Tuesday, December 5, 2006

SCAN

HeartScan ramal sakit jantung
Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

BERSENAM, makan secara sihat, mengekalkan berat badan unggul, tidak merokok dan mengawal paras glukosa, kolesterol serta tekanan darah - semua orang tahu ia sebahagian amalan gaya hidup sihat yang mampu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Namun, tidak bererti anda kebal daripada mendapat serangannya. Katakanlah, anda mempunyai sejarah keluarga yang pernah diserang pembunuh nombor satu ini. Sekalipun anda aktif dan cergas, anda masih berisiko tinggi menjadi calon pesakit jantung.

Kita sering mengaitkan gejala-gejala seperti sakit dada dan sesak nafas dengan penyakit jantung. Jika jantung mengalami apa-apa kesukaran, itu bermakna ada masalah jantung.

Pun begitu, boleh dikatakan satu per tiga hingga separuh kematian yang berpunca daripada penyakit jantung koronari tidak menunjukkan tanda-tanda amaran.

Pendek kata, simptom awal dan akhir penyakit jantung selalunya adalah - kematian mengejut! Jadi, soalan yang boleh ditanyakan, siapa selepas ini? Mungkinkah anda?

Oleh kerana itulah, rata-rata imbasan bagi penyakit jantung kini disasarkan untuk mengenal pasti individu yang tergolong dalam profil `sihat' dan tidak berisiko tinggi.

Salah satu darinya menggunakan pancaran elektron tomografi berkomputer (EBCT) atau HeartScan yang mendapat julukan mamogram jantung kerana keupayaannya mengesan penyakit jantung pada peringkat awal lagi.

Pakar Runding Kardiologi, HeartScan Malaysia, Bangsar, Kuala Lumpur, Dr. Beh Chor Khim berkata, EBCT mengimbas arteri/pembuluh darah koronari yang bertugas mengangkut darah dan oksigen ke otot jantung.

``EBCT mengimbas dan mengukur kalsium dalam arteri koronari yang menjadi penanda aterosklerosis iaitu pengumpulan plak kolesterol dalam arteri.

``Semakin besar bacaan skor kalsium seseorang, semakin tinggi potensi untuk mendapat serangan jantung mahupun memerlukan pembedahan pada masa depan,'' katanya.

Aterosklerosis bermula pada awal usia 20-an malah semasa remaja lagi. Menjelang umur 40 tahun, sebanyak 90 peratus individu akan mempunyai aterosklerosis di dalam pembuluh darah jantung mereka, walau sedikit.

Apabila pembuluh darah koronari semakin sempit akibat penyumbatan plak, lama-kelamaan ia boleh menghalang pengaliran darah, akhirnya, serangan jantung.

Sakit dada merupakan salah satu daripada gejala aterosklerosis. Bersama peredaran masa, plak berkenaan mula membentuk kalsium, iaitu sejenis mineral yang dapat `dilihat' oleh EBCT.

Kata Dr. Beh, skor kalsium yang tinggi menerusi imbasan EBCT merupakan faktor risiko kepada serangan jantung.

Sementara itu, skor kalsium rendah tidak bermakna tiadanya risiko aterosklerosis kerana EBCT tidak mengesan plak lembut yang boleh menyebabkan penyakit jantung.

``Skor kalsium positif mungkin bermanfaat dalam menentukan sama ada seseorang pesakit yang kelihatannya mempunyai risiko pertengahan sebenarnya berisiko tinggi.

``Skor-skor yang diperoleh itu seterusnya akan digunakan bersama-sama faktor lain untuk menentukan apa bentuk rawatan atau perubahan gaya hidup yang diperlukan oleh seseorang individu itu,'' ujar Dr. Beh.

Adalah dipercayai bahawa rawatan yang diberikan mempunyai peluang yang baik untuk membalikkan proses pembentukan plak berlemak. Sebaliknya jika tidak dirawat, jumlah plak akan berganda setiap 2.5 tahun.

Tambahnya, jika seseorang mempunyai kolesterol sederhana, EBCT membantu mereka membuat keputusan bersama-sama doktor sama ada mahu memulakan pengambilan ubat-ubatan merendahkan tahap kolesterol.

``Jika tiada kalsium dalam arteri, kemungkinan besar mereka tidak memerlukan apa-apa rawatan. Tetapi, sekiranya terdapat mendapan kalsium yang terkumpul, doktor mungkin memberikan mereka rawatan yang agresif.

``Objektif utamanya adalah untuk memastikan risiko serangan jantung dapat dikurangkan ke tahap minimum dan penyakit tidak mencapai peringkat akhir,'' katanya.

EBCT berupaya mengesan penyakit jantung pada peringkat awal hatta sebelum gejala-gejalanya muncul mahupun sebelum ujian stres, (satu cara lain menilai jantung) menunjukkan ketidaknormalan.

Ia berkesan terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai apa-apa gejala tetapi mempunyai satu atau lebih daripada faktor-faktor risiko kardiak/jantung berikut:

- Umur, (lelaki di atas 40 tahun, perempuan bawah 45 tahun)
- Perokok
- Kolesterol tinggi
- Gaya hidup tidak aktif
- Sejarah keluarga yang menghidap penyakit jantung
- Tekanan darah tinggi
- Berat badan berlebihan
- Diabetes.

Semakin banyak faktor risiko penyakit jantung yang dihadapi seseorang, semakin penting keperluan untuk melakukan prosedur ini.

Mengulas lanjut, kata Dr. Beh, kebanyakan ujian kardiologi lain seperti ujian stres ECG atau talium stres atau ekokardiogram stres mengesan keabnormalan fungsi jantung dan bukannya meramal serangan jantung.

Sebaliknya, EBCT melihat secara terus ke dalam arteri koronari dan mengukur plak serta mengesan penyakit jantung pada peringkat awal.

Bagaimanapun, Dr. Beh tidak menolak kepentingan ujian stres dalam menentukan sama ada seseorang pesakit itu menghadapi iskemia disebabkan penyakit arteri koronari terhalang yang teruk, yang memerlukan pembedahan pintasan dan angioplasti segera.

``Biasanya, mereka yang menjalani imbasan ini ingin tahu keadaan jantung mereka dan memantau perkembangannya.

``Jika anda menjalani pembedahan pintasan atau angioplasti, EBCT juga merupakan cara yang baik untuk memeriksa tahap kesihatan selepas beberapa tahun,'' jelasnya.

EBCT tidak menggunakan suntikan bahan kimia atau apa-apa pembedahan. Bahkan, prosedurnya selesai dalam tempoh lebih kurang lima minit sahaja.

Pesakit hanyalah berbaring di atas meja tanpa perlu menukar baju dan menahan nafas selama beberapa saat.

Pengimbas EBCT akan mengambil gambar jantung dengan pantas dan berturut-turut ketika organ berkenaan sedang mengepam.

Selepas maklumat diproses, doktor akan menganalisis keputusan skor bersama anda berdasarkan imej jantung tiga dimensi dan data-data pada komputer.

Dengan hanya melakukan sedikit perubahan hidup, anda akan mendapat banyak faedah

- Senaman secara berkala
Dengan berjalan laju selama 30 minit sehari boleh membantu memiliki jantung yang sihat. Lain-lain aktiviti adalah berjoging, berenang, berbasikal dan bersukan. Berkebun dan melakukan kerja-kerja rumah.

- Makan secara sihat
Amalkan pengambilan makanan yang rendah lemak dan kolesterol.

- Berhenti merokok
Boleh mencegah penyakit jantung dan juga mengurangkan risiko menderita kanser paru-paru.

- Elakkan tekanan perasaan
Senyum selalu dan tenangkan fikiran anda.

- Periksa tekanan darah
Jika anda menghidap penyakit darah tinggi, dapatkan nasihat dan rawatan doktor dengan segera.

- Periksa paras glukosa darah
Jika anda menghidap diabetes dan tidak mengawalnya dengan baik, anda mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap sakit jantung.

- Awasi paras kolesterol darah
Bersenam dan amalan makan secara sihat boleh mengembalikan kolesterol ke paras normal.

- Pemeriksaan kesihatan
Lakukan pemeriksaan sekali setahun.

http://www.utusan.com.my, 15 Januari 2006

TAMBAHAN
Utusan, 11 Jun 2006, PET CT diagnos penyakit dengan tepat
Utusan, 3 Sept 2006, Ultrasound kesan kecacatan bayi
Utusan, 19 Nov 2006, MRI otak dan skaning ultrasound
Utusan, 26 Nov 2006, D&C kesan punca pendarahan rahim

1 comment:

Unknown said...

The King Casino: A Review of A Good Casino
An overview of the The King Casino, the www.jtmhub.com best online https://access777.com/ casino https://septcasino.com/review/merit-casino/ of the 2020, aprcasino casino game list. Learn about bonuses and games and more nba매니아