Monday, December 11, 2006

PERTOLONGAN CEMAS

Pertolongan cemas: Kemalangan jalan raya
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

MENYEDIHKAN. Baru hari pertama Ops Sikap XI bermula Rabu lalu, ia sudah pun merekodkan 18 kematian nahas jalan raya, mengatasi jumlah kematian semasa operasi yang sama pada tahun lalu, 15 orang.

Hari raya yang sepatutnya disambut dengan suasana riang dan gembira bertukar ratapan berdarah bagi keluarga mangsa. Jika tidak berhati-hati, lebih ramai yang akan meraung di hari bahagia ini.

Jika anda terlibat di dalam kemalangan atau terserempak atau yang pertama tiba di tempat kejadian, apakah yang akan anda lakukan sementara menunggu ketibaan bantuan perubatan?

Ataupun anda hanya dapat terpacak kaku dan melihat sahaja mangsa yang mengalami kecederaan kerana tidak mempunyai apa-apa pengetahuan asas mengenai pertolongan cemas yang melibatkan kemalangan jalan raya?

Anda tidak akan menyedari kepentingannya sehinggalah anda sendiri mengalami situasi ini. Atau mungkin anda boleh tanyakan soalan ini kepada diri sendiri:

“Bagaimana jika anda sendiri yang tercedera dan satu-satunya jalan untuk menyelamatkan nyawa anda adalah sama ada orang yang menemui anda itu terlatih atau sekurang-kurangnya, mempunyai pengetahuan asas mengenai bantuan cemas di kawasan kemalangan jalan raya?’’

Tahukah anda bahawa bantuan yang ikhlas diberikan oleh seseorang kadangkala boleh menjejaskan atau memburukkan keadaan, lebih-lebih lagi bagi mangsa yang tidak sedarkan diri atau mangsa yang tidak boleh bercakap selepas mengalami kemalangan.

“Majoriti mangsa yang mengalami kemalangan mendapat kecederaan kepala dan leher. Membuka topi keledar mangsa yang tidak sedarkan diri dan sekiranya mengalami kecederaan di leher akan menyebabkan kecederaan yang lebih teruk.

“Mengalihkan mangsa dengan mengangkat mangsa yang mendapat kecederaan tulang belakang dengan cara yang tidak betul juga boleh memburukkan keadaan mangsa,’’ kata Pakar Runding Bedah Ortopedik dan Trauma, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Selangor, Dr. Mohd. Mahamud Musman.

Akibatnya, mangsa mungkin berhadapan dengan risiko kecederaan ringan menjadi semakin teruk, lumpuh dari paras leher atau paras pinggang ke bawah dan kematian.

Adakah anda juga tahu bahawa mangsa kemalangan yang sedar tidak boleh diberikan air atau makanan sekalipun mangsa merayu?

“Ini adalah amat penting kerana sekiranya mangsa memerlukan rawatan pembedahan atau mangsa menjadi tidak sedar ia boleh menyebabkan mangsa tersebut memuntahkan makanan atau minuman tersebut.

“Ia boleh memasuki paru-paru dan menyebabkan jangkitan kuman dalam paru-paru mangsa. Bagaimanapun, risiko ini berkurangan dengan perkembangan perubatan yang bertambah maju sekarang,’’ ujar beliau.

Dr. Mohd. Mahamud berkata, adalah lebih baik bagi orang awam yang tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan merawat mangsa kemalangan untuk menunggu dan mendapatkan bantuan terutama kepada mangsa yang mengalami kecederaan teruk.

“Orang ramai hanya dibenarkan memberi rawatan awal yang asas (seperti di bawah) sementara menunggu ketibaan bantuan.

“Walau bagaimanapun, bagi mangsa kemalangan yang berada di dalam keadaan yang sangat memerlukan rawatan kecemasan atau berada dalam kawasan yang tidak selamat dan menunggu bantuan mungkin memudaratkan mangsa, maka mengalihkan mangsa kemalangan dari kawasan yang bahaya dan memberi bantuan kecemasan adalah lebih baik dan boleh dilakukan daripada membiarkan mangsa begitu sahaja,’’ jelasnya.

Sebelum memberikan bantuan, kata Dr. Mohd. Mahamud, ada dua perkara utama yang perlu ditentukan terlebih dahulu iaitu kawasan dan mangsa kemalangan.

“Pastikan dahulu kawasan kemalangan adalah selamat dari bahaya sama ada kemalangan yang lain atau kebakaran atau letupan. Kedua, sama ada mangsa kemalangan mendapat kecederaan ringan atau teruk.

“Sekiranya mangsa mengalami kecederaan ringan, bolehlah dialihkan ke kawasan yang lebih selamat, diberikan bantuan awal atau terus membawanya berjumpa doktor yang berhampiran,’’ terangnya.

Sekiranya mangsa kemalangan teruk, dapatkan bantuan orang lain terutama ambulans atau pengguna jalan raya yang lain.

Tentukan mangsa boleh bernafas, stabilkan kepala, leher dan tulang belakang mangsa dan alihkannya ke tempat yang lebih selamat atau hantar terus ke hospital atau menunggu ketibaan ambulans.

Ditanya, yang manakah perlu diutamakan terlebih dahulu oleh orang awam di antara mangsa yang mengalami masalah pernafasan, perdarahan atau patah tulang, Dr. Mohd. Mahamud memberitahu:

“Utamakan mangsa kemalangan yang mengalami masalah pernafasan dahulu sebelum mangsa yang mengalami pendarahan dan patah tulang.

“Oleh sebab itu, orang ramai perlu memastikan bahawa mangsa kemalangan boleh bernafas secara spontan/sendiri.’’

Kemudian, pastikan pendarahan yang banyak dihentikan dan barulah menstabilkan anggota yang mengalami patah tulang.

*Kit pertolongan cemas

Biasanya mengandungi kain yang bersih, kain anduh, kain kasa, kain kapas, larutan cecair pencuci luka/kecederaan dan sarung tangan.

Ia sangat penting dibawa sebab jika berlakunya kemalangan, boleh digunakan untuk rawatan asas/permulaan seperti:

* Membalut luka atau kecederaan

* Kain digunakan sebagai anduh sekiranya ada tulang anggota yang patah

* Kain yang bersih juga digunakan untuk membalut/mengikat luka sekiranya berlaku perdarahan

* Mencuci kecederaan atau luka mangsa kemalangan.

*CPR

Bantuan pernafasan mulut ke mulut CPR (cardio-pulmonary resuscitation) merupakan satu prosedur penting yang perlu diketahui oleh orang ramai secara teori dan praktikal.

Prosedur ini memerlukan pembelajaran dan latihan praktikal kepada sesiapa yang ingin mempelajarinya.

Oleh sebab itu ia hanya boleh dilakukan oleh mereka yang berpengetahuan tentang CPR ke atas mangsa yang tidak bernafas secara sendiri dan spontan.

Sekiranya orang ramai berpengetahuan untuk melakukannya kepada mangsa kemalangan maka bolehlah mereka berbuat demikian tetapi adalah lebih baik dilakukan oleh mereka yang berpengalaman atau terlatih sahaja.

Apakah yang perlu dilakukan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian, khususnya yang mula-mula menyaksikan kemalangan berlaku:

* Melaporkan berlakunya kemalangan kepada pihak tertentu seperti ambulans, polis atau bomba

* Memberikan isyarat kepada para pengguna kenderaan yang lain tentang adanya kemalangan di kawasan tersebut untuk mengelakkan kemalangan yang lain berlaku

* Sekiranya mangsa mengalami kecederaan ringan dan mangsa sedarkan diri, hendaklah dibawa ke tempat yang lebih selamat bagi mengelakkan mangsa menerima kecederaan yang lebih teruk kerana dilanggar oleh kenderaan lain atau terus membawa mangsa ke klinik atau hospital berhampiran

* Orang awam yang mempunyai pengalaman atau pengetahuan untuk menyelamatkan mangsa kemalangan, rawatan awal yang perlu diberikan adalah:

1 - Membawa mangsa ke kawasan yang lebih selamat

2 - Sekiranya ada anggota mangsa yang mengalami perdarahan, hendaklah dibalut anggota yang berdarah dengan apa-

apa kain yang bersih bagi menghentikan pendarahan

3 - Sekiranya ada anggota mangsa yang mengalami patah tulang bahagian tangan, gunakan anduh atau kain yang boleh digunakan sebagai anduh untuk rawatan sementara.

Sekiranya mengalami patah tulang kaki, kayu atau apa saja yang boleh digunakan sebagai anduh diikat pada kaki yang patah supaya bahagian yang patah tadi tidak beralih, sekali gus mengurangkan kesakitan.

JIKA kecederaan melibatkan kepala, leher, tulang belakang atau kecederaan teruk

1- Pastikan bahagian kepala, leher dan tulang belakang stabil dahulu sebelum mengerakkan atau mengalihkan mangsa kemalangan.

Boleh dilakukan dengan menggerakkan/mengalihkan atau mengangkat mangsa secara serentak oleh sekurang-kurangnya dua atau tiga orang

Atau meletakkan mangsa di atas sekeping papan yang kukuh untuk mengalihkan mangsa kemalangan.

2. Memastikan mangsa kemalangan dapat bernafas sendiri dengan memastikan tiada objek yang boleh menghalang mangsa untuk bernafas sendiri secara spontan.

3. Pastikan tiada perdarahan yang banyak berlaku dengan cara membalut luka yang menyebabkan perdarahan dengan kain bersih.

Sekiranya melibatkan patah tulang, bahagian yang patah hendaklah dipastikan supaya tidak beralih/bergerak.

Tangan yang patah boleh distabilkan dengan kayu sebagai anduh manakala kaki hendaklah distabilkan dengan kayu sebagai anduh atau diikat sekali dengan kaki yang tidak cedera.

Utusan, 22 Oct 2006

TAMBAHAN
Utusan, 1 Oct 2006, Pertolongan cemas: Lecur & terbakar

No comments: