Tuesday, December 5, 2006

BOTOX

BOTOX - Pro dan kontra
Oleh Shafinaz Sheikh Maznan

Dahi antara bahagian wajah yang biasa disuntik bagi mengurangkan kedutan.
--------------------------------------------------------------------------------

SEBELUM dia bertemu botox, Roy terpaksa mengenakan tiga lapisan baju sebagai pertahanan daripada masalah perpeluhan melampau yang dihadapi. Cara itu nyata tidak mengecewakannya.

Namun, selepas perunding perhubungan awam itu bertunang, dia mulai dihimpit kebimbangan. Roy mahu harinya menjadi raja sehari berjalan lancar dan tidak menjejaskan persalinan pengantin yang dikenakan.

Ini kerana, peluh yang banyak diserap pada tiga lapis pakaiannya itu turut mengeluarkan bau-bauan yang kurang enak terutamanya pada bahagian ketiak.

``Kawan kepada kawan saya memberitahu, dia mengambil suntikan botox pada dahinya bagi menghentikan peluh berlebihan, sama seperti masalah yang saya hadapi.

``Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya mencubanya.'' Roy menyuntik botox di bawah ketiaknya kira-kira empat minggu sebelum melangsungkan perkahwinannya dengan gadis pujaan hati.

``Sekejap je selepas itu, memang kering. Saya tak risau langsung malah turut sama membantu bapa mentua mengemas rumah selepas tetamu majlis bersurai,'' kata Roy.

Berpeluh. Semua orang berpeluh. Ia merupakan cara tubuh mengawal atur suhu badan. Semasa bersenam dan dalam cuaca panas, adalah sesuatu yang sihat untuk berpeluh.

Masalah timbul apabila seseorang mengeluarkan peluh yang terlalu banyak tanpa sebarang alasan. Kebanyakan kes disebabkan oleh masalah hiperhidrosis terutamanya pada telapak tangan, kaki, muka dan ketiak.

Terdapat beberapa cara untuk merawatnya, rata-ratanya membabitkan pembedahan saraf kelenjar peluh yang terlalu aktif. Botox, yang lebih popular sebagai rawatan mengurangkan kedutan wajah juga didapati berkesan bagi mengawal perpeluhan teruk.

Selain hiperhidrosis, botox pertama kali mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) pada tahun 1989 untuk merawat masalah perubatan seperti juling dan blefarospasma (kerdipan mata tidak terkawal).

Di bidang kosmetik, kelulusannya hanya diperoleh pada April 2002 dan sejak itu, tiada yang lebih panas dan `meletup-letup' dalam sejarah menentang kedutan, berbanding suntikan botox.

Namun, hanya kerana FDA meluluskan suntikan antipenuaan, tidak bermakna anda boleh mengguna pakainya secara membabi buta untuk memadamkan garis usia.

Bagi pengguna muslim sama ada perempuan mahupun lelaki, ada baiknya sebelum mengadakan temu janji dengan doktor, (sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan ini sebelum majlis Fatwa Kebangsaan bermuzakarah tentang halal haramnya), ketahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan botox, serta kesan sampingannya.

Menurut Pakar Estetik dan Antipenuaan, Alice Total Wellness, Bangsar, Kuala Lumpur, Dr. Alice Prethima Michael, botox - jenama dagang bagi Botulinum Toxin jenis A merupakan protein yang dihasilkan oleh bakteria clostridium botulinum.

Terdapat banyak jenis racun botulinum iaitu A, B, C, E, F dan G.

``Ia merupakan bahan yang boleh menyebabkan botulisme iaitu satu bentuk keracunan makanan yang terjadi apabila seseorang memakan sesuatu yang mengandungi neurotoksin yang terhasil daripada bakteria berkenaan.

``Gejala botulisme paling serius adalah kelumpuhan,'' katanya. Dalam sesetengah kes, ia boleh menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, menurutnya, apabila digunakan sebagai persediaan perubatan dalam bentuk suntikan menggunakan jarum yang halus, racun botulinum dalam kuantiti kecil berupaya menghalang penghasilan acetylcholine, kimia yang bertanggungjawab memberikan isyarat pengecutan otot-otot.

``Botox menyekat daripada berlakunya kedutan pada wajah seperti garisan pada dahi apabila seseorang mengangkat kening, kedut-kedut di tepi mata apabila mengenyit serta lipatan di antara kening apabila mengerutkan dahi,'' katanya.

Dr. Alice berkata, mujurlah susuk moden dalam bentuk yang terlalu cair itu jarang mendatangkan kesan sampingan yang terlalu serius seperti tindak balas alahan.

Kesan-kesan sampingan lain adalah seperti kelopak mata jatuh (sehingga beberapa minggu), pendarahan atau lebam pada bahagian yang disuntik, jangkitan kuman dan terasa seperti menghidap selesema.

Lain-lain termasuklah sakit kepala dan perut meragam manakala risiko botulism (kesukaran menggerakkan tangan, kaki atau sesak nafas dan melibatkan nyawa) adalah rendah, selagi ia dilaksanakan dengan betul oleh doktor.

``Botox hanya mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan bergantung kepada kawasan yang disuntik sama ada tepi mata, antara dua kening, dahi atau kening.

``Tempoh paling panjang hanya sembilan bulan. Apabila otot-otot kembali seperti sedia kala, kedut dapat dilihat semula,'' katanya sambil menambah, botox juga boleh digunakan untuk merobah bentuk senyuman dan ekspresi wajah serta membentuk dagu.

``Oleh itu, jika ingin mendapatkan kesan berpanjangan, suntikan tersebut perlu diulang tidak terlalu kerap selepas tiga bulan.

``Ini bertujuan mengelakkan suntikan yang bakal diambil pada masa akan datang menjadi tidak berkesan kerana tubuh manusia mampu membina antibodi dalam tempoh berkenaan,'' ujar Dr. Alice.

Kesimpulannya, kulit berkedut merupakan sebahagian daripada proses penuaan yang dialami. Penyelesaian terbaik untuk memperlambatkan timbulnya garis-garis usia bukan sahaja tidak memerlukan kos yang tinggi tetapi juga cukup ringkas.

Antaranya, hindari dari sinaran matahari secara langsung, berhenti merokok dan lakukan senaman secara rutin.

Botox bukanlah satu penyelesaian total. Ia mempunyai beberapa kesan sampingannya yang tersendiri. Namun, jika anda tidak kisah disuntik racun pada wajah dan tidak pula keberatan melumpuhkan sebahagian muka anda, dipersilakan!

Soalan mengenai botox

Apa itu botox

Botox datang dalam bentuk bakteria yang boleh menyebabkan seseorang jatuh sakit. Tetapi, pakar-pakar turut menemui bahan kimia di dalam botox yang boleh digunakan bagi merawat beberapa masalah kesihatan.

Bagaimana ia ditemui?

FDA meluluskan botox kira-kira dua dekad lalu untuk merawat beberapa masalah berkaitan otot-otot mata. Pada masa yang sama, pakar-pakar terbabit mulai perasan akan kesan kedutan di sekeliling mata yang berkurangan. Firma yang menghasilkan botox melakukan ujian lanjut. Hasil keberkesanan botox ke atas masalah kedutan kemudiannya dibentangkan kepada FDA.

Bagaimana botox berfungsi?

Kedut-kedut pada wajah berpunca daripada otot-otot yang menegang. Botox disuntik menerusi permukaan kulit ke dalam otot-otot dan ia menyekat otot-otot daripada menegang. Apabila gagal menegang, kedut tidak banyak kelihatan.

Maknanya, anda tidak boleh menggerakkan otot-otot?

Hanya otot-otot yang diberikan rawatan itu tidak boleh bergerak.

Penjagaan selepas suntikan

Bagi mempercepatkan tindak balas ubat terhadap otot-otot yang disuntik, saranannya adalah seperti berikut:

- Terus aktif dan tidak tidur dengan melakukan aktiviti antara empat hingga enam jam. Ini kerana ubat terbabit mengambil masa antara dua hingga lima hari untuk mendapatkan kesannya

- Dilarang mengurut bahagian yang disuntik dalam tempoh 24 jam pertama bagi mengelakkan ubat-ubatan meresap ke dalam otot-otot lain

- Jangan membawa barangan berat dalam tempoh seminggu

- Jika terdapat bintik-bintik merah seperti gigitan nyamuk selepas suntikan, ia tidak perlu dirawat dengan menyapu ubat-ubat sapuan kerana ia akan hilang dalam masa antara setengah hingga satu jam

- Bagi mengekalkan keberkesanan botox, elak daripada mendedahkan bahagian yang disuntik dengan suhu terlalu panas

- Tidak melakukan terlalu banyak ekspresi muka.

Apakah yang perlu saya lakukan jika ingin mencuba botox?

- Tanya doktor anda bagaimana botox boleh membantu atau menjejaskan anda?

- Pastikan doktor anda terlatih di dalam penggunaannya

- Pastikan peralatan kecemasan terdapat berhampiran dengan andaian timbul sebarang masalah

- Jangan lakukan prosedur tersebut jika anda hamil atau disyaki hamil atau menyusukan bayi

- Beritahu doktor jika anda mengambil apa-apa antibiotik, atau mengalami masalah saraf mahupun otot-otot serta menghidap alahan serius seperti alergik kepada telur.

http://www.utusan.com.my, 29 Januari 2006

TAMBAHAN
Utusan, 19 Nov 2006, Transplan bulu mata saingi botox

No comments: