Monday, December 11, 2006

PEMBEDAHAN

Pembedahan sendi punggung bantu pesakit berjalan
Oleh: DR. MAZLAN MOHAMMAD (Pakar Perunding Ortopedik dan Trauma)

ZURIATI adalah seorang pelajar kolej yang berumur 21 tahun dan terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira dua tahun yang lepas.

Walaupun telah mendapatkan rawatan awal, namun kecederaan pada sendi punggung kiri beliau telah gagal dikesan.

Selepas dua bulan berlalu, Zuriati masih tidak dapat berjalan lalu beliau mendapatkan rawatan daripada pakar ortopedik.

Sendi punggung kirinya dikenal pasti telah terkeluar dari soketnya dan soket tersebut juga telah patah.

Pembedahan awal dilakukan untuk meletakkan kembali sendi yang terkeluar ke dalam soketnya.

Zuriati ditegah dari meletakkan berat badan beliau di atas sendi yang telah dibedah semasa berjalan selama enam minggu.

Beliau juga diperhatikan dengan rapi selama setahun memandangkan risiko kepala sendi punggung kiri beliau untuk mati atau mengalami nekrosis avaskular adalah tinggi.

Nasib menyebelahinya kerana keadaan itu (nekrosis avaskular) tidak berlaku. Tetapi beliau masih tidak dapat berjalan dengan sempurna kerana kesakitan ketara apabila berjalan akibat sendi yang telah rosak.

Beliau terpaksa mengambil ubat penahan sakit setiap hari. Hanya pembedahan pertukaran sendi yang dapat menghilangkan kesukaran beliau.

Disebabkan oleh umurnya yang masih muda, penukaran sendi secara tradisional menggunakan penggantian semula sendi punggung secara menyeluruh (total hip replacement/THR) tidaklah digalakkan.

Akhirnya, beliau selamat menjalani pembedahan durom hip resurfacing pada 17 Mac lalu, yang merupakan pembedahan pertama seumpamanya di Malaysia.


*Artritis sendi punggung

Artritis sendi punggung adalah agak biasa berlaku di negara ini yang berpunca daripada kerosakan kepada sendi punggung akibat pelbagai jenis penyakit.

Antaranya seperti nekrosis avaskular (tulang mati disebabkan oleh kekurangan aliran darah), trauma atau kepatahan, jangkitan kuman, artritis reumatoid, ankylosing spondylitis dan penyakit lain yang berkenaan.

Ia akan menyebabkan kesakitan, kekakuan, kecacatan, kurangnya julat pergerakan dan ketidakupayaan yang teruk.

Di Malaysia, artritis sendi punggung juga melibatkan populasi yang lebih muda, sekitar 20 hingga 30 tahun. Ini boleh menyebabkan gangguan terhadap kerjaya dan keluarga, tidak boleh bekerja dan sukar bergerak bebas.

Secara tradisinya, sejak empat dekad yang lalu, pembedahan THR adalah satu-satunya pembedahan yang dapat membantu mereka. Pembedahan dilakukan sekiranya simptom tidak lagi dapat dibendung oleh ubat-ubatan.

THR adalah pembedahan yang amat berjaya ke atas mereka yang telah tua dan tidak lagi aktif. Tetapi THR tidak dapat memenuhi kehendak mereka yang masih muda atau usia pertengahan.

THR juga kadang-kadang boleh terkeluar dari soketnya atau menjadi longgar kedudukan implannya. Selalunya pesakit akan dinasihatkan agar mengehadkan aktiviti dan pergerakan hariannya.

Pesakit yang ada THR dilarang daripada mencangkung, membongkok atau duduk bersila. Tetapi dengan adanya teknologi hip resurfacing, larangan-larangan tersebut tidak lagi perlu diamalkan.

Dengan kata lain, pesakit yang menjalani pembedahan hip resurfacing boleh melakukan banyak perkara yang biasa dilakukan sehari-hari malah bebas bersukan secara ringan.

Sejak seabad yang lalu, keperluan terhadap hip resurfacing adalah lebih ketara memandangkan lebih banyak pesakit yang lebih muda terlibat.

Pembedahan ini dipelopori oleh seorang pakar ortopedik terbilang bernama Dr. Derek McMinn dari United Kingdom.

Pesakit yang telah menjalani pembedahan hip resurfacing boleh berjalan semula setelah enam minggu.

Tidak seperti THR, mereka boleh berjoging, berenang, menari, berlari dan bersukan. Mereka juga boleh mencangkung dan bersila tanpa risiko yang tinggi untuk sendi terkeluar dari soketnya.

*Prosedur hip resurfacing

Tidak seperti THR yang konvensional, pembedahan hip resurfacing hanyalah melibatkan proses membuang atau mengikis bahagian permukaan sendi yang rosak.

Dua bahagian logam yang khusus digunakan. Satu untuk permukaan kepala sendi dan satu lagi untuk bahagian soketnya.

Metal yang digunakan adalah dari jenis yang amat kuat dan amat kurang kesan geserannya.

Utusan, 14 Mei 2006

TAMBAHAN
Utusan, 6 Ogos 2006, Ganti sendi lutut hanya 3.5 inci
Utusan, 13 Ogos 2006,Pembedahan ETS rawat peluh berlebihan
Utusan, 19 Nov 2006, Surgeri artroskopik rawat meniskus koyak
Utusan, 28 Jan 2007, Pembedahan tanpa darah

No comments: