Tuesday, December 5, 2006

FOBIA & TRAUMA

Fobia sekolah loya, sakit perut, demam
Oleh Shafinaz Sheikh Maznan

MASA untuk kembali ke sekolah! Membelek gambar-gambar berkaitan, saya tertawa geli hati melihatkan telatah anak-anak kita yang pertama kali memasuki alam persekolahan.Ada yang menangis dengan wajah tersebik. Malah, ada juga yang buat perangai meraung tanpa mempedulikan orang lain di sekelilingnya. Tidak kurang yang berpaut erat tidak mahu melepaskan ibu bapa mereka pergi. Sesetengahnya pula bermuka monyok sambil berteleku di meja tulis dan mengasingkan diri.

Teringat pula zaman kecil-kecil dulu. Apa pun, majoriti anak-anak zaman sekarang nampak teruja dan terlebih gembira memulakan tahun satu mereka di sekolah.

Sesetengah kanak-kanak berasa agak gugup dan sedikit takut pada hari pertama di sekolah disebabkan oleh beberapa perkara baru yang terpaksa mereka tempuhi di dalam hidup mereka. Cikgu baru, kawan baru dan sekolah baru.

Mujurlah kebimbangan-kebimbangan baru ini hanya bersifat sementara dan hilang dengan sendirinya bersama masa apatah lagi jika ibu bapa bertegas mahukan mereka ke sekolah pada setiap hari tanpa ponteng.

Apa yang penting, dalam tempoh berdepan dengan kesukaran itu, kanak-kanak memerlukan sokongan padu daripada ibu bapa.

“Mengelak sekolah yang juga dikenali sebagai penafian sekolah atau fobia sekolah bukanlah sesuatu yang luar biasa. Lima peratus kanak-kanak mengalaminya.

“Mereka tidak boleh mengendalikannya dan oleh itu, tidak mahu hadir ke sekolah lagi dengan pelbagai alasan,” kata Pakar Runding Psikiatri, Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh.

Menurutnya, ada yang mengadu tidak sihat dan dalam kes-kes tertentu, mereka mengadu gejala-gejala fizikal kronik yang pelik dan sukar untuk dijelaskan.


Kebanyakan kanak-kanak ini mempunyai gejala berkaitan kebimbangan yang di luar kawalan seperti sakit kepala, sakit perut, hiperventilasi (pernafasan yang terlalu cepat semasa rehat), loya dan mual, serta pening kepala.

Secara amnya, gejala yang lebih ketara adalah muntah, cirit-birit, demam dan penurunan berat badan.

“Fobia sekolah lebih kerap berlaku sepanjang lima hari bersekolah dan gejalanya biasa hilang pada hujung minggu.

“Apabila kanak-kanak ini diperiksa oleh doktor, tidak dapat dikesan sebarang penyakit,” kata Dr. Nor Hamidah.

Tambahnya, sementelah jenis-jenis simptom yang dinyatakan oleh kanak-kanak tadi boleh berpunca daripada penyakit fizikal, pemeriksaan kesihatan lazimnya menjadi sebahagian daripada penilaian mereka.

Dalam rata-rata kes, kata beliau, kanak-kanak yang enggan ke sekolah ini juga tidak tahu kenapa mereka sakit. Justeru, mereka mungkin mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dan menyampaikan penyebab ketidakselesaan mereka itu.

Bagaimanapun, kebimbangan berkaitan sekolah menyebabkan keengganan untuk ke sekolah, gejala-gejala tersebut mungkin merupakan satu cara untuk meluahkan kesukaran emosi yang berkaitan dengan isu-isu seperti:

- Takut gagal

- Masalah dengan kanak-kanak lain seperti mengejek mereka gemuk atau pendek

- Tidak mahu berkongsi tandas awam

- Menganggap guru sebagai orang jahat yang garang

- Ancaman kecederaan fizikal daripada pembuli

- Kecederaan fizikal sebenar.

Bagi sesetengah kanak-kanak, persekitaran sekolah boleh memberikan tekanan awal kepada mereka.

Contohnya, jika kanak-kanak menjangkakan prestasi yang terlalu cemerlang daripada diri mereka sendiri, ketakutan mereka untuk gagal secara beransur-ansur membuatkan mereka menjadi bimbang keterlaluan.

“Dalam sesetengah kes, kanak-kanak melalui pengalaman kehilangan orang tersayang sama ada kematian, perceraian atau berpindah ke satu tempat lain yang jauh.

“Terutamanya, mereka mungkin takut akan kehilangan orang lain lagi semasa ketiadaan mereka di rumah kerana berada di sekolah,” kata Dr. Nor Hamidah.

Ditambah dengan persekitaran sekolah itu sendiri, penafian sekolah mungkin berkaitan dengan kesukaran kanak-kanak untuk berpisah dengan ibu bapa mereka dan merasakan tidak selamat untuk berdikari.

Mereka cenderung menjadi tidak yakin pada diri sendiri dan kurang berdikari berbanding kebanyakan rakan-rakan mereka yang lain.

“Mereka gemar mengasingkan diri, tidak suka bersosial dengan kawan-kawan dan hanya mahu duduk di rumah bersama ibu bapa mereka sahaja.

“Sesetengah kanak-kanak kurang upaya atau mengalami penyakit kronik pula akan menghadapi masalah yang lebih sukar untuk memulakan persekolahan dan terpaksa berjauhan dari rumah,” katanya.

Dr. Nor Hamidah berkata, dalam pada ibu bapa kanak-kanak ini berwaspada dan penyayang, mereka juga mungkin bertindak melindungi anak-anak secara keterlaluan.

Dalam sesetengah kes, tanpa disedari, ibu bapa yang mengalami kemurungan atau sakit mahukan agar anak-anak menemani mereka di rumah.

Kanak-kanak yang mengalami masalah ini juga, jelas beliau, lazimnya merupakan anak tunggal dalam keluarga atau istimewa seperti anak sulung atau bongsu dalam sebuah keluarga yang besar.

“Semakin kanak-kanak itu meningkat remaja, insiden fobia sekolah berkurangan dengan ketara. Bagaimanapun, jika ia berlaku semasa peringkat praremaja, ia perlu diberikan perhatian yang lebih.

“Mereka takut untuk terus membesar dan menjadi dewasa, mereka juga mungkin diselubungi tekanan di rumah yang menggoyahkan keyakinan dan rasa selamat sehingga menjejaskan akademik dan cabaran sosial,” katanya.

Bilakah masanya untuk mendapatkan bantuan

Jika masalah ini berterusan lebih dari seminggu, anda perlu mendapatkan bantuan profesional.

“Pertama, dia perlu diperiksa oleh seorang pakar kanak-kanak.

“Jika gejalanya muncul atau menunjukkan tanda-tanda yang kronik akibat terpaksa berdepan dengan masalah perpisahan apabila ke sekolah, pakar berkenaan mungkin merujuknya kepada pakar psikologi kanak-kanak,” kata Dr. Nor Hamidah.

Sekalipun anak anda menafikan pengalaman-pengalaman negatifnya di sekolah atau dia bermasalah dalam hubungannya dengan kanak-kanak lain, gejala-gejala fizikal yang tiada penjelasan boleh diambil kira untuk mendapatkan rawatan.

Menguruskan fobia sekolah

Langkah pertama, pengurusannya melibatkan penilaian oleh doktor bagi menyingkirkan penyakit-penyakit fizikal yang mungkin ada.

Doktor juga akan membantu ibu bapa untuk merangka pelan rawatan.

Sebaik penyakit fizikal disingkirkan sebagai penyebab gejala kanak-kanak terbabit, usaha ibu bapa akan diarahkan bukan sahaja untuk memahami tekanan yang dihadapi oleh anak mereka tetapi juga, bagaimana untuk membuatnya kembali ke sekolah.

Berikut adalah beberapa garis panduan bagi membantu kanak-kanak ini mengatasi masalah mereka:

- Bercakap dengan anak anda tentang alasannya enggan ke sekolah. Pertimbangkan semua kemungkinannya. Tunjukkan rasa simpati, sokongan dan memahami kekecewaannya.

Cubalah untuk menyelesaikan tekanan yang telah dikenal pasti menyebabkan kebimbangan mahupun gejala-gejala mereka.

- Nyatakan kepada anak-anak bahawa anda memahami kegelisahan mereka tetapi tetap bertegas agar dia kembali ke sekolah dengan segera. Lebih lama dia berada di rumah, lebih liat jadinya nanti.

Terangkan kepadanya tentang kesihatannya yang baik dan gejala-gejala fizikal yang ditunjukkannya mungkin disebabkan oleh kerisauan-kerisauannya sebagaimana dijelaskan oleh mereka kepada anda sama ada gred, kerja rumah, hubungannya dengan guru, tekanan sosial atau kerana takutkan keganasan yang mungkin berlaku di sekolah.

Beritahu kepadanya bahawa hadir ke sekolah adalah sesuatu yang diperuntukkan dalam undang-undang. Dia mungkin memberikan tekanan berterusan kepada anda supaya dibenarkan tinggal di rumah sahaja tetapi anda perlu bertegas dengannya untuk kembali bersekolah.

- Bincangkan masalah ini dengan guru-guru di sekolahnya. Kongsilah dengan mereka perancangan anda agar dia bersekolah semula. Dapatkan sokongan dan bantuan daripada mereka. Jika anak-anak anda menunjukkan gejala-gejalanya, mereka boleh menggalakkannya masuk ke dalam kelas semula.

- Tetapkan komitmen anda untuk menjadi lebih tegas pada waktu pagi saat anak-anak bangun untuk ke sekolah dan mengadu mengenai simptom-simptom yang mereka alami. Cuba kurangkan perbincangan mengenai gejala fizikal atau kebimbangan mereka ke tahap minimum.

Contohnya, jangan tanya bagaimana mereka rasa hari itu. Jika mereka boleh bangun dan mundar-mandir sekeliling rumah, bermakna dia cukup sihat untuk ke sekolah. Apabila mereka mula membiasakan diri hadir ke sekolah, gejala-gejala fizikal yang dialaminya akan hilang dengan sendirinya.

- Jika anak-anak anda menunjukkan kebimbangan yang teruk, anda mungkin boleh lakukan cara ini. Pada hari pertama, dia perlu bangun pagi, pakai baju, dan anda ke sekolah bersamanya supaya dia dapat merasakan pengalaman itu, sebelum kalian berdua pulang semula ke rumah.

Pada hari kedua, dia perlu ke sekolah untuk separuh hari atau untuk beberapa kelas yang digemarinya. Hari ketiga, dia akhirnya boleh kembali belajar sehari penuh.

- Doktor mungkin memudahkan cara dengan menuliskannya sekeping nota yang menyatakan dia mengalami gejala-gejala yang menghalangnya daripada bersekolah.

Tetapi, sekalipun gejala-gejala itu mungkin timbul, dia sudah boleh bersekolah. Cara ini dapat membantu anak-anak anda daripada berasa malu.

- Sekiranya masalah seperti buli atau guru di sekolah yang menjadi puncanya, bertindaklah sebagai ‘peguam bela' kepada anak-anak anda. Rundingkannya dengan kakitangan di sekolah. Mereka mungkin perlu melakukan sedikit pengubahsuaian bagi melegakan tekanan kanak-kanak di dalam mahupun luar kelas.

- Jika anak anda berada di rumah, pastikan mereka selamat dan selesa tetapi, jangan memberikannya layanan istimewa. Gejala-gejalanya boleh dirawat dengan timbang rasa dan sikap anda yang memahami. Jika aduannya terbukti, biarkan dia berehat di katilnya.

- Anak anda mungkin perlu berjumpa doktor apabila dia berada di rumah disebabkan oleh kesakitan fizikal. Alasan untuk tinggal di rumah bukan hanya kerana aduan gejala ketidakselesaan tetapi termasuklah suhu badannya yang tinggi, ruam, batuk kering yang kerap, muntah, cirit-birit, sakit telinga dan gigi.

- Bantu anak-anak anda berdikari dengan menggalakkannya bermain dengan kanak-kanak lain di sekitar kawasan perumahan.

http://www.utusan.com.my

TAMBAHAN
Utusan, Fobia Doktor Gigi, 2 April 2006
Utusan, Membantu Kanak-kanak Trauma, 2 April 2006
Utusan, 7 Mac 2007, PTSD: Trauma pascabencana

No comments: