Tuesday, December 5, 2006

STROK

Sharon, Clark dan strok
Oleh Shafinaz Sheikh Maznan

DIA hanya terduduk kaku di atas kerusi, dengan sebelah tangan diletakkan di atas meja di hadapannya manakala sebelah lagi dibiarkannya melurut di atas paha.

Penampilannya buat kali pertama di kaca televisyen mengacarakan rancangan Menjelang Tahun Baru 2006 bersama Dick Clark selepas 13 bulan beliau

diserang angin ahmar itu bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan gangguan yang dialaminya.

Turut menemaninya adalah pengacara popular American Idols, Ryan Seacrest.

Tanpa banyak bergerak, perkataan keluar satu, satu dari mulut Clark sebagaimana masalah pertuturan yang dihadapi oleh kebanyakan mangsa strok lain.

Clark sedar, para penonton terutamanya pengkritik beliau tidak selesa dengan penampilannya itu yang mungkin pada mereka, sukar difahami, tidak sempurna dan penuh cacat cela.

Namun, sebahagian besar daripada penonton yang menyaksikan program tersebut, lebih-lebih lagi mangsa strok berasa teruja dan mengagumi kegigihannya itu.

Malah, mereka menganggap, Clark, 76, sebagai sumber inspirasi dan peniup semangat mengambil kira betapa sukarnya untuk seseorang yang mendapat serangan angin ahmar mengucapkan walau satu patah perkataan.

``Sungguh menakjubkan. Kerja kerasnya itu membuatkan kami berasa sungguh terharu. Dia mengajar kami tentang erti ketabahan.

``Sekurang-kurangnya, Clark membuatkan orang lain yang sihat dan normal tidak meminggirkan mangsa strok kerana menganggap kami tidak lagi berupaya,'' kata John Hudicka, 47.

Kepulangan Clark dan keberanian ABC itu ternyata berjaya meraih kira-kira 20 juta penonton seterusnya menaikkan rating syarikat penyiaran tersebut ke tangga nombor satu di Amerika Syarikat sepanjang minggu lalu.

Dan, hanya selepas beberapa hari Clark dinobatkan semula sebagai Raja Tahun Baru, menambahkan populariti strok adalah berita tentang Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon yang mendapat serangan kali kedua Rabu minggu lalu, hanya beberapa minggu selepas serangan pertamanya.

Sekalipun tangan dan kakinya menunjukkan tindak balas positif apabila mampu bergerak setelah dirangsang dengan sensasi kesakitan, keadaan Sharon sehingga Jumaat lalu diklasifikasikan oleh doktor-doktor yang merawatnya sebagai serius tetapi stabil.

Masing-masing Clark dan Sharon mengalami serangan angin ahmar yang berbeza, dengan punca-punca yang juga berbeza.

Bagaimana mungkin strok membawa maksud yang berlainan di antara satu sama lain? Kenapa strok yang berbeza mendatangkan akibat yang berbeza? Apa yang pasti, dengan memahami strok, mungkin dapat menyelamatkan nyawa anda.

Strok iskemik

Strok terjadi apabila otak terputus bekalan darah. Ini boleh terjadi dengan dua cara.

Lebih daripada 80 peratus strok berlaku apabila pembuluh darah/arteri di dalam otak atau leher terhalang oleh darah beku. Keadaan ini dipanggil strok iskemik.

``Strok yang paling lazim adalah iskemik yang berpunca daripada arteri tersumbat,'' kata Pengarah Perubatan Pusat Penjagaan Strok Komprehensif, Universiti New York, Keith A. Siller.

Adalah tidak jelas, apa jenis strok yang dideritai oleh Clark. Bagaimanapun, bukan satu rahsia lagi bahawa Clark turut menghidap diabetes.

Umum mengetahui, pesakit diabetes cenderung mengalami penyumbatan arteri atau dalam istilah perubatannya, aterosklerosis. Jadi, Siller yang juga penolong profesor psikiatri dan Neurologi di Sekolah Perubatan, universiti yang sama beranggapan, kemungkinan besar, Clark mengalami strok iskemik.

Pakar-pakar perubatan turut mengklasifikasikan strok iskemik dengan cara melihat dari mana punca darah beku terbentuk.

Sekiranya ia datang dari dalam arteri, terpendam di sana dan lama-kelamaan menghalang pengaliran darah di dalam arteri, ia dinamakan sebagai trombus. Bermakna, seseorang itu menderitai strok trombotik.

``Dalam kata lain, trombus atau bekuan darah terjadi pada permukaan plak aterosklerosis yang terbentuk pada dinding arteri.

``Trombus mampu membesar dan seterusnya menyekat laluan dalam arteri. Lebih separuh daripada mangsa strok iskemik terdiri daripada golongan ini (strok trombotik),'' katanya.

Menurutnya, mekanisme lain strok iskemik dinamakan sebagai embolus - terhasil daripada trombus yang pecah.

Embolus akan melalui saluran darah dan mampu menyekat arteri-arteri yang lebih kecil. Biasanya, embolus terhasil dari jantung di mana beberapa penyakit boleh menyebabkan pembentukan trombus.

Strok hemoragik

Strok juga boleh terjadi apabila arteri yang membekalkan darah ke otak pecah. Keadaan ini dinamakan sebagai strok hemoragik - satu lagi jenis strok utama dan inilah yang telah menyerang Sharon baru-baru ini.

Pendarahan yang berlaku di antara otak dan tengkorak dikenali sebagai pendarahan subaraknoid, biasanya disebabkan oleh aneurisme yang pecah, malformasi arteriovenous (AVM) dan juga kecederaan kepala.

Aneurisme merupakan satu keadaan di mana dinding arteri menjadi lemah, menyebabkan ia anjal dan bengkak seperti belon. Pada lazimnya, ia berlaku di cabang-cabang.

AVM pula adalah satu keabnormalan pada pembuluh darah di mana arteri bersambung terus dengan vena tanpa melalui jaringan kapilari terlebih dahulu.

Tekanan daripada darah yang melalui arteri menjadi terlalu tinggi untuk diterima oleh vena dan ini menyebabkan ia mengembang sehingga mampu mengakibatkan vena pecah dan berdarah.

Sementara itu, pendarahan di dalam tisu otak dikenali sebagai pendarahan intraserebrum dan ini berpunca daripada tekanan darah tinggi.

Hipertensi atau tekanan darah tinggi adalah peningkatan tekanan darah yang menyebabkan arteri-arteri lebih kecil di dalam otak pecah.

Darah yang terbebas di dalam tisu otak akan menekan arteriol-arteriol yang berhampiran menyebabkan ia pecah dan membawa kepada pendarahan lebih banyak.

Tekanan darah juga boleh menyebabkan infark kecil yang hampir menyerupai strok tetapi pada tahap yang lebih kecil.

Sejauh manakah teruknya strok?

Apa yang ketara, strok tidak pernah menjadi satu perkara baik. Sesetengahnya lebih teruk daripada yang lain.

Keterukannya bergantung kepada dua perkara; bahagian otak yang terlibat dan saiz kawasan otak terbabit.

``Perkara pertama yang membezakan tahap keseriusan kerosakan strok adalah bahagian otak di mana otak terbahagi kepada hemisfera kanan yang mengawal kiri badan dan hemisfera kiri, mengawal bahagian kanan badan.

``Bahagian kiri merupakan hemisfera yang lebih dominan berkaitan fungsi pertuturan. Antara perkara paling menakutkan tentang strok adalah hilang upaya untuk bertutur dan memahami percakapan orang lain,'' kata Siller.

Sebaliknya, apabila strok melibatkan hemisfera kanan, pesakit masih boleh meneruskan fungsi percakapan seperti biasa.

Masalah kognitif yang tidak ketara mungkin timbul tetapi biasanya pesakit strok yang membabitkan sebelah kanan ini mempunyai kadar pemulihan lebih baik.

Strok yang dialami oleh Sharon, kata Siller, mungkin melibatkan kawasan yang agak besar memandangkan ia memerlukan pembedahan yang memakan masa berjam-jam lamanya untuk mengeluarkan darah dari dalam otaknya.

Pakar-pakar tidak mengumumkan bahagian otak Sharon yang manakah telah terjejas.

Lubang dalam jantung Sharon

Bagaimanapun, berdasarkan penjelasan yang dibuat oleh doktor-doktornya, Sharon pada mulanya mengalami strok iskemik pada pertengahan Disember lalu.

Dalam pada mereka mencari-cari penyebab stroknya yang sederhana ketika itu, doktor menemui satu lubang kecil pada jantung beliau.

Teruk bunyinya tetapi Siller menjelaskan, satu dalam setiap empat orang menghadapi keadaan yang serupa.

``Secara semula jadinya memang terdapat lubang di dalam jantung seseorang ketika sedang membesar. Biasanya, ia tertutup semasa lahir.

``Ia dinamakan PFO (patent foramen ovale). Kira-kira 25 peratus penduduk dunia mempunyai PFO tanpa menunjukkan sebarang gejala,'' katanya.

Namun, sekiranya seseorang dengan PFO mendapat serangan angin ahmar, tanpa lain-lain risiko strok yang ketara, doktor selalunya akan membuat tanggapan bahawa lubang berkenaan membenarkan darah beku yang kecil melaluinya untuk menyertai peredaran darah dan mengakibatkan strok.

``Ia merupakan satu kawasan yang sangat kontroversi memandangkan tiada bukti kukuh bahawa keadaan ini benar-benar berlaku.

``Kita sememangnya mempunyai teknologi untuk menutup lubang ini tetapi kontroversi timbul sama ada untuk melakukannya ataupun tidak,'' ujar Siller lagi.

Sebaik sahaja PFO disyaki menyebabkan strok, doktor akan memberikan rawatan bagi menghalang pembentukan darah beku baru.

Ubat-ubatan yang digunakan seperti Coumadin meningkatkan risiko pesakit untuk mendapat strok hemoragik. Jadi, doktor ada ketikanya membuat keputusan untuk merawat lubang di dalam jantung bagi membolehkan pesakit menghentikan pengambilan ubat-ubatan berkenaan.

``Untuk menutup lubang berkenaan, doktor akan memasukkan katerer melalui sebelah kanan jantung. Penghujung katerer dilengkapi dengan payung seperti yang menjadi hiasan minuman koktel.

``Katerer akan masuk ke dalam lubang dengan sendirinya dan payung akan terbuka. Ia akan menutup lubang yang ada sejak lahir itu secara kekal,'' katanya.

Prosedur tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan yang dilakukan oleh doktor-doktor dalam merawat Sharon.

Rawatan terbaik strok

``Rawatan terbaik adalah mencegahnya daripada berlaku. Orang ramai perlu tahu tekanan darah dan tahap kolesterol mereka serta sama ada mereka cenderung mendapat diabetes.

``Sayang sekali kerana kebanyakan orang hanya mengetahui tentang risiko-risiko ini hanya selepas mendapat serangan angin ahmar atau jantung,'' kata Siller.

Rawatan yang diberikan oleh para doktor untuk mencegah strok, katanya, adalah jauh lebih berkesan berbanding rawatan selepas seseorang itu mendapat serangan.

``Amalan bersenam dan aktif secara fizikal lebih efektif mencegah strok daripada ubat-ubatan blood thinner atau memperbaiki lubang di dalam jantung,'' tegas beliau.

Siller menyarankan, barang siapa yang mempunyai kebimbangan diserang strok perlu berjumpa doktor, membuat penilaian risiko-risiko strok dan melakukan perubahan gaya hidup yang diperlukan.

Bagaimanapun, sekiranya ada tanda-tanda berikut, dapatkan bantuan segera bagi membolehkan rawatan awal dimulakan dan peluang pemulihan yang cerah.

- Terasa lemah, kebas atau lumpuh di bahagian muka, tangan atau sebahagian badan
- Terasa gelap atau hilang penglihatan terutama sebelah mata, atau kedua-duanya sekali
- Tidak dapat bercakap atau menghadapi masalah bertutur atau sukar memahami percakapan orang lain
- Sakit kepala mendadak tanpa sebab jelas
- Pening kepala, tidak dapat mengimbangkan badan dan terasa terumbang-ambing.
http://www.utusan.com.my, 15 Januari 2006

No comments: