Monday, December 11, 2006

ROKOK

Berhenti merokok selepas mati -- Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei 2006
Oleh DR. SALLEHUDIN ABU BAKAR

SEMUA lapisan masyarakat tahu bahaya merokok. Ia bukan sahaja gaya hidup yang memudaratkan tetapi juga penuh pembaziran, kepalsuan dan pembohongan.

Perokok itu sendiri, bukan mereka tidak tahu akan kesan buruk tabiat tersebut kerana bukan sedikit maklumat berkaitan dengannya yang terus bercambah di mana-mana, sama ada di media elektronik mahupun cetak. Bahkan, amaran tentang bahaya merokok ada tertera di kotak-kotak rokok itu sendiri.

Namun yang peliknya, sebahagian daripada mereka yang tegar dengan amalan merokok ini memandang remeh tentang fakta bahaya merokok yang terbit daripada lebih 70,000 penulisan perubatan, hasil kajian saintifik yang terkumpul sejak awal tahun 70-an oleh pakar-pakar perubatan terkemuka dunia.

Lantas, mereka memilih untuk meneruskan amalan berisiko itu dengan pelbagai gaya dan kadangkala terpaksa berlagak gagah walaupun sebenarnya mereka sedang menderita gejala-gejala penyakit yang telah mula memakan diri.

Sebahagian yang lainnya pula menyedari betapa mudaratnya amalan merokok dan telah membuat keputusan untuk berhenti. Malah ada yang telah mencuba pelbagai cara untuk meninggalkannya.

Malangnya, hanya segelintir yang berjaya. Kebanyakannya menemui jalan buntu kerana tidak berupaya mengatasi gejala tarikan khususnya gian yang dialami semasa berhenti merokok sehingga akhirnya membuatkan mereka mengalah dan kembali merokok.

Senario merokok masa kini

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan, pada tahun 2000 terdapat hampir 1.2 bilion perokok dewasa di seluruh dunia yang secara puratanya menghisap 13 batang rokok sehari.

Di Malaysia sahaja, pada tahun 2004 adalah dianggarkan terdapat lima juta perokok yang mana 90 peratus terdiri daripada golongan lelaki dewasa dengan purata bilangan rokok yang dihisap, 14 batang sehari.

Sementara itu, antara 90,000 hingga 100,000 remaja mula merokok setiap hari di seluruh dunia manakala di Malaysia - sekitar 50 hingga 60 orang.

Menurut WHO lagi, bilangan perokok dewasa yang berhenti merokok untuk selama-lamanya setiap hari di seluruh dunia ialah seramai 13,400 orang. Itu pun kerana menemui ajal disebabkan oleh penyakit- penyakit kronik seperti jantung, kanser, strok, saluran pernafasan tersumbat dan pelbagai lagi, kesan merokok sejak puluhan tahun lamanya.

Persoalannya, perokok tidak seharusnya memilih kematian sebagai jalan keluar untuk berhenti merokok buat selama-lamanya. Terdapat pelbagai kaedah rawatan yang terbukti berkesan bagi membantu perokok berhenti merokok, terus kekal tidak merokok, seterusnya hidup sihat sepanjang hayat mereka.

Ketagihan merokok

Merokok melibatkan penggantungan psikologikal dan fizikal atau ketagihan yang berpunca daripada dadah nikotin yang terkandung di dalam asap rokok.

Nikotin boleh bertindak terus ke atas otak dengan memberi kesan rangsangan. Rangsangan ini diperkukuhkan pula oleh pelbagai faktor pendorong yang boleh bersifat positif dan negatif.

Contohnya, perokok akan merokok dengan lebih kerap apabila berada di tempat-tempat hiburan di mana keseronokan berada di tempat hiburan bertindak sebagai faktor pendorong positif. Perokok juga akan merokok dengan lebih kerap apabila berasa bosan atau mengalami perasaan tertekan - faktor pendorong yang negatif.

Selain penggantungan psikologikal dan fizikal akibat nikotin, perokok juga terperangkap dengan kongkongan tabiat yang cukup payah untuk dilepaskan.

Ia terbentuk akibat perlakuan berulang- ulang sebelum, semasa dan selepas merokok seperti mengetuk rokok, menyalakan, menyedut dan menghembuskan asap rokok, menjentik puntung rokok dan sebagainya.

Makan, minum (terutamanya minuman berkafeina dan alkohol), melakukan hubungan jenis dan membuang air kecil atau besar, juga merupakan faktor-faktor pendorong yang sering dikaitkan dengan amalan merokok sama ada merokok dilakukan terlebih dahulu atau, dilakukan semasa mahupun selepas faktor-faktor pendorong seperti yang tersebut di atas, disempurnakan.

Putaran tingkah laku merokok dan berhenti merokok

Berhenti merokok bukan suatu tindakan yang mudah. Kebanyakan perokok pernah suatu ketika dalam jangka hayat mereka sebagai perokok, cuba beberapa kali untuk berhenti merokok. Tetapi, hampir kesemua perokok yang melakukannya secara sendiri tanpa sebarang bantuan gagal untuk berhenti merokok.

Kajian yang dijalankan di negara-negara maju yang telah lama menjalankan program kawalan tembakau kebangsaan mendapati, cuma satu hingga dua peratus sahaja yang berjaya berhenti dengan usaha sendiri dan hampir 98 peratus daripada mereka kembali merokok selepas 12 bulan.

Rata-rata perokok melalui beberapa peringkat perubahan tingkah laku yang berputar berulang kali iaitu berfikir untuk berhenti, kemudian membuat keputusan serta bersedia untuk berhenti dan selanjutnya ke peringkat pengekalan.

Tetapi lazimnya, hanya sebilangan kecil yang berjaya melepaskan diri daripada putaran ini dan kekal tidak merokok manakala sebahagian besar daripada mereka akan terus terperangkap dalam putaran yang tidak ketahuan penghujungnya apabila mereka kembali menjadi perokok berulang dan kembali melalui putaran yang sama seperti yang pernah mereka lalui semasa mencuba berhenti merokok sebelumnya.

Membantu perokok berhenti

Dengan menggunakan teknik yang betul, kita boleh membantu perokok berhenti. Untuk memberikan motivasi kepada mereka, penekanan haruslah diberikan kepada perbincangan tentang faedah-faedah yang bakal dinikmati apabila berhenti merokok.

Fakta tentang risiko penyakit dibincangkan juga secara terperinci terutamanya kepada perokok yang sudah pun mengalami kesan-kesan penyakit berkaitan merokok.

Apabila perokok sudah membuat keputusan serta bersedia, kita bantu mereka untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk mula berhenti. Sebaiknya, pilihlah tarikh yang sama dengan tarikh-tarikh yang cukup bermakna kepada diri perokok seperti tarikh lahir, ulang tahun perkahwinan, hari lahir anak dan sebagainya.

Dalam menentukan tarikh untuk berhenti merokok ini pula, tempohnya janganlah menjangkau lebih daripada sebulan selepas tarikh membuat keputusan untuk berhenti kerana dibimbangi, niat tersebut akan pudar.

Dalam tempoh persediaan menunggu tarikh yang telah ditetapkan, perokok yang telah berazam untuk berhenti merokok perlulah mengurangkan bilangan rokok yang dihisap secara berperingkat-peringkat seperti kurangkan dua batang rokok setiap hari sehingga mencapai matlamat merokok sifar pada tarikh yang ditetapkan untuk berhenti.

Perokok boleh memilih untuk berhenti merokok dengan menggunakan kekuatan azam semata-mata atau dengan bantuan terapi gantian nikotin. Galakan dan sokongan padu adalah amat penting terutama dalam tempoh tiga minggu pertama.

Mereka perlu diingatkan bahawa nikotin adalah sejenis dadah yang sangat kuat tindakannya dan mereka akan mengalami gejala tarikan tanpanya, terutama sekali dalam masa seminggu pertama. Namun, gejala tarikan ini akan reda dan seterusnya berkurangan dalam masa tiga atau empat minggu kemudian.

Mereka perlu diajar cara-cara menangani gian untuk merokok seperti, melakukan sesuatu bagi mengalihkan perhatian. Mereka juga perlu diajar teknik-teknik relaksasi bagi mengawal perasaan tertekan.

Petua 12M

- Melengah-lengahkan keinginan

- Menarik nafas panjang yang diulang beberapa kali (10 kali atau lebih)

- Minum air masak tiga liter sehari

- Membasuh tangan atau mengambil wuduk

- Mandi sekerap mungkin

- Menyibukkan tangan seperti melukis, membuat silang kata, berkebun

- Melakukan senaman, beriadah, berjalan- jalan dan seumpamanya

- Mengunyah sesuatu seperti kismis, lobak, buah-buahan, gula-gula getah

- Mengalih perhatian seperti menelefon rakan taulan, saudara-mara

- Membayangkan kesengsaraan penyakit akibat merokok

- Meditasi seperti yoga dan sebagainya

- Memohon doa agar dikuatkan azam dan semangat.

Perokok juga boleh mencuba tip berikut: Sediakan dua balang kaca. Satu diisi dengan puntung rokok yang dikumpulkan selama tiga bulan lalu ketika masih merokok. Balang satu lagi pula diisi dengan duit yang berjaya dijimatkan semasa tidak merokok.

Balang yang berisi puntung rokok dianggap sebagai penghalang manakala balang yang berisi duit dikira sebagai ganjaran. Setiap kali keinginan merokok timbul, bukalah balang yang berisi puntung rokok dan cium baunya. Nescaya keinginan akan pudar.

Rawatan penggantian nikotin (RGN)

RGN dapat membantu perokok mengharungi proses berhenti merokok. Antara produk yang terdapat di pasaran ialah gam nikotin, penampal nikotin dan alat penyedut (inhaler) nikotin.

Produk RGN berfungsi dengan menghasilkan jumlah nikotin secara terkawal untuk membantu mengatasi ketagihan dan gejala tarikan nikotin.

Menggunakan soal selidik Fagestrom yang mengandungi sebanyak enam soalan, jenis dan kekuatan RGN ditentukan berdasarkan kepada pola dan tahap ketagihan masing- masing perokok seperti jadual di bawah.

Kesimpulan

Memulakan merokok memang menjadi pilihan individu tetapi untuk berhenti memerlukan komitmen yang cukup tinggi baik daripada perokok sendiri mahupun individu yang membantu perokok berhenti.

Dengan teknik yang betul, perokok yang berazam tinggi boleh berjaya dalam misi mereka ini.

Pengalaman penulis mengendalikan Klinik Berhenti Merokok di Institut Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur setakat ini berjaya membantu hampir 30 peratus perokok berhenti sekurang-kurangnya enam bulan.

Utusan, 28 Mei 2006

No comments: