Tuesday, December 5, 2006

ANAK GENIUS

Mengurus anak genius

KECERDASAN anak pintar luar biasa Adi Putra Abd. Ghani dalam subjek Matematik menarik perhatian dan mengagumkan khalayak banyak.

Biarpun berusia sekitar tujuh tahun, Adi Putra mampu mencetuskan formula-formula baru dalam matematik, sehebat para pensyarah universiti.

Adi Putra mungkin merupakan segelintir anak genius, dengan tahap ukuran kecerdasan IQ (Intelligence Quotient) melebihi 140 sedangkan bagi orang biasa, IQ berada sekitar 85 hingga 130.

Prestasi murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Matang Buluh, Kuala Kurau Baru, Kuala Kurau, Perak kini dipantau setiap dua minggu sekali.

Terkini, laporan prestasinya akan dihantar kepada Kementerian Pelajaran, seperti yang ditegaskan oleh Pengarah Pelajaran Perak, Ir. Zakaria Mohd. Noor, baru-baru ini.

“Buat masa ini Adi Putra perlu mengikuti kurikulum biasa dalam pendidikan dan jika dia benar-benar berkebolehan, kita akan mencari jalan lain supaya pendekatan dipercepatkan,” ujar Zakaria.

Kepintaran Adi Putra menimbulkan rasa terpanggil segmen Kesihatan untuk mengenali lebih dekat anak-anak genius dari sudut psikiatri kanak-kanak.

IQ dan EQ

Pensyarah dan Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Jabatan Perubatan Psikologikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr. Subash Kumar Pillai berkata, anak-anak genius merupakan satu anugerah kepada seseorang dan keluarganya.

Lazimnya anak-anak pintar cemerlang ini mempunyai IQ sekitar 140. Sebagai langkah awal, anak itu perlu menjalani ujian IQ bagi mengenal pasti kemampuannya.

“Ujian IQ yang diguna pakai hari ini berdasarkan kaedah yang dipelopori oleh Amerika Syarikat. Bila sudah diketahui dan dikenal pasti, barulah dapat dibuat kesimpulan.

“Dalam kes Adi Putra, dia sememangnya anak gifted yang perlu diurus sempurna agar kecerdasan dan kepintarannya digilap cemerlang,” ujarnya.

Namun, pada waktu yang sama biarlah dia melalui fasa-fasa tumbesaran seorang kanak-kanak seperti bermain, berkawan dan sebagainya.

Andainya ini dapat dilakukan, Adi Putra mampu menjadi aset negara dalam bidang-bidang yang diceburinya.

Membesarkan anak genius

Menurut Dr. Subash, secara umumnya, tidak ramai anak genius di dunia ini. Begitu kecil bilangannya. Ibu bapa perlu berperanan proaktif, menyedari kehendak dan keperluan anak genius.

“Mereka perlu dilayan seperti kanak-kanak lain di samping memupuk kasih sayang yang bukannya sedikit.

“Di samping itu, kepintarannya terus dipupuk dan bukannya seolah-olah memaksa belajar bermacam-macam perkara. Walau pandai macam mana sekalipun, berikan dia merasai dan melalui alam kanak-kanak seperti kanak-kanak lain,” ujar Dr. Subash lagi.

Jika semuanya berjalan lancar dan tumbesarannya sempurna, negara mampu mempunyai seorang genius dalam bidang-bidang tertentu serta mengharumkan negara.

Apabila ditanya lebih lanjut mengenai cabaran ibu bapa anak genius ini, Dr. Subash memberitahu, peranan ibu bapa kepada kanak-kanak genius era milenium ini lebih mencabar apatah lagi di waktu negara menghampiri taraf negara maju.

“Kita pernah dengar bagaimana anak-anak genius apabila tidak mendapat bimbingan sempurna atau terabai, ia memberi kesan negatif pada dirinya.

“Berjumpalah dengan pakar untuk khidmat nasihat sekiranya mempunyai anak-

anak genius.”

Apa yang penting, biarlah kanak-kanak IQ itu juga memiliki nilai-nilai EQ (Emotional Quotient) yang baik supaya mereka dapat melalui kehidupan kanak-kanak biasa, mempunyai perasaan dan membesar menjadi dewasa pintar dan mesra.

Gaya hidup hari ini juga, katanya, kadang-kadang menjejaskan alam kanak-kanak khususnya di bandar raya-bandar raya besar di dunia, Kuala Lumpur tidak terkecuali.

Ibu bapa yang sibuk tidak mempunyai waktu yang cukup untuk mendidik dan membimbing anak-

anak mereka, apalagi untuk bersama anak-anak di kala mereka membaca buku dan beriadah.

“Semuanya diserahkan kepada pembantu atau petugas-petugas di pusat asuhan untuk menjaga, mengajar dan mendidik anak-anak.

“Lebih berat lagi, terdapat ibu bapa yang obses dengan pencapaian akademik tanpa mengambil kira hati dan perasaan kanak-kanak,” ujar Dr. Subash lagi.

Katanya, sesetengah kes yang dirujuk bagi rawatan psikiatri yang dikendalikannya melibatkan kanak-kanak cerdik tetapi sayangnya masih belum dapat memuaskan hati kedua-dua ibu bapa mereka.

“Sebagai contoh, seorang kanak-kanak mendapat markah 85 peratus ke atas dalam subjek-subjek peperiksaan tetapi mendapat nombor 15 atau 20 di dalam darjahnya.

“Namun ada ibu bapa masih belum berpuas hati. Mereka mahukan anak-anak mendapat nombor satu hingga tiga sahaja. Sepatutnya, mereka perlu melihat pencapaian markah kanak-kanak itu,” ujar beliau.

Tambahnya, ada ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pencapaian anak mereka sehingga anak menjadi mangsa, apabila terus terlampau memaksa anak menjadi cemerlang.

Tekanan

Dr. Subash memberitahu, terdapat satu kes di mana seorang budak sekolah rendah menghadapi tekanan perasaan selepas dia sentiasa didesak menjadi pandai bagi mewarisi perniagaan bapanya.

“Bukan semua boleh menerima tekanan apalagi kanak-kanak. Budak itu baru berusia tujuh tahun tetapi sudah diberikan tanggungjawab yang berat.

“Ibu bapa mempunyai niat yang baik tetapi caranya kurang tepat, bukan semua boleh menerima tekanan,” ulangnya lagi.

Menurutnya, adalah sesuatu yang malang andainya anak-anak mengalami kemurungan sehingga menjejaskan perasaan mereka.

Di sesetengah negara maju, anak-anak mencederakan diri atau melakukan sesuatu yang memudaratkan kerana tidak dapat memenuhi kehendak ibu bapa mereka. Kadangkala, ada yang menemui ajal selepas tidak mendapat markah yang tinggi.

Biar mereka membesar seperti biasa. Mereka boleh bermain, membaca dan menonton televisyen seperti kanak-kanak dahulu.

Mereka boleh bermain teng-teng, galah panjang atau polis sentri atau apa sahaja permainan yang positif yang juga menyegarkan badan dan minda.


Rawatan klinikal

Beliau berkata, anak-anak yang mengalami kemurungan kemungkinan besar menjadi remaja mahupun dewasa yang pasif. Mereka berasa rendah diri dan sukar bergaul dengan orang lain.

Gejala-gejala kemurungan bagi remaja pula termenung, tidak bercampur dengan ahli keluarga, sukar tidur, cepat marah, mengurung diri di dalam bilik dan lain-lain.

Bagi kanak-kanak pula, mereka selalu mengadu sakit perut, sakit kepala dan takut.

“Saya mengesyorkan agar ibu bapa tidak memberi tekanan melampau kepada anak-anak mereka. Tindakan sederhana adalah jalan yang baik dan mampu menjana anak-anak menjadi insan cerdik dan EQnya baik,” jelas Dr. Subash serius.


Nurseri dan tadika

Menyentuh berkaitan waktu sesuai bagi kanak-kanak ke tadika, Dr. Subash berpendapat, masa paling sesuai adalah antara lima hingga enam tahun.

Bagaimanapun, tidak salah bagi ibu bapa menghantar anak-anak ke tadika seawal empat tahun.

Namun, jika mereka dihantar lebih awal daripada itu, barangkali ia boleh memberi kesan lain iaitu anak menjadi cepat bosan semasa berada di sekolah rendah.

“Ada kalanya anak-anak turut sibuk seperti ibu bapa mereka dengan persekolahan, waktu tuisyen, kelas muzik, kelas komputer, berenang dan sebagainya,” jelasnya.

Pada waktu yang sama, mereka juga perlu cemerlang dalam akademik dan memenuhi kehendak ibu bapa walaupun mempunyai cita-cita sendiri.

Justeru, ibu bapa perlu meluangkan masa berkualiti untuk anak-anak mereka biarpun sibuk dengan tugas dan rutin seharian, tegas Dr. Subash mengakhiri perbualan.

http://www.utusan.com.my, 8 Januari 2006

TAMBAHAN
http://www.utusan.com.my, Memahami Kanak-kanak Pintar, 19 Mac 2006
http://www.utusan.com.my, Kelebihan Anak Pintar, 8 Januari 2006

No comments: