Tuesday, December 5, 2006

KELAHIRAN

Bila lelaki ‘bersalin’
Oleh: TAJAIYAH IHSAN

SESUATU yang paling menggembirakan pasangan suami isteri khususnya suami apabila diberitahu mereka bakal menimang cahaya mata.

Seronoknya bukan kepalang, bagaikan tidak sabar-sabar mendengar tangisan dan rengekan si comel.

Menceriakan isteri andai si suami terus bersamanya dari awal mengandung hinggalah saat kelahiran dan bersedia untuk melakukan apa saja bila tiba saat kelahiran itu.

Mereka nampak begitu bersemangat bersama isteri masing-masing mengikuti ceramah yang diberikan. Sekali-sekala terdengar juga deraian ketawa memecah suasana senyap pada bengkel istimewa untuk wanita hamil dan suami.

Pada bengkel ‘Pendidikan Kesihatan Ibu Mengandung’, anjuran Jawatankuasa Laktasi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) itu, ketawa berderai lebih ketara apabila rakan mereka dipanggil menjadi model ibu yang bakal bersalin normal di bengkel tersebut.

Timbalan Pengarah (Ikhtisas) PPUM, yang juga Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan merangkap pengerusi jawatankuasa tersebut, pada pagi itu menjemput seorang peserta untuk menerangkan bagaimana keadaannya bila isteri bersalin normal, melalui pembedahan Caesarean dan bagaimana suami boleh membantu dalam suasana genting itu.

Peserta tersebut yang merupakan pakar psikologi, Alexius Cheang Weng Onn yang begitu sporting orangnya berbaring dan bersedia mendengar arahan Dr. Jamiyah.

Beliau turut belajar senaman pernafasan seperti menarik nafas dan menghembus nafas serta meneran seperti yang dilakukan wanita ketika bersalin.

“Oh..., payah juga untuk berbuat begitu dan yang jelas bukan senang menjadi ibu. Ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya ketika ditemui selepas bengkel tersebut.

Apa pun, kebanyakan suami dan isteri yang hadir pada kelas itu cukup aktif bertanya soalan demi soalan dalam setiap sesi yang diadakan.

Selain Dr. Jamiyah yang menyentuh mengenai proses mengandung dan kelahiran, turut memberi ceramah pada hari itu ialah Jururawat Laktasi, Rohaya Abd. Hamid yang membentangkan ceramah Penyusuan Ibu sementara Jururawat Laktasi, Norazah Zainal bercakap mengenai Penjagaan Ibu dan Bayi.

Pada bengkel tersebut, Dr. Jamiyah menjelaskan secara terperinci mengenai proses kelahiran dan perihal sakit bersalin atau labour.

Kata Dr. Jamiyah, bengkel ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada isteri dan juga suami mengenai situasi yang akan berlaku apabila isteri mahu bersalin.

Tambahnya, segala pengetahuan yang ada akan mengelakkan seseorang itu daripada menjadi panik.

“Kita tidak mahu ada suami yang pengsan bila isteri meneran untuk bersalin,” ujarnya yang disambut dengan gelak ketawa yang menggegarkan bengkel tersebut.

Beliau berkata, dalam keadaan isteri bersalin, suami juga perlu bersedia untuk apa juga kemungkinan. Pastinya, kehadiran suami merupakan satu sokongan semangat buat isteri.

“Doktor hanya memudahkan proses kelahiran, kerana kelahiran itu sendiri berlaku secara semula jadi dan jika ada apa-apa masalah berkaitan, pihak perubatan sudah bersedia,” katanya lagi.

Pemeriksaan

Ujarnya, isteri mahupun suami tidak perlu bimbang, kerana semua adalah terkawal apalagi jika mereka melakukan pemeriksaan secara berkala seperti yang disyorkan doktor.

Cuma ada sesetengah kes, timbul pula salah faham apabila ibu meminta dipercepatkan kelahiran selepas melalui labour yang agak panjang.

“Apabila keadaan ini berlaku, pihak doktor atau jururawat akan melihat dulu keadaan ibu sama ada boleh dipercepatkan kelahiran atau sebaliknya.

“Jika rahim dan pintu rahim belum bersedia untuk bersalin, maka ia tidak boleh dipercepatkan kerana ia boleh menyebabkan rahim koyak dan menjejaskan keselamatan ibu dan anak,” kata Dr. Jamiyah lagi.

Begitu juga halnya kalau pesakit memilih untuk mendapatkan rawatan epidural bagi mengurangkan sakit bersalin, semuanya perlu dimaklumkan lebih awal kepada pihak doktor.

Tidak terkecuali, kalau ada yang memilih pembedahan Caesarean sebagai opsyen untuk bersalin kerana tidak mahu bersalin normal.

“Bagaimanapun dalam sesetengah kes, kelahiran secara Caesarean perlu apabila terjadinya komplikasi termasuk tulang pinggul kecil, pintu rahim tidak terbuka atau sakit bersalin yang terlalu lama,” katanya.

Bagi setiap pembedahan yang dilakukan, jelasnya, semua pakar yang berkaitan seperti bius, pakar kanak-kanak dan pakar perunding sakit puan, berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk membantu sekiranya timbul masalah.

“Lantas ibu- ibu tidak perlu bimbang manakala pihak bapa tidak perlu panik kerana proses kelahiran adalah sesuatu yang lumrah, kalau tidak masakan ramai manusia di muka bumi ini,” ujar Dr. Jamiyah tersenyum.

Selepas memperkatakan mengenai kelahiran, para peserta turut didedahkan dengan kepentingan penyusuan ibu dan penjagaan bayi semasa dalam pantang.

Beliau kemudiannya mengingatkan ibu-ibu supaya tidak memakai barang kemas, menghilangkan pengilat kuku (jika mengilat kuku) di jari bila datang ke hospital.

Ini kerana, barang-barang kemas boleh merangsang aliran elektrik semasa melakukan sesuatu pembedahan. Bahan pengilat kuku pula boleh menghalang doktor untuk memeriksa perjalanan darah di bawah kawasan kuku di hujung jari.

Dr. Jamiyah memberitahu, semasa mengalami sakit bersalin, pesakit tidak akan diberikan sebarang makanan kerana ia boleh menyebabkan kemudaratan sekiranya pesakit mengalami masalah dan perlukan pembedahan. Penghadaman makanan sewaktu proses bersalin adalah lambat.

“Jika didapati ibu tidak boleh melahirkan dengan normal, maka ia perlu dibedah untuk menyelamatkan ibu dan anak.

“Sekiranya makanan diberikan dan tempohnya kurang daripada enam jam, maka dikhuatiri jika berlaku komplikasi sewaktu proses bius (intubation) makanan itu akan mengalir ke paru-paru (aspiration) dan ini bukan sahaja membahayakan ibu, tetapi juga anak.

“Sayangnya ada yang tidak faham dan menganggap kami sengaja tidak mahu memberi makan,” ujar Dr. Jamiyah lagi.

Mesra suami

Apa yang penting dan perlu diketahui adalah selepas proses bersalin selesai, penyusuan ibu perlu dimulakan segera demi kebaikan bayi.

Suami atau keluarga juga perlu memberi galakan kepada ibu agar dia berasa cukup selesa menyusukan bayinya.

Menurut Dr. Jamiyah, pihaknya berasa gembira setiap kali bengkel diadakan kerana sambutan daripada suami isteri begitu menggalakkan.

“Kami ingin mewujudkan suasana ‘mesra suami’ yang akan menguntungkan suami, ibu dan anak.

“Kehadiran suami bukan sahaja memberi semangat malah dapat meringankan kesakitan yang dialami isteri,” kata beliau.

Dr. Jamiyah turut menarik perhatian, jika semuanya berjalan lancar, wad bersalin dan pediatrik PPUM akan menjalani proses pengubahsuaian.

Kerja-kerja pengubahsuaian di bangunan asal akan dijalankan pada pertengahan tahun dan bangunan baru kompleks obstetrik dan pediatrik akan dimulakan pada masa yang sama.

Bangunan obstetrik mempunyai sembilan tingkat termasuk tingkat bawah tanah. Buat masa ini, kapasiti PPUM boleh menampung lebih kurang 900 katil. Apabila kerja-kerja pengubahsuaian dan pembesaran kapasiti PPUM bertambah, ia boleh menampung lebih kurang 1,200 katil.

Jika tiada aral, projek tersebut dijangka siap penghujung tahun depan. Apabila semuanya siap kelak, lebih banyak program yang boleh diadakan untuk kepentingan ibu dan anak, ujar beliau.

http://www.utusan.com.my, 19 Mac 2006

TAMBAHAN
1)Utusan: Episiotomi bantu kelahiran sukar, 16 April 2006

No comments: