Tuesday, December 5, 2006

KESIHATAN BAYI & KANAK-KANAK

Masalah kulit bayi sensitif

SOALAN: Anak saya sering mengalami kegatalan pada kulit. Saya telah membawanya berjumpa dengan doktor dan diberitahu bahawa dia mempunyai kulit yang sensitif. Soalan saya, apakah saya perlu menggunakan sabun khas dan apakah krim yang sesuai saya gunakan?

JAWAPAN: Jika kulit anak anda sensitif, jangan gunakan sebarang sabun atau sapuan yang mengandungi wangian atau bahan pewarna yang tidak perlu. Terdapat banyak jenis sabun khas untuk kanak-kanak di pasaran. Cuba gunakan sabun yang mempunyai perkataan “Hipoalergenik” atau dalam bahasa Inggeris, “Hypoallergenic” kerana sabun-sabun tersebut mempunyai ramuan yang dibuktikan tidak menyebabkan alahan atau kesan-kesan alergi.

Kulit anak yang kering akan menjadi gatal. Keadaan kulit yang kering ini disebabkan oleh ekzema atau alahan. Kulit kering ini perlu disapu pelembap kulit seperti krim aqueous. Krim ini boleh juga digunakan sebagai sabun jika sabun lain menyebabkan kulit lebih teruk lagi. Apabila kulit anak kelihatan merah, maka mungkin juga doktornya memberi ubat krim steroid untuk mengurangkan radang kulit sehingga pulih. Kegunaan krim steroid ini hanya buat masa yang singkat dan dengan perhatian rapi oleh pakar kulit atau pediatrik.

Kegatalan kulit mungkin juga disebabkan oleh alahan kepada makanan tertentu. Adakah kegatalan tersebut lebih teruk pada waktu-waktu yang tertentu, ataupun selepas memakan sesuatu jenis makanan? Semua faktor ini harus diperhatikan supaya anak anda selesa dan sekiranya terdapat alahan atau masalah yang lain, masalah tersebut tidak dibiarkan berkekalan. Untuk bayi, adalah baik jika mereka diberi susu ibu dari awal lagi untuk mengelakkan daripada alahan kulit.

Susu ibu pelihara kulit

SOALAN: Bayi saya mempunyai masalah kulit yang sensitif di mana mudah mendapat ruam di kulitnya. Apakah nasihat anda untuk saya mengatasi masalah-masalah ini?

JAWAPAN: Kulit yang sensitif boleh dicegah dengan memberi anak susu ibu dari mula lahir dan selama yang boleh. Kulit atopi atau alahan ini perlu diperiksa untuk menentukan tidak disebabkan oleh penyakit lain seperti kulat Candida albicans atau kudis buta. Jika betul-betul dipastikan kulit anak sensitif dan terdapat kawasan-kawasan kulit yang kering, maka krim pelembap kulit perlu digunakan.

Ada kalanya, krim steroid seperti hydrocortisone 1% diperlukan. Jika digunakan, krim ini tidak boleh digunakan berpanjangan kerana kesan sampingan steroid boleh berlaku pula. Sabun yang hipoalergenik serta mengandungi pelembap juga perlu untuk kulit anak yang sensitif.

Bayi muak perkara biasa

SOALAN: Bayi saya berumur empat bulan. Masalahnya selepas menyusu dia akan muntah semula (muak). Mengapakah ini terjadi? Saya telah bertanya kepada doktor, namun jawapannya ia adalah normal. Adakah benar perkara ini normal bagi bayi?

JAWAPAN: Muak atau muntah adalah perkara yang biasa didapati pada bayi berusia enam bulan ke bawah. Walau bagaimanapun, bayi tidak patut muntah tiap-tiap kali selepas menyusu dan berat badannya tidak patut menurun. Muntah di kalangan bayi berlaku disebabkan oleh “injap” di antara esofagus (usus dari mulut ke perut) dan perut kerap kali terbuka memaksa kandungan perut naik ke esofagus dan kemudian ke mulut. Keadaan ini tidak menjadi masalah jika berat bayi meningkat seperti biasa.

Tanda-tanda yang merunsingkan ialah jika:

1. Bayi muntah tiap-tiap kali selepas menyusu.
2. Berat badannya tidak meningkat seperti biasa mengikut carta normal.
3. Mengeluarkan cecair hempedu berwarna kuning atau hijau dalam muntahnya.

Jika anak muntah, pastikan dia tidak berbaring terlentang kerana ini boleh melibatkan bahan muntahnya masuk ke saluran pernafasan. Jika kerap sangat berlaku, adalah baik jika bayi terlibat ditidurkan mengiring untuk mengelak daripada aspirasi ke paru-parunya.

Punca bayi sembelit

SOALAN: Saya mempunyai anak berusia tiga bulan lebih dan menyusukan bayi saya selepas pulang dari bekerja. Masalah saya, anak saya sukar untuk membuang air besar iaitu dua hari sekali dan setiap kali hendak buang air, bayi saya mesti menangis sakit perut malah selalu kembung perut. Soalan saya, adakah disebabkan susu formula yang diberikan yang membuatkan bayi saya susah untuk membuang air dan sakit perut?

JAWAPAN: Ada kalanya apabila bayi menukar susu daripada susu ibu kepada susu formula, masalah sembelit berlaku. Ada banyak sebab kenapa ini berlaku - zat besi dalam susu formula, komposisi susu tersebut, cara membancuh, dan sebagainya. Jika bayi diberi susu formula, puan boleh cuba tukar ke formula berjenama lain. Walaupun semua susu formula mempunyai isi kandungan yang hampir sama, ada sedikit perbezaan yang boleh melibatkan bayi menjadi sembelit. Jangan bancuhkan susu kurang pekat kerana ini akan menjadikan keadaan susah lagi dan boleh melibatkan tumbesaran bayi. Jika bayi masih lagi buang air besar yang keras dan susah keluar, cuba berikan jus prun satu atau dua kali sehari.

Jika bayi buang air besar dua hari sekali dan tidak meneran atau najisnya bukan keras atau berketul-ketul, jangan bimbang.

Jangan berlebihan dos

SOALAN: Apabila demam, anak saya (tiga tahun dan satu tahun tujuh bulan) akan mengalami suhu badan yang panas, kebiasaan bapanya akan memasukkan ubat demam melalui dubur sebelum ke klinik mendapatkan ubat makan.

Apakah risiko ubat demam dubur jika kerap digunakan kepada anak setiap kali mereka demam?

JAWAPAN: Ubat demam yang dimasukkan ke dalam dubur ialah ubat parasetamol atau diclofenac. Ubat-ubat ini boleh digunakan dengan selamat jika anak enggan makan ubat atau dalam keadaan kecemasan di mana suhu badan anak perlu diturunkan secepat mungkin supaya tidak menjadi sawan demam. Kesan sampingan jarang berlaku asalkan dosnya tidak melebihi preskripsi doktor anak anda. Pastikan ubat tersebut tidak dipaksa ke dalam lubang dubur anak kerana ini boleh melukakannya. Masukkan dengan sedikit air atau jel supaya tidak terluka kawasan anus anak.

Soalan-soalan dijawab oleh Dr. Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik dan Presiden, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA)

http://www.utusan.com.my, 19 Mac 2006

TAMBAHAN
1)Utusan, Penjagaan Kesihatan Kanak-Kanak, 2 April 2006
2)Utusan: Suhu badan biasa bagi kanak-kanak / Badan anak sering berpeluh / Nafas anak berbau busuk, 16 April 2006
3)Utusan: 7 Langkah selamatkan bayi, 30 April 2006
Utusan, 21 Mei 2006, Jaundis bayi undang risiko
Utusan, 28 Mei 2006, Masalah tonsil anak-anak / Vaksin meningitis penting utk anak-anak / Anak usia setahun perlu tidur 8 jam / Anak selesema tidak perlu ke doktor?
Utusan, 11 Jun 2006, Ensefalosele kurang asik folik
Utusan, 11 Jun 2006, Ketahui suntikan untuk anak anda
Utusan, 30 Julai 2006, Kaedah baru rawat talasemia
Utusan, 20 Ogos 2006, Demam: Jangan sampai diserang sawan
Utusan, 27 Ogos 2006, Jumpa doktor jika bayi tidak mengengsot / Merepuh fenomena biasa kanak-kanak
Utusan, 24 Sept 2006, Menghadapi sembelit kanak-kanak
Utusan, 12 Nov 2006, Selamatkan anak-anak daripada penyakit depresi
Utusan, 3 Dec 2006, Risiko gegaran otak berulang
Utusan, 10 Dis 2006, Memahami anak-anak autistik
Utusan, 15 Jan 2007, Kesihatan optimal remaja anda
Utusan, 15 Jan 2007, Baik buruk anak tidur buaian
Utusan, 25 Feb 2007, Anak kerap muntah berlendir
Utusan, 11 Mac 2007, Tumor Wilm's Kanser kanak-kanak

1 comment:

AriSsa HeLiza HeLmi said...

salam sy nk tny susu yang bgs tuk baby poor weight gain..baby saya 9 month weight 6.8kg..
BMI sjrg dh paras kuning