kelantan, umum mengetahui, keunikannya yang paling ketara adalah dari segi rasanya yang terlebih manis.

Bagi mereka yang sedia mempunyai penyakit kencing manis, jangan sekali-kali berani mencubanya. Dikatakan, bagi setiap satu kilogram tepung yang digunakan dalam pembuatan kuih-muih, jumlah gula yang sama juga akan digunakan.

Penggunaan gula yang berleluasa tidak terhad di dalam penghasilan kuih- muih sahaja tetapi juga lauk-pauk seperti gulai ayam dan serunding daging, misalnya.

Maka, tidak hairanlah jika kesan penggunaan gula berlebihan sejak turun-temurun ini menjadikan Kelantan sebagai negeri dengan penghidap kencing manis yang tertinggi di Malaysia.

Selama ini, masyarakat sering juga membuat andaian yang mengaitkan di antara rakyat Kelantan dan masakannya yang manis dengan insiden penyakit diabetes tetapi ia tinggal kabur tanpa data-data sokongan.

Namun, Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Kelantan melalui hasil kajian oleh Universiti Sains Malaysia baru-baru ini mendedahkan, terdapat sejumlah 78,000 orang pesakit diabetes di negeri itu.

Perangkaan tersebut melonjak lebih sekali ganda kepada 13 peratus berbanding 5.3 peratus, 10 tahun sebelumnya. Kebanyakannya berusia 30 tahun ke atas.

Mereka juga mempunyai purata kandungan gula dalam badan yang tertinggi di Malaysia iaitu 10.7 peratus berdasarkan perkiraan hemoglobin A1c, sedangkan purata bagi seluruh negara cuma 9.1 peratus.

Pada keadaan normal, makanan yang dimakan akan ditukar ke dalam bentuk gula iaitu glukosa. Gula ini kemudiannya akan diserap ke dalam darah. Insulin akan menggunakan glukosa ini sebagai sumber tenaga.

Apabila berlaku kekurangan insulin atau fungsi insulin terjejas, paras gula dalam darah akan meningkat. Keadaan ini dipanggil diabetes.

Satu fakta yang sudah lama diketahui, gula berlebihan memang tidak baik untuk gigi kerana ia boleh menyebabkan kaviti.

Sehingga kini, wujud dua kumpulan yang bertelagah tentang gula sebagai faktor penyebab diabetes.

Kumpulan saintis pertama membuktikan bahawa gula, dalam jangka panjang boleh meningkatkan tahap insulin dalam darah yang lama-kelamaan boleh mencetuskan diabetes jenis dua.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik lain dalam satu kajian yang diterbitkan di dalam Diabetes Care dipetik sebagai berkata:

``Jika seseorang itu disahkan menghidap diabetes, anda perlu mengawal pengambilan gula dan karbohidrat bagi menguruskan kadar gula dalam darah.

``Bagaimanapun, jika anda bukan pesakit diabetes, pengambilan gula tidak akan menyebabkan diabetes.''

Menurut mereka, diet tinggi kalori, obesiti dan gaya hidup tidak aktif/tidak bersenam adalah faktor risiko utama kejadian diabetes jenis dua.

Pengambilan kalori berlebihan dari pelbagai sumber baik karbohidrat, protein atau lemak akan menyebabkan seseorang mengalami pertambahan berat badan berlebihan dan sekiranya mereka sedia mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes, obesiti akan menjadi pencetusnya.

Adakah ini bermakna, anda boleh mengambil gula sesuka hati? Tidak juga kerana, banyak gula banyaklah kalorinya. Kalori yang tinggi menjadi faktor penentu pertambahan berat badan jadi, ia perlu dikawal.

Satu lagi cabaran dalam peperangan menentang gula adalah di mana gula itu bersembunyi? Masalah utama dengan gula adalah, kita telah memakannya dengan banyak, lazimnya tanpa disedari.

Gula yang ditapis, malah gula semula jadi kini menjadi bahan tambahan dalam hampir kesemua makanan sejak dari bayi lagi, menyebabkan kita menjadi ketagih gula.

Dari rumusan bayi yang mempunyai pemanis hingga ke bijirin sarapan dan makanan diproses, semuanya boleh dikatakan bergula.

Disebabkan ia juga berfungsi sebagai bahan pengawet, mengekal dan menyerap lembapan, gula hadir dalam produk-produk yang tidak kita sangkakan seperti sos, mentega kacang, kicap dan makanan dalam tin.

Pada label makanan, gula disenaraikan dalam pelbagai nama seperti sukrosa, fruktosa, sirap jagung tinggi fruktosa, pati jus buah-buahan, madu, sirap dan sebagainya. Bahan yang berakhir dengan `ose' biasanya didatangkan dalam bentuk gula.

Kita tidak akan menghidap diabetes dengan hanya mengambil gula berlebihan. Namun, apa-apa sahaja perlulah dilakukan dalam bersederhana.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, lebih-lebih lagi jika yang manis-manis dan tinggi kandungan kalorinya, yang jelas tidak baik untuk kesihatan. Mengurangkannya bermakna meningkatkan tahap kesihatan anda.

Jika anda mengamalkan makanan tanpa atau bebas gula tetapi secara berlebihan, ia tetap akan mengundang masalah berat badan berlebihan yang kini menjadi raja pelbagai penyakit serius.

http://www.utusan.com.my, 12 Februari 2006

TAMBAHAN
Utusan, 1 Oct 2006, Adakah anda menghidap pradiabetes?
Utusan, 15 Oct 2006, Diabetes dan sindrom metabolik
Utusan, 24 sept 2006, Puasa pesakit diabetes
Utusan, 29 Oct 2006, Pradiabetes: Jaga berat badan
Utusan, 12 Nov 2006, Mengurus pradiabetes dengan pemakanan sihat
Utusan, 26 Nov 2006, Perlukah ubat menguruskan pradiabetes?
Utusan, 10 Dis 2006, Bahaya GDM: Diabetes ketika hamil
Utusan, 21 Jan 2007, Prakehamilan pesakit diabetes
Utusan, 21 Jan 2007, Kesihatan optimum pesakit diabetes
Utusan, 11 Feb 2007, Diabetes Ambillah peduli
Utusan, 11 Feb 2007, Kehamilan sihat untuk pesakit diabetes
Utusan, 18 Feb 2007, Menghadapi diabetes pada usia muda
Utusan, 4 Mac 2007, Diabetes menjejaskan kesihatan seksual

No comments: