Tuesday, December 5, 2006

PENYAKIT TELINGA

Implan koklear telinga bionik
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

KOMPONEN implan dalaman ditanam di belakang telinga.
--------------------------------------------------------------------------------

BAYANGKAN, anda hidup dalam dunia yang serba sunyi dan sepi tanpa bunyi-bunyian.

Anda hanya melihat mulut orang lain yang terkumat-kamit tetapi tidak dapat mendengar suara mereka. Bahkan, anda tidak dapat mendengar suara sendiri. Hanya merasai seperti ada sesuatu di dalam tekak saat cuba berkata-kata.

Anda juga tidak dapat mendengar hilai dan tawa, cuma membaca raut kegembiraan yang jelas terpancar di wajah orang lain. Bagaimanakah perasaannya menjadi seorang yang tidak dapat mendengar?

Hanya mereka yang mengalami masalah pendengaran yang dapat memahaminya. Tidak seperti orang normal, mereka mendengar dengan mata dan tangan, bukannya telinga.

Masalah pendengaran boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor. Antara yang paling lazim adalah kongenital (bayi dilahirkan dengan kecacatan), jangkitan telinga tengah, meningitis, pendedahan kepada bunyi yang terlalu kuat dan usia.

Sekiranya hanya telinga tengah yang terjejas, tetapi tidak teruk, penggunaan alat bantuan pendengaran untuk menguatkan bunyi sudah memadai.

Bagaimanapun, jika kerosakan membabitkan keseluruhan telinga tengah atau berlaku kehilangan sel-sel rerambut di dalam koklea (tetapi saraf auditori/pendengaran masih berada dalam keadaan sempurna), implan koklea mungkin berupaya mengembalikan semula sebahagian pendengaran.

Selama berabad lamanya manusia percaya, hanya keajaiban yang mampu mengembalikan semula pendengaran.

Hari ini, para pengguna alat prostetik itu mampu berkomunikasi secara normal tanpa perlu membaca pergerakan bibir atau menggunakan bahasa isyarat lagi. Malah, sesetengahnya boleh bercakap menggunakan telefon.

``Implan koklear atau telinga bionik, tidak mengembalikan pendengaran seperti manusia normal. Kebanyakan pesakit menggambarkannya sebagai bunyi yang mekanikal.

``Bagaimanapun, bersama masa dan amalan berterusan, otak akan melakukan penyesuaian terhadap bunyi-bunyi baru dan isyarat pertuturan. Bunyi-bunyian alam akan mula kedengaran lebih semula jadi,'' kata Ketua Pakar Audiologi, Pusat Perubatan Sunway, Mazwin Omar.

Sejak mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) pada awal tahun 1980-an, sebanyak lebih 60,000 pemasangan implan koklear dilakukan di seluruh dunia.

Sebahagian besar darinya terdiri daripada kanak-kanak yang pekak sejak dilahirkan, seawal usia 12 bulan dan paling tua, 93 tahun.

Implan koklear juga berjaya dilakukan ke atas pesakit yang mempunyai masalah-masalah perubatan lain seperti palsi serebral, diabetes, tekanan darah tinggi, tinitus, ketidakupayaan pembelajaran dan sebagainya.

Untuk memahami bagaimana implan koklear berfungsi, lebih baik kita fahami dahulu bagaimana pendengaran normal memainkan peranannya.

Telinga terdiri daripada tiga bahagian iaitu telinga luar, tengah dan dalam. Ketiga-tiganya saling bekerjasama di antara satu sama lain untuk menghantar bunyi ke otak.

Telinga luar akan mengambil bunyi-bunyian yang kemudiannya dihantar dalam bentuk gelombang melalui kanal/terowong telinga, ke gegendang telinga.

Gelombang bunyi ini akan menyebabkan gegendang telinga bergetar, seterusnya menyebabkan sel-sel rerambut halus di dalam koklea bergerak.

Sel-sel rerambut ini akan menyerap pergerakan dan mengubahnya ke dalam bentuk impuls elektrik, dihantar ke serat-serat saraf pendengaran dan otak dan menghasilkan bunyi.

Menurut Mazwin, implan koklear merupakan alternatif kepada alat bantuan pendengaran konvensional yang berfungsi meningkatkan tahap pendengaran dengan merangsang saraf-saraf telinga dalam, secara elektrikal.

``Bayi, kanak-kanak serta orang dewasa yang mengalami masalah pendengaran teruk hinggalah ke sangat teruk di kedua-dua belah telinga, boleh mendapat manfaat darinya.

``Calon paling ideal adalah kanak-kanak mahu pun orang dewasa yang baru mengalami hilang pendengaran, dalam jangka masa yang singkat,'' katanya.

Bayi yang dilahirkan dengan masalah ini disaran melakukan implan koklear seawal mungkin, sebelum proses pembelajaran bahasa bermula pada usia dua atau tiga tahun.

Untuk mengetahui sama ada bayi yang baru dilahirkan mengalami masalah pendengaran atau tidak, ibu bapa atau penjaga boleh melakukan program imbasan pendengaran di hospital-hospital yang menawarkan perkhidmatan itu.

Implan koklear, terang Mazwin, terbahagi kepada dua iaitu bahagian dalaman yang dikenali sebagai implan koklear itu sendiri dan bahagian luaran, pemproses pertuturan yang dicangkuk pada cuping telinga.

Pemproses pertuturan dilengkapi dengan mikrofon kecil yang mengambil bunyi, menukarnya ke dalam bentuk isyarat dan menghantarnya ke alat pemancar.

Alat pemancar itu seterusnya akan menghantar isyarat-isyarat berkenaan melalui kulit ke implan dalaman. Implan dalaman kemudiannya akan menukar isyarat-isyarat berkod kepada tenaga elektrikal dan menghantarnya ke elektrod.

Ini akan merangsang serat-serat saraf di dalam koklea dan isyarat tersebut akan dikenal pasti oleh otak sebagai bunyi.

Mazwin berkata, pembedahan mengambil masa di antara dua hingga tiga jam dalam keadaan bius sepenuhnya.

``Pakar bedah akan memotong kulit belakang telinga, mengangkat kulit dan tisu itu dengan berhati-hati.

``Satu lubang akan dibuat pada tengkorak dengan menggerudi bahagian tersebut bagi menempatkan komponen implan dalaman.

``Satu lubang lain akan ditebuk dan sampai kepada koklea untuk memasukkan elektrod. Setelah selesai, bukaan kulit akan ditutup dan kepala pesakit akan dibalut,'' ujar Mazwin.

Lazimnya, pesakit akan ditahan di wad selama dua hingga tiga hari sebelum dibenarkan pulang. Selepas tiga hingga empat minggu dibedah, pesakit kini telah bersedia disambungkan ke komponen luaran untuk diaktifkan.

Pemproses pertuturan akan diprogramkan dengan sejumlah program penghantaran bunyi individu yang dipanggil sebagai MAPs.

Proses pemetaan ini bertujuan menyesuaikan alat berkenaan dengan tahap pendengaran terbaik seseorang dalam persekitaran bunyi yang berbeza.

``Sejauh mana keupayaan seseorang untuk mendengar bergantung kepada gabungan faktor-faktor seperti faktor fizikal atau jangka masa seseorang itu mengalami masalah pendengaran atau pekak.

``Belajar untuk mendengar dan bercakap semula atau buat pertama kali merupakan satu proses yang berterusan,'' katanya.

Tambahnya, bagi seseorang yang sudah lama tidak dapat mendengar atau kanak-kanak yang tidak pernah mendengar, ia akan mengambil masa bagi otak membiasakan diri dengan rangsangan daripada implan.

Ini sudah tentu melibatkan program pemulihan semula atau pemulihan bagi yang tidak pernah mengenal bunyi.

Kata Mazwin, bukan semua kanak-kanak yang mengalami kecacatan pendengaran boleh menerima implan koklear.

``Implan koklear hanya sesuai bagi masalah hilang pendengaran yang berpunca daripada masalah di dalam koklea seperti kerosakan sel-sel rerambut.

``Yang penting, saraf-saraf pendengaran tidak rosak bagi memastikan implan dapat berfungsi. Kelayakan hanya boleh ditentukan selepas penilaian menyeluruh oleh pasukan implan dari pelbagai bidang,'' katanya.

Pasukan implan yang dimaksudkannya termasuklah pakar bedah telinga, hidung dan tekak, pakar terapi pertuturan dan bahasa serta pakar audiologi.

Secara amnya, terdapat dua kategori pesakit pekak yang

boleh dipertimbangkan untuk implan koklear:

Pertama, individu yang dilahirkan dengan pendengaran normal dan pernah bertutur secara normal tetapi menjadi pekak disebabkan oleh penyakit seperti jangkitan telinga dalaman atau meningitis yang merosakkan koklea.

Kumpulan ini dikenali sebagai pesakit yang mengalami kecacatan pendengaran kepekakan post-lingual yang biasanya terdiri dari kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Kategori kedua pula melibatkan kanak-kanak yang dilahirkan dengan kecacatan pendengaran atau dikenali sebagai pre-lingual. Kumpulan pesakit post-lingual cenderung mengalami pemulihan lebih baik selepas pemasangan implan.

Bagaimanapun, kumpulan pre-lingual terpaksa berdepan dengan pemulihan yang lebih mencabar manakala pemasangan perlu dilakukan seawal usia yang boleh bagi membolehkan perkembangan pertuturan dan bahasa yang lebih baik.

Ditanya mengenai belanja pemasangan implan koklear, Mazwin berkata, ia berbaloi jika mengambil kira impak komunikasi dan sosial serta kos yang terpaksa ditanggung untuk tujuan pembelajaran kanak-kanak seumur hidupnya.

Berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan di luar negara, kecacatan pendengaran di kalangan kanak-kanak turut mempengaruhi aspek pembelajaran mereka.

http://www.utusan.com.my, 12 Februari 2006

No comments: