Monday, December 11, 2006

KOLESTROL

Ubat kolesterol menyebabkan anda letih?

SETIAP tahun, Azmi menjalankan pemeriksaan keseluruhan badan di hospital. Tidak terkecuali juga pada tahun ini. Namun beliau terkejut apabila laporan menunjukkan profil lipidnya tidak memuaskan.

Menurut doktor, paras kolesterol dalam darah adalah tinggi dan beliau perlu mengambil ubat untuk menurunkan kolesterol ke paras normal.

Langkah ini penting untuk mencegah serangan sakit jantung atau angin ahmar. Memandangkan komplikasinya yang serius, beliau mematuhi nasihat doktor serta mengubah suai pemakanannya.

Selepas tiga bulan, walaupun paras kolesterol telah menurun, beliau selalu rasa letih, lenguh badan dan tidak bermaya.

Adakah anda atau ahli keluarga mengalami masalah yang sama seperti Azmi? Apakah punca masalah yang sebenar?

Bagi mereka yang mempunyai masalah tinggi kolesterol, doktor biasanya memberikan statin, iaitu sejenis ubat untuk menurunkan paras kolesterol dalam darah.

Ia berfungsi sebagai penghalang kepada enzim HMG-KoA (HMG-CoA, 3-hydroxy-3-methylglutaryl- coenzyme A reductase), iaitu sejenis enzim yang terlibat dalam proses penghasilan kolesterol.

Walaupun statin berkesan untuk menurunkan paras kolesterol, ia turut mengurangkan paras koenzim Q10 (CoQ-10) dalam tubuh. Ini kerana tubuh menghasilkan koenzim Q10 menerusi laluan penghasilan kolesterol.

Oleh itu, semasa statin menghalang penghasilan kolesterol, ia turut menghalang penghasilan koenzim Q10 dan seterusnya menyebabkan seseorang itu kekurangan koenzim Q10.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of Atherosclerosis Thrombosis melaporkan apabila atorvastatin iaitu sejenis ubat yang mengandungi statin diambil selama lapan minggu, paras koenzim Q10 dalam darah berkurang sebanyak 40 peratus.

Satu lagi kajian yang melibatkan 32 orang pesakit yang mengambil atorvastatin menunjukkan secara purata, koenzim Q10 dalam badan berkurang sebanyak 49 peratus.

Di Australia, kajian menunjukkan selepas enam bulan rawatan simvastatin (ubat yang mengandungi statin), paras koenzim Q10 menurun sebanyak 12 peratus manakala paras vitamin E menurun sebanyak 17 peratus.

Apakah koenzim Q10?

Koenzim Q10 adalah sebatian menyerupai vitamin yang wujud dalam setiap sel terutamanya dalam jantung, hati, buah pinggang dan pankreas.

Koenzim Q10 adalah komponen yang penting dalam beberapa aktiviti yang berkait dengan metabolisme tenaga.

Paras koenzim Q10 yang rendah menyebabkan seseorang itu mudah berasa penat, pening dan badan mengalami lenguh-lenguh atau sakit. Paras koenzim Q10 yang rendah menjejaskan keupayaan sel menghasilkan tenaga.

Kajian turut membuktikan kekurangan koenzim Q10 menjejaskan denyutan jantung dan menyebabkan keletihan. Secara langsung, kekurangan koenzim Q10 pada tisu jantung meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.

Kegagalan jantung kongestif (keadaan di mana jantung tidak berupaya membekalkan oksigen yang mencukupi) adalah berkait rapat dengan paras koenzim Q10 yang rendah dalam darah dan tisu.

Seiring dengan peningkatan usia, keupayaan tubuh menghasilkan koenzim Q10 akan menurun. Oleh itu, orang tua lebih cenderung mengalami masalah kekurangan koenzim Q10 yang berpunca daripada pengambilan statin.

Persatuan Koenzim Q10 Antarabangsa mencadangkan agar pesakit yang mengambil statin supaya mengambil koenzim Q10 dalam pemakanan harian mereka untuk mencegah komplikasi yang serius.

Pengambilan suplemen koenzim Q10 membantu merendahkan kolesterol, mengawal glukosa darah dan meningkatkan stamina dan ketahanan ahli sukan.

Antara makanan-makanan yang tinggi dengan koenzim Q10 termasuklah daging merah, daging ayam, ikan, kacang soya, kekacang dan minyak canola.

Buah-buahan, sayur-sayuran, telur dan bahan tenusu adalah makan yang mengandungi koenzim Q10 secara sederhana.

Walau bagaimanapun, proses memasak seperti menggoreng telah memusnahkan 14-32 peratus daripada kandungan koenzim Q10 dalam makanan.

Bagi mereka yang sihat, pengambilan 30mg koenzim Q10 setiap hari sudah memadai. Namun, amaun ini sukar dicapai melalui pemakanan harian sahaja. Contohnya, anda perlu mengambil kira-kira 5.5kg kacang tanah untuk memperoleh 30mg koenzim Q10!

Kebiasaannya, seorang individu hanya mengambil 5mg koenzim Q10 setiap hari. Oleh itu, pengambilan suplemen merupakan langkah terbaik untuk memperoleh kesan terapi.

Kajian menunjukkan formulasi koenzim Q10 yang mengandungi minyak kacang soya adalah lebih mudah diserap oleh badan.

Untuk maklumat lanjut tentang kesihatan, sila hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan BiO-LiFE di talian 03-77287407 (Isnin hingga Jumaat) atau e-mel kami di health@biolife.com.my

Utusan, 10 Dis 2006

No comments: