Tuesday, December 5, 2006

EKSTASI

Ekstasi ‘memasak’ otak
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

AZURA (bukan nama sebenar) mengambil keputusan ke parti liar yang dianjurkan oleh rakannya dengan harapan mahu berseronokseronok sepanjang malam bagi melupakan masalahnya. Dalam remang-remang cahaya lampu yang berkelip-kelap diiringi muzik rancak di sebuah kelab persendirian, salah seorang daripada kenalannya menyuakannya tablet kecil berwarna putih.

Tidak lama kemudian, Azura mula menggoyangkan kepalanya, menari, menari dan terus menari mengikut rentak irama. Dan seperti laporan polis yang dibuat oleh teman baiknya, Sherri: “Azura menjadi tidak terkawal, dia memberitahu berasa sensasi keseronokan melampau.”

Azura dikejarkan ke hospital tetapi meninggal dunia keesokan paginya. Puncanya, dadah dengan sejarah paling kontroversi dan pantas berkembang - ekstasi.

“Tetapi, itu tidak akan berlaku kepada saya,” fikir anda. Ya, mungkin tidak, namun sanggupkah anda mengambil risikonya?

Pakar perubatan penagihan, Pusat Rawatan Pakar Dr. Mahmud, Dr. Mahmud Mazlan berkata:

“Ekstasi adalah sejenis dadah perangsang berbahaya yang boleh memasak (merosakkan) otak dan organ-organ utama dalam badan serta menyebabkan kematian.

“Ekstasi meminda perasaan – menjadikan seseorang merasakan dirinya bagus, gembira, seronok, tenang, bersikap lebih terbuka, sensitif kepada sentuhan, yakin diri, mempunyai daya penarik, cepat mesra dan mudah dekat atau berdamping dengan orang lain.”

Jika di pusat-pusat hiburan mahupun disko yang dipasangkan muzik kuat, kesannya akan bertambah seiring degupan jantung seseorang, menyebabkan pengguna menari dengan lebih rancak dan untuk tempoh yang lebih lama. Perilaku seks di bawah kesan pil ini juga dirasakan lebih lembut dan berahi.

Menurut Dr. Mahmud, ekstasi terdapat di dalam pelbagai bentuk dan panggilan. Yang biasa terdapat adalah jenis MDMA (3, 4 - methylenedioxy methamphetamine) dan MDA (3, 4 – methylenedioxy amphetamine).

“Ekstasi dalam bentuk pil muncul dengan pelbagai logo dan warna berharga sekitar RM50 hingga RM200 sebiji bergantung dari mana pil itu diperbuat. Selalunya pil dari Belanda mendapat harga yang tinggi kerana ketulenan MDMA,” ujar Dr. Mahmud lagi.

Kebanyakan yang didapati di pasaran gelap adalah daripada kekuatan 50mg hingga 150mg sebiji. Selalunya dos yang diambil untuk mendatangkan kesan adalah 75 hingga 100mg.

Cara penggunaan yang biasa adalah dengan menelannya walaupun pil ini berasa pahit. Pil ekstasi boleh juga dihancurkan. Ia juga didapati dalam bentuk serbuk dan dihidu.

Pil ini juga boleh dimasukkan ke dalam dubur di mana dadah ini boleh terserap, dalam bentuk cecair dan suntikan.

Sejarah ekstasi
Ekstasi jenis MDA dihasilkan pada tahun 1910 oleh pakar kimia Jerman, Mannich dan Jacobsohn. Ia mula dikaji ke atas binatang pada tahun 1939 dan mula digunakan sebagai ubat batuk (1958) dan ubat menguruskan badan (1961).

Pada tahun 1978 pula, ia digunakan oleh pakar psikoterapi. Bagaimanapun, oleh kerana kesan sampingannya yang lebih berat berbanding faedah rawatannya, ia telah diharamkan pada tahun 1985.

Kesan buruk ekstasi

Malangnya, kata Dr. Mahmud, pengguna yang kerap menggunakan ekstasi memerlukan dos yang lebih tinggi untuk mendapatkan hasil yang sama.

“Lazimnya, pengguna baru memerlukan setengah biji untuk mendapatkan kesan yang bagus tetapi setelah menggunakannya di antara dua hingga tiga bulan, dia perlukan sebiji pil itu, dan setelah dua tiga bulan lagi, jumlah yang lebih besar diperlukan.

“Selalunya mereka akan mengambilnya bersama minuman keras untuk berasa keterujaan yang memuncak,” katanya.

Tidak terdapat kaitan di antara dos yang diambil dengan risiko kesan sampingan atau kematian. Seseorang boleh mati akibat sebiji pil. Kerap kali kematian berlaku ke atas seseorang yang pernah menggunakan ekstasi tanpa menunjukkan kesan buruknya.

Risiko ekstasi

Dr. Mahmud menjelaskan, risiko yang utama adalah kesan terhadap jantung yang menyebabkan tekanan darah melonjak naik, denyutan jantung terlalu laju sehingga berlakunya kegagalan jantung dan pendarahan otak/strok serta boleh membawa maut.

Kematian juga boleh berlaku disebabkan oleh peningkatan suhu badan yang melampau yang menyebabkan kekurangan cecair badan yang teruk, koma dan kegagalan fungsi organ-organ utama.

“Malangnya lagi, kes kematian disebabkan oleh ekstasi tidak bergantung kepada dos. Jumlah setengah biji boleh membawa maut kepada pengguna berisiko tinggi.

“Ia juga menyebabkan penyakit Parkinson seperti kancing gigi, kaki dan tangan menggeletar,” katanya sambil menambah, pemberhentian pengambilan ekstasi menyebabkan rasa sangat penat, tiada selera makan, susah berfikir, rasa gelisah dan perasaan murung.

Lain-lain risiko ekstasi adalah muntah, kejang otot, mandul, mati pucuk, hilang pertimbangan, mudah marah, kecenderungan bertindak ganas, tidak berfikiran waras dan mengalami halusinasi/khayal.

“Penyelesaian sebenar masalah adalah dengan tidak sekali-kali memulakannya (mengambil dadah). Itu bukanlah jawapannya malah ia mengundang bahaya yang lebih besar.

“Kepada golongan remaja, belajar meluahkan kebebasan anda dengan cara selain dadah. Percayalah, ia hanya merosakkan.

“Kepada ibu bapa, peruntukkan lebih banyak masa untuk bercakap dengan anak-anak anda, dengar masalah, berkongsi impian dan berikan sokongan kepada pemimpin kita di masa depan,” pesan Dr. Mahmud.

http://www.utusan.com.my, 5 Mac 2006

http://www.utusan.com.my, Pengalaman Penagih Ekstasi, 5 Mac 2006

No comments: