Tuesday, December 5, 2006

SOPAK

Sopak boleh dirawat

Doktor, biarlah saya perkenalkan diri sebagai Am sahaja. Saya bakal mencecah usia 20-an tidak lama lagi. Saya mulai menderita penyakit sopak sejak kanak-kanak lagi namun ia tidak begitu ketara. Semakin saya meningkat dewasa, tompok hitam putih di badan saya bertambah kelihatan.

Keluarga saya tidak memahami tekanan yang saya alami apabila terpaksa berdepan dengan pandangan orang ramai. Ibu saya tidak membenarkan saya berjumpa dengan tetamu yang berkunjung ke rumah. Ada ketikanya, ibu sampai hati menyuruh saya berkurung di dalam bilik apabila ada saudara-mara yang bertandang.

Sebelum ini, ibu ada membawa saya berubat dengan seorang dukun. Mereka kata, saya terkena buatan orang kerana tiada adik-beradik atau keturunan ibu mahupun sebelah bapa saya yang mempunyai penyakit sopak.

Saya ada melayari internet dan membuat sedikit penyelidikan tentang perkara ini. Apa yang saya tahu, istilah perubatan bagi penyakit ini dikenali sebagai vitiligo. Saya harap, melalui ruangan ini, doktor dapat menerangkan kepada saya secara menyeluruh mengenai penyakit ini. Paling penting, adakah ia boleh dirawat? Saya dahului dengan ucapan setinggi terima kasih. - AM

Bagaimanakah penyakit sopak boleh terjadi dan adakah cara untuk mengubatinya?

Penyakit sopak atau vitiligo merupakan masalah pigmentasi di mana sel-sel yang menghasilkan pigmen (yang dipanggil melanosit) di kulit, membran mukosa (tisu-tisu yang meliputi bahagian dalam mulut atau hidung atau di kawasan-kawasan genital dan rektal) dan retina (lapisan dalam mata), dimusnahkan.

Ini menghasilkan tompok-tompok putih di beberapa tempat di badan. Rerambut yang tumbuh di kawasan terbabit turut menjadi putih.

Punca penyakit vitiligo ini tidak diketahui tetapi para doktor serta para penyelidik mempunyai beberapa teori tersendiri. Antaranya:

- Penghasilan antibodi yang menyerang melanosit di badan pesakit sendiri
- Kemusnahan melanosit dengan tersendiri
- Ada kajian yang menunjukkan, sesetengah kejadian seperti sunburn atau tekanan emosi boleh menyebabkan timbulnya penyakit vitiligo.

Epidemiologi

- Anggaran satu hingga dua peratus penduduk dunia (40 hingga 50 juta orang) menghidapi vitiligo

lSebanyak 95 peratus pesakit menghidapi vitiligo sebelum mencecah usia 40 tahun

lVitiligo menyerang individu tanpa mengira kaum atau jantina

lIndividu yang menghidapi penyakit autoimun (penyakit di mana sistem daya ketahanan seseorang individu bertindak ke atas tisu dan organnya sendiri) lebih berkecenderungan untuk mendapat masalah ini

Contoh penyakit autoimun adalah seperti hipertiroidism (kelenjar tiroid yang terlalu aktif) dan anemia pernicious (kekurangan sel darah merah disebabkan oleh kegagalan penyerapan vitamin B12).

- Vitiligo juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan walaupun ia tidak dapat dibuktikan.

Apakah tanda-tanda vitiligo?

Orang yang menghidapi vitiligo akan mula-mula menyedari kehadiran tompoktompok putih pada kulit.

Tompok-tompok ini selalunya berlaku di kawasan-kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari seperti pada bahagian tangan, kaki, lengan, muka dan bibir. Ia juga boleh terjadi di ketiak, sekeliling mulut, mata, lubang hidung serta organ seks.

Tiada siapa pun boleh meramalkan sama ada vitiligo seseorang itu akan merebak atau sebaliknya.

Penyakit ini selalunya bersifat progresif di mana tompok-tompok putih ini boleh merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain setelah beberapa lama. Ada kalanya kadar merebak ini laju tetapi ada kalanya perlahan.

Bagaimanakah caranya untuk merawat vitiligo?

Matlamat utama rawatan adalah untuk mengembalikan fungsi kulit serta memperbaiki rupa seseorang individu itu. Rawatannya selalu mengambil masa yang lama, di antara enam hingga 18 bulan (sesetengah kes mungkin lebih lama) dan mungkin melibatkan rawatan perubatan, pembedahan atau terapi tambahan

Rawatan medikal

- Terapi sapuan steroid: Berguna jika steroid ini digunakan pada peringkat awal. Steroid ini selalunya disapu pada tompok-tompok putih selama tiga bulan sebelum dapat dilihat keberkesanannya

- Fotokemoterapi psoralen (Psoralen serta penggunaan ultraviolet A): Terapi ini antara yang berkesan tetapi memakan masa serta mempunyai kesan sampingannya.

Psoralen merupakan bahan kimia yang akan bertindak balas dengan lampu ultraviolet untuk menyebabkan penghitaman kulit. ia didatangkan dalam bentuk sapuan atau oral.

i) Fotokemoterapi psoralen sapuan: Digunakan untuk individu di mana depigmentasi adalah kurang dari 20 peratus tubuh badan.

ii) Fotokemoterapi psoralen oral (makan): Digunakan untuk individu di mana depigmentasi adalah lebih dari 20 peratus anggota badan

- Depigmentasi: Terapi ini melibatkan pemutihan bahagian badan yang normal supaya dapat menyamai kawasan tompoktompok putih.

Selalunya digunakan untuk individu yang mempunyai vitiligo di lebih 50 peratus anggota badan. Bahan kimia seperti monobenzylether digunakan bagi tujuan ini.

Rawatan pembedahan

Masih di peringkat kajian tetapi mungkin melibatkan:

- Graf kulit secara autologous: Proses ini melibatkan pemindahan kulit daripada bahagian anggota seseorang individu yang pigmentasinya normal kepada badannya sendiri yang mempunyai tompok-tompok putih

- Graf kulit menggunakan blister: Bahagian atas blister yang dihasilkan di bahagian badan individu yang normal dipindahkan kepada bahagian depigmentasi individu yang sama

- Pigmentasimikro: Pigmen diimplan atau ditanam ke dalam kawasan kulit menggunakan alat pembedahan khas

- Pemindahan melanosit secara autologous: Masih di peringkat eksperimen dan melibatkan proses pertumbuhan melanosit di makmal dan memindahkan melanosit yang telah berganda ini ke bahagian badan yang tiada pigmen.

Rawatan tambahan (adjunktif)

- Penggunaan pelindung matahari (sunblock)

- Kosmetik

- Kaunseling: Membantu seseorang individu untuk menempuhi penyakit ini melalui sokongan moral serta kaunseling.

Apakah kajian yang sedang dilakukan untuk penghidap vitiligo?

Para doktor dan saintis sedang mengkaji vitiligo ini dengan meluas dan antaranya melibatkan kajian tentang pemindahan melanosit secara autologous serta mengenal pasti gen yang menyebabkan berlakunya penyakit ini.

Soalan dijawab oleh Pakar Runding Perubatan, Dr. Zulkarnain A. Hamidy.

http://www.utusan.com.my, 12 Mac 2006

1 comment:

Unknown said...

Ubat untuk memulihkan sopak. Layari www.luqmanherbs.com.