Monday, December 11, 2006

SENARIO DUNIA PERUBATAN

Senario dunia perubatan tanpa sempadan
Oleh: RAJA ZUHA KAMAL

SEORANG pesakit jantung, Zulhery, perlu mendapatkan rawatan dan pemerhatian berterusan mengenai keadaan penyakitnya.

Berusia 45 tahun, dia mengalami komplikasi jantung yang berpunca daripada keadaan salur darah tersumbat atau aterosklerosis dan kini terlantar di wad sebuah hospital sambil menerima rawatan.

Bagaimanapun, pakar perubatannya pada ketika itu, Dr. Haris, berada di luar lokasi kerana menghadiri satu seminar bersama lain-lain pakar kardiologi dari luar negara.

Menemani Zulhery di sisi katilnya sejak dua hari lalu ialah Bedside Companion, sistem interaktif pelbagai fungsi yang memberikan kemudahan komunikasi dan hiburan melalui sebuah televisyen plasma dan alat kawalan jauh.

Dengan menggunakan sistem tersebut, Zulhery dapat menonton rancangan televisyen kegemaran dan pelbagai lagi filem aksi kesukaannya. Pada masa lapang pula, dia sibuk melayari Internet dan membaca e-mel dengan menggunakan sistem yang sama.

Bedside Companion memberikan begitu banyak kemudahan untuk digunakan oleh Zulhery.

Hanya dengan menyampaikan arahan suara, dia juga boleh membuat panggilan telefon, mendapatkan bantuan jururawat serta mengetahui maklumat bil yang dikenakan sepanjang berada di hospital berkenaan.

Sedang asyik menonton filem kegemarannya, Zulhery didatangi seorang pakar kardiologi, Dr. Norhayati yang buat sementara waktu menggantikan tempat Dr. Haris.

Melalui televisyen yang sama, Dr. Norhayati menyentuhkan kad pengenalan diri pada peranti pengesan dan maklumat berkaitan kesihatan Zulhery tertera pada skrin televisyen dengan serta-merta.

Teknologi yang digunakannya dikenali sebagai Near Field Communication (NFC).

Beliau ingin mengetahui sejarah pengambilan ubat-ubatan serta keadaan kesihatan seperti tekanan darah semasa, berat badan dan suhu tubuh untuk memberikan rawatan susulan kepada pesakitnya.

Turut dipaparkan di skrin ialah nama jururawat bertugas yang bertanggungjawab menjaga keperluan rawatan Zulhery termasuk dos Lipitor yang diberikan.

Di suatu lokasi yang lebih jauh, Dr. Haris baru sahaja menerima keputusan terkini pengesanan pesakitnya.

Menggunakan telefon pembantu digital peribadi (PDA) berasaskan teknologi Mobile Physician, dia bukan sahaja dapat mengakses Rekod Perubatan Elektronik (EMR) tetapi dalam masa yang sama, mengadakan sidang video bersama pesakitnya.

Tidak lama kemudian, Zulhery menerima panggilan daripada Dr. Haris yang ingin bertanya keadaan pesakitnya dan menerangkan perkembangan terkini kesihatannya.

Dalam tempoh beberapa saat sahaja, imej angiografi hasil pengimejan diagnostik saluran arteri dipaparkan pada skrin yang sama, menunjukkan lambakan lemak pada dinding arteri Zulhery.

Keliru dengan imej tersebut, beliau meminta penjelasan yang lebih lanjut daripada Dr. Norhayati.

“Jikalau anda perhatikan dengan teliti, terdapat timbunan lemak pada sekeliling saluran darah mengakibatkan ia menjadi sempit.

“Keadaan inilah yang meningkatkan rintangan aliran pada sistem peredaran darah anda,” jelas Dr. Norhayati.

Dengan menggunakan Mobile Physician dan Bedside Companion, Dr. Haris, Dr. Norhayati dan Zulhery mampu saling berhubung serta berinteraksi antara satu sama lain.

Dua minggu kemudian, keadaan Zulhery kembali stabil tetapi beliau perlu menjaga keadaan kesihatannya dengan meneruskan pengambilan ubat-ubatan selain melakukan senaman berkala.

Sepanjang berada di rumah, Zulhery dipantau secara berterusan oleh Motiva, sejenis peranti khas yang dilanggan setiap bulan untuk menghubungkan status kesihatan dirinya dengan penjaga kesihatannya di hospital.

Konsep penggunaannya sama mudah seperti Bedside Companion. Segala aplikasi laporan kesihatannya dapat dilakukan secara interaktif di televisyen.

Setiap hari, Zulhery perlu membuat pemeriksaan tekanan darah dan berat badan melalui peralatan yang disambung menggunakan teknologi tanpa wayar Bluetooth dan kemudiannya, maklumat yang diperoleh akan dihantar ke sistem Xcelera.

Xcelera Cardiology Information Solutions merupakan satu lagi teknologi perkhidmatan maklumat bertujuan menguruskan penjagaan kesihatan Zulhery dari jarak jauh.

Melalui kemudahan ini, segala maklumat yang dipantau menerusi Motiva akan disimpan dan diuruskan dalam satu sistem pangkalan data di hospital bagi memudahkan doktor mengikuti setiap perkembangan kesihatan Zulhery.

Sekiranya berat badan atau tekanan darah Zulhery meningkat di luar paras normal, sistem Motiva akan memberi peringatan dan nasihat penjagaan kesihatan secara langsung seperti pengambilan ubat-ubatan mahupun cadangan diet yang sesuai kepadanya.

Dari peringkat diagnosis hingga ke peringkat rawatan, Xcelera membolehkan penjaga kesihatan mendapatkan laporan kesihatan dan memberikan maklum balas serta-merta kepada pesakitnya.

Di satu ruang kediaman Zulhery, terdapat HeartStart Defibrillator yang berperanan sebagai alat bantuan kecemasan sekiranya dia mengalami sebarang komplikasi jantung yang serius.

Kelengkapan ini merupakan peralatan kompak yang digunakan untuk menganalisis ritma jantung pesakit dan mengesan sebarang abnormaliti.

Sekiranya perlu, HearStart akan menyampaikan kejutan elektrik kepada jantung pesakit bagi mengembalikan ritma jantung yang normal.

Penggunaan peralatan ini selamat, mudah dan senang dibawa ke mana-mana. Sesiapa sahaja dapat menggunakan HeartStart untuk membantu Zulhery sekiranya sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Melalui arahan suara yang jelas, pengguna akan menerima arahan langkah demi langkah untuk menguruskan bantuan kecemasan kepada Zulhery.

Penggunaan HeartStart nyata berkesan dan mudah digunakan apabila sebanyak 275,000 kemudahan ini disediakan di kebanyakan lokasi awam seluruh dunia sejak 1998.

Kini, tiba masanya bagi Zulhery ke hospital untuk menyambung semula bekalan dos ubat-ubatannya.

Kali ini, beliau dapat menggunakan teknologi NFC bagi memudahkan setiap kunjungannya ke hospital untuk berjumpa penjaga kesihatan serta mendapatkan rawatan susulan.

Melalui kad perubatan yang dipasang pada telefon bimbitnya, Zulhery dapat mengatur temu janji dengan menyentuhkan peranti tersebut pada alat pengesan yang ditempatkan di kaunter pendaftaran.

Bukan setakat itu sahaja, Zulhery akan dipandu sepanjang berada di hospital berkenaan melalui peta lokasi bilik temu janji yang dimuat turun di telefon bimbitnya sewaktu proses pendaftaran.

Selesai membuat pemeriksaan, doktor perubatan atau penjaga kesihatannya akan mengemaskini maklumat yang terkandung di dalam kad perubatan melalui aplikasi teknologi yang sama.

Dengan ini, maklumat ubat-ubatan yang diperlukan Zulhery disampaikan terus ke kaunter farmasi hospital berkenaan.

Tanpa perlu beratur panjang, Zulhery hanya perlu ke kaunter farmasi, menyentuhkan kad perubatannya pada peranti pengesan dan bekalan ubat yang diperlukan disediakan serta-merta oleh petugas farmasi.

Kemudahan demi kemudahan yang dialami Zulhery menjadi gambaran senario penjagaan kesihatan yang nyata pada masa depan.

- Senario dunia perubatan tanpa sempadan ini merupakan konsep penjagaan kesihatan hasil pembangunan teknologi Philips Applied Techonologies yang memfokuskan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.

Mobile Physician, Bedside Companion, Near Field Communication, Xcelera Cardiology Information Solutions, Motiva dan Heartstart Defibrillator seperti diterangkan di atas boleh dialami di Innohub, platform kehidupan seharian masa depan.

Sejak beberapa tahun yang lalu, Innohub yang terletak di Kompleks Philips di Toa Payoh, Singapura, diiktiraf sebagai teras kreativiti bagi pembangunan penjagaan kesihatan dengan membawa visi Philips ‘Sense & Simplicity’ dan ‘Healthcare Anywhere’ lebih dekat kepada pengguna.

Pembinaan Innohub merupakan sebahagian daripada pelaburan Philips di Singapura yang bernilai lebih RM300 juta bagi tujuan penyediaan simulasi kehidupan masa depan kepada pelanggan Philips di samping menjadikan konsep reka bentuk teknologi suatu realiti.

Utusan, 16 Julai 2006

TAMBAHAN
Utusan, 6 Ogos 2006, Komplikasi rawatan – Salah siapa?

Utusan, 6 Ogos 2006, Perubatan moden versus tradisionalUtusan, 19 Nov 2006, EpiPen autopenyuntik renjatan alahan
Utusan, 19 Nov 2006, Perubatan: Barat lawan alami
Utusan, 2 April 2006, Bank darah tali pusat bantu transplantasi
Utusan, 11 Feb 2007, Fahami rehabilitasi, pemulihan pesakit
Utusan, 18 Feb 2007, Xenotransplan: Pemindahan sel haiwan ke manusia

No comments: