Tuesday, December 12, 2006

BUASIR

PPH inovasi baru rawat buasir
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

WALAUPUN boleh mendapatkan rawatan, satu daripada tiga orang dewasa menderita dalam diam akibat gejala-gejala hemoroid - termasuk kesakitan amat sangat, ketidakselesaan dan pendarahan di bahagian dubur.

Masalah umum yang menyakitkan ini juga dikenali sebagai buasir - kebengkakan vaskular yang disebabkan oleh pengembangan vena di bahagian dubur.

Buasir boleh menyebabkan penghidapnya mengalami kesakitan yang amat sangat dan pendarahan.

Sebahagian besar daripada individu juga mengalami gejala yang dikaitkan dengan buasir sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka.

Malangnya, tidak sampai 75 peratus daripada penghidap buasir akhirnya pergi mendapatkan rawatan perubatan manakala selebihnya mencuba rawatan tradisional atau ubat yang dibeli dari kedai.

Pakar bedah kolorektal, dari salah sebuah universiti tempatan, Prof. Dr. Yunus Gul ketika mengulas mengenai perkembangan yang membimbangkan ini berkata:

``Sering kali, penghidap melengahkan rawatan kerana mereka mendengar bahawa rawatan untuk membuang buasir amat menyakitkan.

``Walaupun ini benar bagi pembedahan cara konvensional, teknik baru yang kami gunakan, seperti prosedur bagi buasir prolaps (PPH), hanya menyebabkan kesakitan minimum kepada pesakit kerana prosedur dilakukan pada bahagian yang mempunyai sedikit hujung saraf,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada bengkel media mengenai buasir di Bandar Sunway, Selangor, baru-baru ini.

Prosedur serba maju PPH atau juga dikenali sebagai teknik Longo sehingga kini telah membawa kelegaan kepada kira-kira 6,900 rakyat Malaysia.

Mereka telah mendapat rawatan buasir dengan kesakitan dan gangguan minimum terhadap aktiviti seharian. Jumlah ini telah meningkat secara mendadak daripada 150 orang pada tahun pertama (2000).

Bagaimanapun, doktor-doktor menganggarkan bahawa ramai yang masih menghidap buasir teruk tanpa tampil untuk mendapatkan rawatan.

Dicipta pada 1993 oleh Dr. Antonio Longo, Jabatan Pembedahan, University of Palermo, Itali dan diperkenalkan sebagai usaha sama dengan Ethicon Endo-Surgery, sebahagian daripada Johnson & Johnson Medical, PPH digunakan untuk merawat buasir prolaps teruk.

``PPH dilakukan dengan menarik buasir yang terkeluar kembali ke kedudukan asal, dengan membuang mukosa rektal prolaps, lantas menyebabkan buasir yang bengkak mengecut.

``Prosedur yang dilakukan di bahagian atas saluran dubur, yang mempunyai hanya sedikit saraf deria, menyebabkan kesakitan minimum kepada pesakit,'' kata Dr. Longo.

Ini sekali gus membolehkan pesakit kembali menjalankan kegiatan biasa lebih cepat berbanding pembedahan konvensional.

Menurutnya, pemulihan mengambil masa lima hari sahaja menerusi pembedahan buang buasir dengan mematikan saluran darahnya berbanding 21 hari dengan pembedahan konvensional.

``Lebih daripada sejuta prosedur PPH telah dijayakan di seluruh dunia.

``Dalam satu kajian baru-baru ini, pesakit yang menjalani PPH didapati kurang mengalami kesakitan selepas pembedahan dan memerlukan ubat penghilang kesakitan yang berkurangan berbanding pesakit yang menjalani pembedahan biasa,'' ujar beliau.

Di samping itu, 80 peratus daripada pesakit PPH tidak melaporkan sebarang kesakitan apabila membuang air besar pertama kali selepas pembedahan, berbanding 17 peratus pesakit yang menjalani pembedahan konvensional, katanya.

Beliau berkata, PPH juga mengurangkan kos ekonomi keseluruhan kepada pesakit kerana mengurangkan keperluan bagi ubat penghilang kesakitan selepas pembedahan, dan pesakit mungkin kembali bekerja lebih awal.

Selain itu, terdapat kebarangkalian lebih rendah bahawa pesakit akan dimasukkan semula ke hospital. Semua ini menghasilkan kos purata lebih rendah bagi setiap pesakit.

Prof. Dr. Yunus Gul menarik perhatian, kebanyakan masalah yang dihadapi boleh dirawat tanpa kesakitan dengan teknik baru seperti PPH.

``Malangnya tidak ramai orang yang sedar tentang rawatan ini kerana buasir ialah topik yang tidak begitu selesa dibincangkan oleh masyarakat kita.

``Kami harap lebih ramai penghidap buasir tampil ke hadapan untuk mendapatkan rawatan perubatan dan tidak terus menderita dengan penyakit yang amat menyakitkan ini,'' katanya.

Apakah buasir?

Buasir adalah bengkakan yang terjadi di dalam dubur. Bengkakan ini tidak normal dan mereka yang mendapat buasir selalunya tidak berasa sakit apabila membuang air besar.

Ia adalah penyakit biasa dalam masyarakat. Malah, dikatakan setiap satu daripada tiga orang pernah mengalami pendarahan akibat buasir dalam hidupnya.

Para pakar berpendapat yang buasir ini adalah implikasi kepada postur manusia yang berdiri kerana haiwan merangkak jarang mendapat buasir.

Apakah penyebab buasir?

Di dalam saluran dubur manusia terdapat struktur yang dikenali sebagai vaskular endocushions yang menyebabkan otot-otot dubur kenyal. Biasanya, struktur ini kecil dan tidak ketara.

Walau bagaimanapun, apabila seseorang itu mengalami sembelit ataupun meneran semasa membuang air besar, struktur ini membengkak. Selepas beberapa lama, ia hilang sifat kenyalnya lalu terunjur keluar daripada anus.

Proses ini sering diiringi dengan pendarahan (Greek: haemorrhoids = pengaliran darah) dan akhirnya menjadi buasir (Latin: pila = jisim). Dalam kata lain, buasir adalah akibat langsung sembelit dan proses meneran.

Simptom buasir

Biasanya, pesakit mendapati adanya darah ketika mereka membuang air besar.

Darah tersebut biasanya berwarna merah cerah yang keluar sebelum atau selepas meneran.

Darah tersebut mungkin menitis, menyembur keluar atau hanya memberi kesan kepada tisu tandas yang digunakan.

Jika perkara ini berlanjutan untuk beberapa lama, pesakit mungkin mengalami anaemia akibat kehilangan banyak darah.

Ada juga pesakit yang mengalami pendarahan yang membimbangkan sehingga menyebabkan mereka sering pitam.

Ada juga pesakit yang tidak mengalami pendarahan. Buasir jenis ini biasanya hanya berbentuk gumpalan di dalam alur dubur. Gumpalan ini mungkin keluar semasa pesakit membuang air besar.

Ia boleh masuk ke dalam alur dubur kembali apabila ditekan tetapi ada juga yang kekal di luar dubur. Pesakit mungkin tidak berasa sakit tetapi ada masanya mereka berasa tidak selesa dan gatal-gatal.

Tahap-tahap buasir

Doktor mengelaskan buasir kepada beberapa tahap iaitu:

* Tahap 1: Ini adalah buasir tahap awal. Pesakit biasanya mengalami pendarahan.

* Tahap 2: Pada tahap ini, buasir sudah terunjur keluar tetapi masuk dengan sendirinya selepas proses membuang air besar.

* Tahap 3: Ketika ini, buasir sudah terunjur keluar dan tidak akan masuk kembali selepas membuang air besar melainkan ditekan ke dalam dubur.

* Tahap 4: Buasir tahap ini kekal di luar anus. Buasir boleh mengalami pendarahan dalam, luka dan bernanah. Peringkat ini mengakibatkan sakit yang serius.

Bolehkah buasir diubati?

Boleh. Walau bagaimanapun, rawatan ini hanya akan diberi apabila doktor sudah pasti yang pesakit itu benar-benar penghidap buasir dan bukannya kanser anorektal ataupun sakit-sakit lain.

Untuk itu, doktor akan melakukan ujian rektal dan proktoskopi terlebih dahulu. Ada kalanya pesakit juga diminta menjalani ujian sigmoidoskopi atau kolonoskopi.

Buasir tahap 1 dengan pendarahan akan diberi ubat vasotopik dan dinasihati mengubah pengambilan dietnya.

Diet tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin tinggi serat adalah baik untuk kesihatan.

Supositori juga biasa diberikan. Ubat seperti Daflon juga berkesan. Pendarahan biasanya berhenti selepas dua hingga tiga hari.

Buasir tahap 2 dengan pendarahan juga akan dirawat dengan kaedah yang sama. Walau bagaimanapun, oleh kerana pada tahap ini sudah ada jisim yang terunjur keluar daripada anus, langkah tambahan perlu dilakukan.

Prosedur yang dilakukan adalah rubber ligation, suntikan fenol dan fotokoagulasi. Semua langkah ini adalah berkesan.

Buasir tahap 3 dan 4 biasanya memerlukan rawatan pembedahan. Kaedah yang telah lama digunakan adalah hemorhoidektomi sama ada cara terbuka atau tertutup. Kaedah ini didapati sangat berkesan.

Walau bagaimanapun, pesakit akan berhadapan dengan kesan selepas pembedahan yang menyakitkan.

Proses penyembuhan juga lambat dan biasanya mengambil masa sehingga 3 hingga 4 minggu sebelum pulih sepenuhnya.

Inovasi terbaru

Rawatan buasir terbaru dikenali sebagai Procedure for Prolapse & Haemorrhoid (PPH). Ia mengikat dan memotong buasir menggunakan alat seperti stapler yang berbentuk bulatan.

Melalui kaedah ini, pesakit merasai sakit yang minimum atau tidak berasa sakit langsung serta tidak meninggalkan luka yang perlu dirawat.

Pesakit boleh kembali melakukan tugas harian seminggu selepas rawatan. PPH membuka era baru dalam bidang rawatan buasir.

(Ethicon Endo-Surgery, Johnson & Johnson)

www.utusan.com.my


Buang air besar berdarah
Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

PENYAKIT buasir memang begitu kerap berlaku di kalangan masyarakat moden yang stres. Umum sudah amat mengetahui tanda utama buasir iaitu pendarahan di dalam najis dari rektum.

Malangnya amat jarang diperbincangkan untuk tatapan umum masalah pendarahan di dalam najis itu sendiri secara keseluruhannya.

‘‘Sebenarnya permasalahan ini adalah lebih penting dari persoalan tentang buasir itu sendiri kerana terdapat bermacam-macam penyebab atau penyakit lain selain buasir yang juga boleh menyebabkan pendarahan di dalam najis.

‘‘Contohnya penyakit kanser usus yang lebih bahaya daripada buasir,’’ kata Pakar Perunding Bedah Am dan Laparoskopik, Columbia Asia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain.

Menurutnya, rektum adalah sebahagian daripada usus besar yang terletak di atas lubang dubur (anus). Ia digunakan oleh usus untuk menyimpan najis sebelum sampai masa yang sesuai untuk dibuang.

Pendarahan di dalam najis berlaku apabila sel-sel darah merah normal yang terletak di dalam saluran dan pembuluh darah, telah keluar dari dinding-dinding usus dan mengalir serta bertakung di dalam rongga-rongga usus.

‘‘Darah yang berwarna merah cerah menandakan pendarahan itu berlaku dari bahagian pembuluh darah arteri dan terletak di bahagian yang sangat hampir dengan lubang dubur seperti usus sigmoid ataupun rektum.

‘‘Manakala, darah yang berwarna merah gelap diandaikan berpunca dari sumber pendarahan yang lebih dalam iaitu bahagian awal usus besar seperti sekum ataupun bahagian akhir usus kecil iaitu ileum,’’ ujar beliau.

Walaupun tidak dianggap begitu oleh kebanyakan pesakit, kata Dr. Abd. Hamid, najis yang berwarna hitam pekat seperti tar di jalanan adalah juga sejenis pendarahan usus.

Darah boleh bertukar dari kebiasaan berwarna merah kepada hitam akibat proses tindak balas kimia oleh enzim-enzim penghadaman dan pencernaan yang berlaku kepada sel-sel darah yang keluar dari dinding- dinding perut ataupun usus kecil.

Punca pendarahan rektum

Pendarahan di dalam najis adalah sesuatu perkara yang amat dramatik bagi mereka yang belum pernah mengalaminya. Lebih dramatik jika pendarahan itu berlaku dengan banyak sekali.

Pesakit di kalangan ini sepatutnya terus berjumpa doktor ataupun pakar gastroenterologi dengan serta-merta.

Tindakan pantas ini memberi peluang awal kepada doktor untuk mengesan punca atau penyakit yang menyebabkan pendarahan itu sekali gus memberikan harapan yang lebih cerah kepada pesakit untuk pulih.

‘‘Malangnya, ada juga mereka yang telah mengalami pendarahan di dalam najis di dalam kuantiti yang sedikit dan jangka waktu yang bertahun-tahun, masih belum mendapat rundingan daripada doktor.

‘‘Jika pendarahan ini disebabkan oleh penyakit yang bahaya seperti kanser usus, maka kelewatan ini boleh membunuh,’’ kata Dr. Abd. Hamid sambil menambah, pendarahan di dalam najis adalah disebabkan oleh penyakit di dalam dinding usus itu sendiri.

Terdapat juga penyakit dalaman yang telah mengubah kecairan darah dengan menyebabkan sel-sel darah menyerap keluar dari dinding-dinding usus ke dalam rongganya seperti kanser sel darah, leukemia.

Gangguan kepada sistem yang mengawal kecairan darah juga boleh berpunca daripada pengambilan ubat seperti Warfarin oleh pesakit jantung.

Kebiasaannya, jika pesakit mendapati pendarahan di dalam najis itu berwarna merah cerah; dan ia keluar dahulu ataupun selepas najis, lazimnya perdarahan ini adalah disebabkan oleh buasir.

Sementara itu, pendarahan yang berwarna merah gelap dalam kuantiti yang sedikit dan bercampur-baur dengan najis menimbulkan syak tentang penyakit kanser usus.

Seterusnya, pendarahan hitam pekat selalunya disebabkan oleh penyakit radang di saluran esofagus, perut ataupun usus kecil (duodenum). Ia juga boleh disebabkan oleh ulser ataupun kanser di dalam organ-organ tersebut.

Tepat

Dr. Abd. Hamid berkata, terdapat juga punca-punca lain yang jarang ditemui pada pesakit tetapi amat penting untuk dikesan bagi memastikan rawatan yang tepat.

Contohnya, kanser rahim. Jika penyakit ini tidak dirawat dan dibiarkan membesar dan merebak, maka sel-sel kanser ini akan menghakis dinding-dinding organ yang berdekatan seperti usus besar/rektum dan menyebabkan pendarahan di dalam najis.

Keadaan ini dinamakan fistula – juga boleh berlaku di antara pembuluh darah tunjang yang bengkak dengan usus kecil.

‘‘Bagi pesakit-pesakit kanser rahim yang telah mengalami rawatan radioterapi, kesan jangka panjang pancaran radiasi itu juga boleh menyebabkan radang usus yang serius sehingga berlaku pendarahan.

‘‘Bagi pesakit-pesakit yang amat tua (70 ke atas) terutama sekali di kalangan wanita, pendarahan di dalam najis boleh disebabkan oleh penyakit seperti Angiodisplasia dan Divertikulosis,’’ jelas beliau.

Angiodisplasia adalah sejenis penyakit saluran darah kecil di dalam dinding-dinding usus akibat proses penuaan manakala Divertikulosis (perubahan di dinding usus yang menjadi semakin nipis akibat dari proses penuaan dan juga sembelit yang berpanjangan).

Apakah yang akan berlaku kepada pesakit yang mengalami pendarahan rektum?

‘‘Jika kuantiti pendarahan di dalam usus itu amat sedikit, ia tidak akan meninggalkan apa- apa kesan kepada pesakit selain daripada kejutan psikologi bagi mereka yang pertama kali menghadapinya.

‘‘Namun, jika kuantitinya banyak iaitu dalam lingkungan 500cc ke atas, akan berlaku perubahan yang ketara kepada sistem kardiovaskular pesakit,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Pesakit akan berasa amat lemah dan tidak bermaya. Mereka juga akan berasa seolah-olah akan pitam dan jika pendarahan ini terus berlaku dengan banyaknya, maka pesakit boleh jatuh pengsan.

Tanda-tanda pendarahan yang lain termasuklah, muka pesakit akan menjadi pucat dan berpeluh dan jika diperiksa nadinya, kadarnya lebih tinggi dari kebiasaan iaitu 70 denyutan seminit.

Saran Dr. Abd. Hamid: ‘‘Jika berlaku pendarahan di dalam najis dengan tanda-tanda di atas, maka pesakit harus dibawa ke bilik kecemasan di mana-mana klinik atau hospital yang menyediakan servis 24 jam.

‘‘Keadaan ini amat kritikal dan pesakit boleh maut akibat pendarahan di dalam najis yang tidak berhenti apabila tekanan darah mula menurun. Pesakit memerlukan rawatan kecemasan yang intensif.’’

Pesakit yang mengalami pendarahan di dalam najis tidak perlu menunggu tahap sebegini sebelum mendapat rundingan daripada doktor dan pakar.

Adalah munasabah untuk berjumpa dengan doktor segera jika berlaku pendarahan di dalam najis yang belum ditentukan puncanya oleh doktor sebelumnya.

‘‘Pendarahan merah cerah atau merah gelap yang disebabkan oleh buasir atau kanser usus kebiasaannya tidak akan menyebabkan pesakit mengalami kesakitan sama ada di bahagian perut ataupun dubur.

‘‘Jika ada kesakitan di bahagian-bahagian ini, puncanya adalah disebabkan oleh radang usus (kolitis) ataupun luka di dubur. Jika pendarahan di dalam najis berlaku bersama dengan lendir yang berlebihan, maka doktor akan mengesyaki kanser usus sebagai puncanya.’’

Satu pemeriksaan fizikal yang amat penting yang mesti dilakukan oleh doktor ke atas pesakit yang mengalami pendarahan di dalam najis adalah pemeriksaan dubur.

Ia memerlukan doktor memasukkan satu daripada jari tangannya yang telah dipakai sarung dan berjel ke dalam lubang dubur dan sampai kepada bahagian bawah rektum.

‘‘Kebiasaannya, ia tidak memberi apa-apa rasa sakit selain kurang selesa. Walaupun pemeriksaan ini kadangkala boleh menimbulkan kejelikan di kalangan ramai pesakit, ia amat kritikal dilakukan sebelum seseorang pesakit didiagnosis.

‘‘Betapa banyak kes-kes pesakit yang begitu lama dilabel sebagai mengalami penyakit buasir tetapi setelah pendarahan terus berlaku, ia hanya memerlukan seorang doktor melakukan satu pemeriksaan dubur untuk mendiagnosis kanser rektum,’’ kata Dr. Abd. Hamid.

Lain-lain ujian pengesanan

Jika punca pendarahan tidak dapat dikesan oleh pemeriksaan yang disebut di atas, maka beberapa ujian harus dilakukan untuk mencari penyebab kepada pendarahan dari rektum.

Beberapa ujian darah seperti taraf Haemoglobin (Hb) dan fungsi hati (LFT) sering dilakukan secara rutin. Taraf Hb akan memberi gambaran betapa seriusnya pendarahan itu dan LFT boleh membantu mencari penyakit hati sebagai punca pendarahan dan juga menguji kecairan darah itu sendiri.

Pemeriksaan endoskopi juga harus dilakukan untuk terus mencari punca pendarahan di dalam najis.

Endoskopi yang fleksibel yang berpotensi untuk melihat keseluruhan usus besar iaitu kolonoskopi adalah pemeriksaan endoskopi yang sering dilakukan oleh pakar untuk mencari punca pendarahan di dalam najis.

Jika pendarahan hitam dan puncanya dijangka dari perut atau usus kecil, maka endoskopi atas akan dilakukan melalui mulut.

Rawatan
Umumnya, penyakit-penyakit keradangan usus seperti kolitis dan proktitis hanya dirawat dengan ubat-ubatan.

Sementara itu, penyakit kanser usus harus menjalani pembedahan major sebelum dibantu oleh rawatan sampingan seperti kemoterapi dan radioterapi.

Buasir pula boleh dirawat secara ubatubatan di peringkat awal dan apabila ia menjadi serius harus dihapuskan dengan beberapa kaedah termasuk Rubber Banding dan juga pembedahan.
Utusan, 15 Jan 07

Tambahan
Utusan, 14 Jan 2007, Buang air besar berdarah
Utusan, 4 Mac 2007, PPH: Bedah buasir tidak menyakitkan

2 comments:

Dr Akbar Abdullah said...

Info yang menarik. Selain itu, ada juga dengar yang pesakit buasir tidak sesuai menggunakan tandas jenis mencangkung kerana ia boleh menambahkan tekanan ke atas perut dan dubur.

Unknown said...

Prosedur pph ni digunakan di hospital kerajaan atau swasta shj?